PMN 2011

Sudah tiba masanya kita warisi sejarah perjuangan kita sendiri, perjuangan kuasa Mahasiswa Negara.

Salam perutusan agung anak Dhobi sampaikan pada seluruh isi insan yang sudi membaca. Salam sejahtera pada semua. Hanya ingin berkongsi sedikit kemaslahatan buah fikiran pergaulan inteleksi antara manusia agung ciptaan tuhan.

Anak Dhobi tertarik untuk merungkai sejarah bagi memangkin semangat baharu menyedarkan satu komuniti penting (golongan mahasiswa) dalam komposisi masyarakat kita yang sudah lama dikongkong dan dibiarkan untuk tidak berdikari dalam pemikiran. Kalau anda semua ikut ilustrasi dalam kamus secara amnya, mereka akan tafsirkan mahasiswa ini adalah golongan yang menjadi pelajar dan terlibat secara langsung dengan sistem universiti. Sebenarnya rakan-rakan pembaca, ungkapan ini perlu dirungkai dengan baik sekali. Golongan mahasiswa suatu ketika dahulu suci dan bebas untuk merevolusi ilmu ke arah mengejar kemajuan untuk pembaikan perkembangan generasi akan datang.

“Mahasiswa” suatu entiti masyarakat yang terdiri daripada golongan intelektual. Ungkapan siswa mewakilkan intelektual barisan lelaki, sebutan siswi itu menghadirkan kaum wanita  memenuhi barisan entiti unggul ini. Suku kata “Maha” dalam “Mahasiswa” itu sendiri sudah cukup untuk mentafsirkan dengan kemas akan perihal berkuasanya mahasiswa itu dalam komuniti masyarakat majmuk untuk memimpin pembentukan generasi berilmu pengetahuan tinggi.

Namun begitu, sayang sekali keadaannya hari ini. Hakikatnya, pada dasar memang kita berjaya memegang status mahasiswa, akan tetapi realitinya hari ini golongan ini sama sekali gagal untuk memikul amanah mendukung frasa MAHA itu sendiri.

Secara khususnya, apabila merujuk kepada frasa tersebut, ianya menggambarkan sesuatu yang hebat, unggul, sangat intelek dan sebagainya yang merujuk kepada perkara baik yang melampaui tahap pemikiran biasa. Kita golongan intelektual yang istimewa. Namun adakah benar hari ini kita masih dianggap istimewa sedangkan kita diperlakukan dan dididik seperti anak kecil di bangku sekolah.

Bolehkah kita ini tergolong dalam kumpulan mereka yang terpelajar berilmu tinggi sedangkan semua bicara ilmu serta kebaikan kebebasan berakademik kita masih lagi diletakkan limitasi yang sudah tidak relevan lagi buat ketika ini. Kita mengejar arus kemajuan dengan cara menyekat hak asasi mereka yang berilmu tinggi. Adakah ini akan menjurus kepada pertumbuhan ekonomi negara yang sihat?

Saudara-saudaraku seluruh isi Negara yang bernaung di bawah nama “Mahasiswa” – tidak pernahkah terlintas walau sedikit pun perasaan malu dalam diri kita, tika mana maruah ilmu kita dipijak kita masih lagi berpeluk tubuh dengan segak. Sudah hadir saat ilmu kita pelajari dinodai, kita masih lagi duduk bergoyang kaki.  Dimanakah perginya sifat berani memperbetulkan situasi? Disimpan dalam kocek? Atau dibuang nun jauh ke dalam perigi? Jika semua ini berterusan, percayalah teori asas pembangunan modal insan ini akan menemui jalan buntu. Hasilnya, lambakan graduan menganggur  yang semuanya berpunca daripada sekatan menyanggar ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah suatu perkara unik yang hidup dalam pembentukan tamadun. Ianya tidak perlu mati dan statik, sebaiknya perlu dipersoal, diperhalusi dan mendapat mandat diskusi intelek. Barulah akhirnya akan memperbaiki mutu kehidupan generasi akan datang.

