PerlembagaanKU/MyConstitution logo

JAWATANKUASA UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (JUPerlembagaan)

RANGKA TINDAKAN 2009-2011

I. Visi dan Misi

Untuk:

  • menggalakkan konsep keperlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang adil;
  • meningkatkan kesedaran, mendidik dan menguasakan rakyat mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan;
  • mendokumentasi dan memberi respons terhadap isu-isu perlembagaan yang timbul;
  • membincangkan dan menganalisa keputusan-keputusan Mahkamah berkaitan isu-isu perlembagaan, dan apabila perlu, memberi interpretasi-interpretasi alternatif;
  • menjalankan penyelidikan ke atas perkara-perkara berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Perlembagaan Negeri-Negeri, dan apabila perlu, mencadangkan pembaharuan perlembagaan;
  • membantu dan menasihati Majlis Peguam dalam perkara-perkara perlembagaan.

II. Inisiatif

Untuk:

  • menjalankan kempen peringkat kebangsaan – Kempen “PerlembagaanKu” atau “MyConstitution” Campaign – termasuk:

a. mengeluarkan satu siri pesanan khidmat rakyat mengenai peruntukan-peruntukan terpilih Perlembagaan Persekutuan;

b. menerbitkan buku panduan Perlembagaan Persekutuan bersaiz poket untuk orang awam;

c. menganjurkan siri program-program untuk meningkatkan kesedaran dan menarik minat orang ramai terhadap Perlembagaan Persekutuan melalui simposium, dialog, forum dan kuliah;

d. menerbitkan siri rencana-rencana berkenaan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk diterbitkan oleh pihak media;

e. berusaha untuk menyediakan salinan-salinan Perlembagaan Persekutuan dan membuatkannya mudah diperolehi oleh rakyat dengan menggunakan tanda aras “1Keluarga 1Perlembagaan”;

f. apabila perlu, menerbitkan kertas polisi dengan cadangan-cadangan pembaharuan perlembagaan.

III. Bahagian-bahagian Tumpuan

Kepada:

  • bagaimana Perlembagaan Persekutuan memberi makna dan mempunyai hubungan dengan:

– konsep pemisahan kuasa

– kedaulatan undang-undang yang adil

– kuasa-kuasa dan had-had institusi-institusi perlembagaan

– sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat

– peranan wakil-wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri

– kebebasan asasi

– demokrasi

  • hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri, seperti pemisahan kuasa legislatif dan eksekutif, kawalan terhadap sumber-sumber asli dan isu-isu kerajaan tempatan
  • keperluan untuk mewujudkan dan menjamin hak-hak ekonomi, sosial dan budaya rakyat di dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak-hak ke atas makanan, air, perumahan, kesihatan, pekerjaan dan persekitaran bersih
  • impak berterusan dan kerelevanan undang-undang darurat yang digubal di bawah Perkara-Perkara 149 atau 150 Perlembagaan Persekutuan

…oleh Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia
bertarikh pada 18 haribulan Julai 2009