LoyarBurokker Amer Hamzah Arshad dalam kolum “Paksi Kata” di akhbar Suara Keadilan terbitan minggu ini, menerangkan mengapa rakyat seharusnya menghadiri pelancaran Fasa 2 Kempen PerlembagaanKu “Institusi Perlembagaan & Pemisahan Kuasa” pada Januari 15, 2010 di Sunway University College, pukul 4 petang.

Walaupun negara kita merdeka selama lebih dari 52 tahun, tetapi rakyat Malaysia umumnya masih tidak arif dan faham apa itu Perlembagaan negara. Hakikat ini terserlah apabila ahli politik atau ahli Parlimen yang membuat kenyataan yang jelas bercanggah dengan maksud sebenar Perlembagaan Malaysia.

Contoh yang paling ketara ialah laungan slogan ‘ketuanan Melayu’. Di dalam Perlembagaan Malaysia, tidak ada menyatakan bahawa kaum atau bangsa yang mana akan menjadi tuan dan sebaliknya. Tetapi slogan ‘ketuanan Melayu’ acapkali digunakan oleh sesetengah ahli politik bagi mencapai matlamat politik yang berbaur perkauman.

Hakikat ini berlaku kerana beberapa faktor. Antaranya ialah sistem pendidikan di Malaysia tidak menekankan aspek pemahaman ‘Perlembagaan’ di kalangan murid-murid sekolah.

Walaupun di sekolah murid-murid ada didedahkan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara (yang mana salah satu rukunnya ialah ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-Undang’) dan di dalam matapelajaran sejarah perlembagaan ada dibincangkan tetapi pendedahan sedemikian adalah terlalu dangkal, tidak mendalam, tidak menyeluruh dan tidak efektif.

Kita tidak mempunyai matapelajaran substantif mengenai Perlembagaan negara kita yang merupakan kerangka dan undang-undang utama di negara kita.

Di peringkat pendidikan tertiari (universiti), mahasiswa di Malaysia secara umumnya juga tidak digalakkan untuk menghayati dan membincangkan secara ilmiah mengenai Perlembagaan Malaysia secara kritis kerana adanya ‘climate of fear’ yang diwujudkan oleh sistem pentadbiran negara yang sedia ada melalui perlantikan naib-naib canselor yang merupakan ahli ataupun sympathiser’ kepada sesuatu parti politik. Sekiranya ada mahasiswa yang mempertikaikan mitos tersebut, tindakan akan di ambil.

Para cendiakawan di universiti juga tidak terlepas dari pemerhatian pihak-pihak berkuasa di universiti yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada sebarang pendapat ataupun perbincangan ilimiah mengenai Perlembagaan Malaysia dan interpretasinya yang berbeza dengan pemahaman pihak Kerajaan Malaysia yang sedia ada.

Faktor-faktor ini telah mewujudkan suatu ‘climate of fear’ di peringkat universiti yang menyebabkan kebanyakan mahasiswa gagal untuk berfikir secara kritis berhubung dengan isu-isu perlembagaan.

Selain dari itu, dengan adanya akta-akta yang oppresif seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga menyumbang kepada dan menyebabkan ‘climate of fear’ ini berterusan. Kewujudan AUKU telah menghalang mahasiswa untuk menggunakan hak-hak mereka di bawah Perlembagaan Malaysia, umpamanya hak bersuara, hak berekspressi, hak berhimpun dan hak berprotes secara aman.

Faktor ini juga menyumbang [dan] telah menghalang golongan yang sepatutnya menjadi pemikir yang kritis daripada memahami dan mengahayati apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Walaupun Perlembagaan Malaysia tidaklah sempurna dan ada cacat celanya akibat daripada pindaan-pindaan yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan politik mereka, setidak-tidaknya sistem pendidikan di Malaysia perlu mendedahkan para pelajar dan mahasisawa terhadap Perlembagaan Malaysia.

Faktor lain yang memyumbang kepada sikap tidak mahu mengambil tahu Perlembagaan Malaysia ialah wujudnya pemikiran (mindset’) di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya bahawa isu mengenai Perlembagaan Malaysia tidak menyentuh kehidupan mereka seharian dan adalah isu undang-undang yang mana hanya perlu diketahui oleh ahli politik, peguam dan hakim. Ini adalah persepsi yang salah dan perlu diubah.

One reply on “Persepsi salah yang perlu diubah”

Comments are closed.