Let's Make History

“CUKUP” marilah kita laungkan bersama-sama.

Ianya sebagai titik mula usaha menyelamatkan saudara-saudara mahasiswa yang lain daripada zaman gelap mahasiswa ini. Hari ini tercipta kerana sejarah yang terukir sebelum ini.

Pernahkah kita singkap dahulunya mahasiswa pernah punyai kerajaan sendiri, punyai kuasa mentadbir perihal kebajikan sendiri?

Pernahkah kita ungkap akan zaman silam kita yang suatu masa dahulunya seluruh isi rakyat Malaysia itu sendiri menagih pertolongan mahasiswa bagi suarakan hak mereka tika mana suara mereka samar sekali didengari kuasa pemerintah pilihan mereka sendiri?

Kita, anak muda mahasiswa semua pada awal kebangkitan, bergerak bersama di bawah satu panji Students’ Union namanya. Dengan kemas pentadbirannya dikemudi National Union of Malaysian Students (NUMS). Jika dulu, NUMS pernah bawakan pada kita jalanan perjuangan indah yang mantap, maka hari ini siapa yang akan jadi harapan anak pertiwi andai bukan kita, bangsa mahasiswa. Hal ini kerana NUMS sudah mati pada amnya namun bukan pada semangat perjuangannya.

Semangat dan roh perjuangan kuasa mahasiswa tetap kekal sehingga kini walau NUMS sudah ditakdirkan pergi. Semangat dan roh perjuangan mahasiswa yang bertempiaran dalam seluruh isi negara ini perlu disatukan kembali untuk memancing sinar perjuangan murni rakyat bumi bertuah ini.

Persoalannya di mana ingin kita satukan semua? Himpunan tanda tanya ini akan bakal terjawab pada satu wadah perjuangan kita semua dalam Perhimpunan Mahasiswa Negara (PMN). Sudah tiba masanya kita warisi sejarah perjuangan kita sendiri, perjuangan kuasa Mahasiswa Negara. Ayuh semua bersama beraksi.

Bertumpah darah, atas Malaysia yang satu,

Bertanah air satu, tanah air tanpa penindasan,

Teguh pendirian tanpa goncangan,

Berbangsa satu, bangsa cintakan perpaduan,

Atas nama kemakmuran, bersama kejar kemajuan,

Berbahasa satu, bahasa tanpa kebohongan,

Dengan ilmu dipraktikkan dalam amalan,

Bersumpah sulung dalam ranjau berliku,

Mahasiswa Negara selamanya bersatu.



Anak Dhobi merupakan pelajar di sebuah IPTA yang opresif. Beliau mencintai ilmu dan suka menulis atas kertas dengan gaya penulisan lama. Bagi beliau, universiti perlu bebas daripada pengaruh dunia berpolitik secara langsungnya. Warga intelektual dalam universiti seperti pelajar, pensyarah dan penyelidik seharusnya mempunyai kebebasan dalam merevolusi ilmu pengetahuan ke arah pembangunan kualiti ilmu yang akan menjana kebaikan generasi masa depan. Universitilah tempatnya untuk warga ilmuan seluruh dunia bebas untuk membuat kritikan membina berdasarkan apa yang telah dipelajari dan dikaji. Ianya menjadi penghubung kepada dua dunia berbeza – dunia idealis dan dunia realistik. Semua intelektual muda yang bergelar mahasiswa ini seharusnya bersatu untuk menerajui negara kita pada masa akan datang. Kita mahu memulihara, memelihara dan mempertingkatkan mutu ilmu pengetahuan dan bukannya hanya memegang kepada satu teori pendidikan sahaja. Mahasiswa kena bangkit daripada zaman gelap kita. Bukan belajar untuk menjadi golongan pekerja, tapi untuk menjadi golongan intelektual. Mahasiswa perlu bersatu – ini pra-syarat kepada pembangunan modal insan nombor 1.