Adakah desakkan situasi sistem pilihanraya Malaysia telah sampai ke tahap yang akan membawa Bersih kembali ke jalan raya? SPR harus menangani 6 kelemahan berikut kearah reformasi sistem pilihanraya yang dituntut oleh rakyat Malaysia.

bersih

Selasa, 15 June 2010

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah melalui satu momentum yang amat besar (sebut perhimpunan aman Bersih November 10) suatu ketika dulu.

Pada waktu itu, selepas mesyuarat demi mesyuarat dan perbincangan demi perbincangan, Bersih – yang dalam tahun 2007 mempunyai 71 pertubuhan sebagai anggota gabungan – mempersetujui bahawa kepincangan pilihan raya di Malaysia boleh mengalami reformasinya dengan lima tuntutan segera:

  • pembersihan senarai pemilih,
  • penggunaan dakwat kekal,
  • pemansuhan undi pos untuk anggota polis dan tentera,
  • akses media yang berpatutan dan seimbang,
  • serta waktu untuk berkempen yang mencukupi.

Sungguhpun tidak satu tuntutan segera itu dipenuhi, namun gerakan Bersih berjaya meningkatkan tahap kesedaran rakyat.

Dengan bergantinya pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, badan berkanun tersebut diuji dengan pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Kuala Terengganu, Batang Ai, Manek Urai, Hulu Selangor dan Sibu.

Pelik rasanya apabila SPR sendiri yang memohon ke mahkamah untuk menangguhkan kerusi Kota Seputeh kosong tanpa wakil rakyat sungguhpun mahkamah mendapati ketidakhadiran ADUNnya menjadikan beliau gugur daripada tanggungjawabnya sebagai seorang wakil. SPR sepatutnya menggalakkan pendemokrasian, bukan menyekat pilihan raya kecil berlaku.

Sekarang, atas desakan keadaan dan masyarakat sivil, Bersih kembali dengan diterajui aktivis-aktivis masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang perihatin dengan perkembangan. Kepincangan berterusan berlaku sehingga barangkali satu lagi perhimpunan gergasi akan diadakan agar reformasi pilihan raya dapat berlaku.

Di antara kesan-kesan daripada kelemahan sistem pilihan raya kita ialah:

Malapportionment (kegagalan pengagihan)

Malapportionment merujuk kepada saiz kawasan pilihan raya yang berbeza, yang mana ianya mungkin berdasarkan kepada manipulasi kepartian. Ia berlaku akibat daripada kekangan redelineation (pelukisan semula garisan sempadan daerah) yang tidak berlandaskan sikap berkecuali pentadbir (administrative neutrality).

Malapportionment dikenalpasti sebagai satu jenayah pilihan raya di dalam persempadanan kawasan pilihan raya. Keadaan menjadi lebih serius di antara satu negeri dengan negeri yang lain (inter) berbanding dengan dalam sesebuah negeri (intra).

Secara tradisinya, malapportionment banyak melibatkan kaum Melayu tetapi ada juga kalanya ia berlaku sebaliknya.

Gerrymandering (ubah sempadan)

Gerrymandering bermakna menjalankan manipulasi dalam meletakkan persempadanan kawasan pilihan raya bagi membolehkan perpecahan undi demi memanfaatkan pihak-pihak tertentu.

Tidak seperti malapportionment, kes ini lebih jelas. Sebagai contoh, syarat ketat di dalam pembahagian samarata mungkin mengakibatkan bentuk kawasan yang agak pelik. Salah satu kriteria ialah sempadan geografi daripada landskap, infrastruktur, aktiviti-aktiviti ekonomi dan corak penempatan.

Tuntutan untuk menghormati persempadanan pentadbiran dan geografi juga boleh dilihat secara holistik dengan meneliti keperluan pengundi di satu-satu kawasan itu mempunyai kesamaan dalam minat tertentu.

Secara inklusifnya, kesamaan dalam minat mungkin merujuk kepada komuniti politik yang kecil yang berkongsi sosio-ekonomi mereka, etno-agama, ciri-ciri alam fizikal, prasarana atau pertalian-pertalian penting.

Bagi mengenalpasti gerrymandering berlaku atau mengelak daripada ianya berlaku, salah satu caranya ialah dengan mengkaji sistem sosio-ekonomi yang berkait dengan daerah-daerah yang berbeza.

Kes di Selangor

Kita perlu sedar bahawa di Selangor, pilihan raya di sana tidak berlaku di “padang yang rata.”

