Genap setahun bermulanya cabaran empat orang anak muda terhadap AUKU, ia tidak lagi sekadar dilaungkan oleh aktivis-aktivis. Ia kini menjadi mantra segenap pelosok masyarakat, menjadi obor tanda perjuangan golongan muda. Nukilan oleh seorang peguam muda.

Bulan lepas, saya ada menulis tentang empat mahasiswa yang dikenali sebagai “UKM4”. Mereka ditahan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tahun lepas dan universiti mereka ingin mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka di bawah S. 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti. Di bawah Seksyen 15 AUKU, mahasiswa dilarang menjadi ahli mana-mana parti politik di dalam atau luar Malaysia dan tidak boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh secara munasabah ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik di dalam atau luar Malaysia. Mereka telah mencabar keperlembagaan 15(5)(a) AUKU tersebut di Mahkamah. Mereka gagal di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Jumaat lepas, genap setahun bermulanya cabaran empat anak muda tersebut. Daripada mahasiswa biasa, peristiwa itu telah mengubah kehidupan mereka yang kini menjadi ikon usaha menentang larangan AUKU.

UKM2

UKM4 telah membawa perjuangan menentang larangan AUKU ke arus perdana. Ia tidak lagi sekadar dilaungkan oleh aktivis-aktivis. Ia kini menjadi mantra segenap pelosok masyarakat, menjadi obor tanda perjuangan golongan muda. Ia kini menjadi topik hangat yang sering dibicarakan dan didebat baik di kaca televisyen, radio, dada-dada akhbar atau di alam siber. UKM4 menjadi pemangkin ke arah usaha menyatupadukan pelbagai pertubuhan mahasiswa untuk berdiri atas landasan solidariti yang sama. Mereka mungkin semakin sedar bahawa untuk menjadi sebuah kumpulan pendesak yang efektif, mereka harus bercakap dengan satu suara.

Dari sudut politik, reaksi terhadap isu ini juga amat memberangsangkan. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah menjadikan usaha pemansuhan larangan berpolitik AUKU sebagai misi peribadinya. Pergerakan Pemuda UMNO dan MCA juga telah menyarankan supaya AUKU dipinda bagi membolehkan mahasiswa terlibat dengan politik. Parti-parti komponen lain juga sudah tentu mendukung pendirian “abang sulung” mereka di dalam perkara ini. Pendirian ini juga secara amnya dikongsi dengan parti-parti politik di dalam Pakatan Rakyat.

Keselarian pendirian politik di dalam isu ini membuka ruang untuk menjalinkan satu kerjasama dwi-parti (atau dwi-gagasan politik) yang mempunyai matlamat dan landasan yang sama. Jika hasrat kita adalah untuk melihat anak muda membawa budaya politik baru, ini adalah peluang terbaik untuk mengorak langkah tersebut atas nama anak muda.

Setakat ini, nampaknya belum ada usaha kukuh daripada mana-mana parti ke arah kerjasama ini, namun ianya masih belum terlambat. Dicadangkan supaya suatu jawatankuasa bertindak ditubuhkan yang mewakili parti-parti politik bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendesak pemansuhan larangan AUKU.

Secara jujur, sukar untuk meramal kejayaan UKM4 di dalam rayuan mereka. Bukan kerana ketandusan merit, tetapi berdasarkan trend semasa yang lebih memihak kepada pemerintah. Namun, kesan sebenar UKM4 melangkaui bilik bicara Mahkamah dan koridor-koridor menara gading. Kesan sebenar UKM4 mungkin tidak dapat diukur dalam masa terdekat, walaupun setahun sudah berlalu. Usaha menentang larangan AUKU kini menjadi perjuangan massa yang hanya akan menjadi bola salju membesar. Benar, tahun lepas Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak meminda AUKU, tetapi itu tidak bermakna perjuangan sudah selesai.

Walau apa pun yang terjadi kepada mereka, apa yang pasti kisah UKM4 telah ditempa menjadi hikayat agung perjuangan mahasiswa menentang larangan AUKU.

Syahredzan seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia sudah lama tidak menulis untuk LoyarBurok, walaupun nukilannya boleh dibaca setiap two minggu dalam Sinar Harian.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...