Source: fan.theonering.net
Source: fan.theonering.net

Maka seperti biasa, negara kita sekali lagi disajikan dengan politik longkang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, politik partisan sempit dan melemaskan. Politik kita masih belum matang, masih tersekat di takuk lama. Pernah satu ketika Malaysia dilamun cita-cita untuk lepas daripada rantai-rantai orde usang, tetapi cita-cita itu tinggal mimpi yang tidak kesampaian.

Salah kita juga. Kita gantung harapan dan sangkut impian pada parti dan ahli politik. Kita mahu mereka jadi savior membawa kita menuju Malaysia yang lebih agung dan sejahtera. Namun politikus tetap menjadi politikus. Terbukti bahawa ahli politik hanya pentingkan kuasa dan pengaruh. Istana langit yang dibina sudah runtuh, mendedahkan teratak buruk lagi usang. Istana tersergam indah hanya untuk mengaburi mata terhadap realiti teratak yang sebenarnya.

Barisan lama mahupun pakatan baru, sama sahaja. Ahli politik tidak akan lari daripada berpolitik dan mempolitikkan. Ahli politik tetap akan mengambil kesempatan politik dan melepaskan das tembakan politik. Mereka akan salam kita, mereka akan angguk tanda setuju dan mereka akan mengeluarkan kata-kata indah demi melalaikan kita. Kita digoda dengan ungkapan manis yang menjanjikan sang suria dan purnama. Kita terpesona hingga kita junjung dan sanjung mereka.

Cukuplah. Hentikanlah. Sudah jelak dan jelik melihat gelagat politikus-politikus ini. Mereka yang lebih pentingkan diri dari negara. Tanpa segan silu mereka memecah-belah masyarakat mengikut pisahan-pisahan tiruan seperti kaum, kepercayaan dan ideologi.

Tetapi bukankah semua juga manusia, semua juga warganegara, darah sama merahnya dan rambut sama hitamnya? Penting sangatkah siapa asal dan siapa pendatang? Mengapa kita begitu tekankan perbezaan yang ada dan bukannya persamaan ketara?

Kita menari ikut langkah mereka, kononnya rentak mereka bawa itulah yang penting untuk negara. Kiblat mereka politik jadi isu yang mereka bawa hanya menguntungkan mereka. Masalah membelenggu negara terus terbengkalai kerana kita tidak fokus pada isu-isu asas yang perlu perhatian segera.

Anak muda sudah lama berdiam diri, lena sambil tidak memikirkan masa hadapan negara ini yang diratah oleh mereka gila kuasa. Tibalah masa kita laungkan semboyan anak muda agar mereka tersentak dan membawa panji-panji perubahan.

Anak muda! Sedarlah bahawa kita tidak lagi boleh berharap pada ahli dan parti politik! Janji negara bangsa yang kita inginkan, yang masih belum ditunaikan sekian lama, hanya boleh direalisasi jika kita sendiri mengusahakannya dengan titik peluh sendiri. Isu politik tidak lagi boleh diselesaikan oleh ahli politik dan mengikut acuan politik kepartian yang sempit. Anak muda tidak boleh lagi membiarkan kanser ini berlarutan, anak muda harus sedar mereka punya tanggungjawab terhadap masa hadapan negara ini yang terletak di tangan mereka.

Politik baru? Tidak, ini bukan revolusi politik semata-mata. Ini revolusi minda yang menjadi pemangkin pencerahan budaya. Ungkapan ‘anjakan paradigma’ mungkin sedikit klise, tetapi ia mencerminkan pendekatan baru wajar digunakan. Anak muda perlu merampas kembali diskusi negara daripada mereka yang sedang memonopolinya.

Laungkan semboyan agar anak muda seluruh negara bangkit dan berkata, persetankan tuhan-tuhan politik kamu! Kami tidak mahu lagi taksub dengan personaliti, kami tidak mahu politik kepartian yang sempit, kami tidak mahu si penglipur lara melalaikan, kami tidak mahu Ayatollah baru, kami mahukan pendekatan baru!

Bangun anak muda, bangun menggapai nasib kita. Tinggalkan rantai-rantai lapuk yang sekian lama mengikat dan menyekat kita. Hanya kita yang boleh membawa perubahan, membasmi dosa-dosa generasi sebelum ini yang membiarkan kita sampai ke tahap ini. Ayuh kita bangkit sebelum semuanya terlambat.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan di akhbar Sinar Harian pada 12 April 2011.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda. Bila dia sudah dewasa, dia ingin menjadi pemain biola elektronik di dalam sebuah kugiran.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...