Kawasan DUN N29 Seri Serdang bukan hanya dua kali ganda dari segi demografiknya dengan DUN N30 Kinrara malah Seri Serdang mempunyai keluasan saiz geografi tiga kali ganda berbanding Kinrara.

Malapportionment agak jelas berlaku di Selangor di mana 17 daripada 56 kawasan DUN mempunyai saiz pengundi yang melampaui kawasan parlimen yang terkecil.

Di Sabak Bernam dan Tanjung Karang, malapportionment akan menjurus kepada gerrymandering atas alasan persempadanan yang berlaku.

Bagaimana sesebuah sempadan itu dibuat apabila sembilan kawasan parlimen dan 13 DUN di Selangor merangkumi beberapa kerajaan tempatan di bawahnya? Daripada jumlah tersebut, lima kawasan parlimen dan dua kawasan DUN mempunyai tiga kerajaan tempatan terletak di bawah pentadbiran mereka.

Kerahsiaan undi

Di antara faktor bagi warganegara untuk tidak keluar mengundi ialah apabila seseorang, terutamanya pihak berkuasa termasuk majikan mereka, mengetahui siapa menjadi pilihan mereka di dalam sesebuah pilihan raya.

Mereka perlu diberitahu bahawa Peraturan Pilihan Raya 1981 yang dipinda pada Mei 2006 melindungi kerahsiaan pengundi. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga melindungi perkara yang sama di mana Seksyen 4 dan 5 boleh membawa seseorang itu sehingga ke peringkat penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000.

Ketakutan mereka mungkin dibayangi dengan cara perjalanan pilihan raya sebelum 2006 di mana kertas undi mempunyai nombor yang boleh mengenalpasti pemilik sesuatu kertas undi itu.

Borang daftar undi tidak cukup

Salah satu faktor yang mengecewakan pengundi-pengundi baru ialah apabila mengetahui bahawa borang pendaftaran pengundi kehabisan.

Kenyataan SPR sedemikian amat mengecewakan terutama sekali kepada parti-parti politik yang berkempen giat untuk mendaftarkan pengundi-pengundi baru terutamanya yang menjejak 21 tahun (umur layak mengundi).

Angkatan Muda keADILan mendakwa SPR bersikap sabotaj. SPR sepatutnya menggalakkan lagi dan berkempen untuk menarik pengundi baru tetapi sebaliknya bersikap dingin.

Sayap pemuda parti PKR itu juga menuduh SPR membekukan penolong-penolong pendaftar baru dari parti politik diberikan tauliah.

Menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 yang diluluskan di Parlimen, kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta bagi menguruskan program pendaftaran pemilih. Di dalam butiran yang sama dalam Perbelanjaan Tambahan 2010, kerajaan memperuntukkan lagi RM3 juta bagi tujuan yang sama.

SPR sebagai badan bebas yang memastikan proses pilihan raya bersih dan adil, mereka sepatutnya mencadangkan Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dipinda agar membenarkan pendaftaran automatik dapat dijalankan. Cara ini lebih menampakkan wang peruntukan tersebut dapat disalurkan kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dalam pendemokrasian.

Pemantau buat lawatan sambil belajar

Mengikut butiran yang sama, kerajaan melalui Kementerian di Jabatan Perdana Menteri juga menyebut mengenai pemantauan tetapi tidak diberikan penjelasan yang terperinci sama ada peruntukan tambahan tersebut merangkumi pemantau-pemantau antarabangsa untuk memantau pilihan raya yang diadakan di negara ini?

SPR dilihatkan banyak mengadakan lawatan ke luar negara bagi memantau perjalanan pilihan raya. Tetapi bagi negara sendiri, kita tidak membenarkan pemantau-pemantau antarabangsa melihat sendiri ketelusan SPR.

Saya kira dengan pengalaman yang ada pada pegawai-pegawai SPR yang memantau keadaan di luar negara, sudah tiba masanya peruntukan tersebut dialihkan kepada memanggil pemantau-pemantau antarabangsa ke negara ini.

Tidak salah jika saya merumuskan bahawa SPR tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan mantap. Jadi sekiranya tahap kepercayaan SPR merudum dengan kepincangan sebegini, maka apa yang bakal berlaku ialah rakyat yang hilang keyakinan akan sekali lagi berusaha untuk memprotes SPR.

Bersih yang kini dipimpin badan-badan sivil tidak mustahil akan memulakan mobilisasi mereka agar reformasi pilihan raya dijalankan – seperti apa yang berlaku 10 November 2007.

LB: Pada asalnya diterbitkan di Centre for Policy Initiatives.