“Homoseksual” bukanlah suatu istilah yang asing bagi masyarakat dunia pada masa kini. Di mana sahaja kita pergi, kita pasti akan bertembung orang dalam golongan ini. Anehnya, apabila kita terserempak dengan mereka, kita bertindak mengasingkan diri kita daripada mereka. Mengapakah kejadian seperti ini harus berlaku? Adakah mereka penjenayah atau pembawa penyakit yang berbahaya?
Jika dikaji secara mendalam, kepastian yang amat ketara adalah bahawa ia bukanlah suatu jenayah sama sekali jika seseorang adalah homoseksual. Tanggapan masyarakat bahawa ia bersifat jenayah hanya timbul apabila ia menjadi suatu kesalahan di sisi sesetengah agama. Walaupun kita percaya bahawa ideologi sesuatu masyarakat itu adalah berdasarkan agama dan politik (berbeza antara satu masyarakat dengan yang lain), tetapi ideologi sedemikian harus diketepikan daripada aspek sosial kerana aspek sosial secara amnya adalah suatu isu sedunia bersama yang memerlukan perhatian semua insan yang hidup di dunia ini.
Sebaliknya, aspek moral merupakan norma-norma asas dunia yang sebenarnya dijadikan pengukur untuk mengawal kegiatan homoseksual jika ia melampaui batasan norma-norma yang sedia ada. Hal ini kerana, baik atau buruk sesuatu kelakuan adalah dikenalpasti mengikut nilai-nilai moral dan bukannya agama atau politik sesuatu masyarakat. Oleh yang demkian, jika kita menghadkan semua aktiviti golongan homoseksual hanya kerana agama melarangnya maka ia secara langsung telah mengugat hak asasi seseorang individu tersebut.
Pesoalan yang timbul adalah, apakah sebenarnya dilema yang dihadapi oleh golongan homoseksual ini yang memerlukan perhatian masyarakat sedunia? Jawapannya sudah pasti adalah “diskriminasi”.
Diskriminasi adalah dilema yang dihadapi oleh golongan homoseksual dari awal kehidupan mereka lagi. Sewaktu zaman kanak-kanak dan alam persekolahan, mereka dipinggirkan oleh rakan-rakan sebaya dan diejek serta dicaci. Ada di antara mereka dijadikan pelepas nafsu serta dicabul oleh rakan sebaya mereka, abang, abang saudara, bapa, bapa saudara dan ramai lagi. Begitu juga, apabila mereka sudah sedia untuk bekerja, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pencapaian mereka. Lebih menyedihkan apabila keluarga mereka sendiri tidak menghormati, memalukan serta menyingkirkan mereka terutama sekali apabila golongan homoseksual memberitahu tentang keperibadian sebenar mereka kepada ahli keluarga.
Golongan homoseksual sama seperti golongan lain mempuyai hati dan perasaan serta memerlukan kasih sayang dan tidak hairanlah jika ada di antara mereka yang mempunyai pasangan yang sama jantina yang lebih memahami antara satu sama lain. Apabila pasangan homoseksual keluar bersama-sama seperti pasangan yang lain, mereka sekali lagi dipandang serong oleh ahli masyarakat serta dicaci. Kadangkala mereka ditangkap oleh pihak berkuasa dan pegawai-pegawai dari Jabatan Agama serta disoalsiat. Malah yang lebih dashyatnya, gambar-gambar mereka bersama pasangan mereka disebarkan melalui media massa dan perkara sedemikian sudah tentunya seperti menabur garam di atas luka. Perkara ini menjadi lebih kronik apabila mereka menjadi mangsa ugutan.
Ini sama sekali menghadkan pergerakan serta pergaulan seseorang yang juga merupakan hak asasi yang wajib dihormati. Diskriminasi yang tiada batasan ini seharusnya dihentikan serta-merta kerana jika kita tidak menghormati seseorang individu kerana keperibadianya yang berbeza dengan yang lain sudah pasti kita bukan dari suatu masyarakat yang mengagung-agungkan hak asasi manusia yang sedia ada.
Memang sukar untuk menunding jari terhadap masyarakat semata-mata kerana sesuatu masyarakat itu bertindak sedemikian atas sebab kurang peka terhadap isu yang berkaitan dengan homoseksual. Begitu juga kita tidak boleh membendung segala aktiviti golongan homoseksual kerana isu ini telah bermula dari awal tamadun manusia dan akan berterusan selama-lamanya. Jika begitu, siapakah sebenarnya yang melakukan kesalahan, golongan homoseksual atau masyarakat itu sendiri?
Walaupun pelbagai usaha berterusan dan praktikal sedang diambil untuk menjamin hak asasi golongan homoseksual oleh pelbagai pihak, namun isu ini tidak akan selesai jika hanya satu pihak sahaja yang bekerjasama, atau lebih tepat kita memerlukan dua belah tangan untuk menepuk. Golongan homoseksual itu sendiri harus bekerjasama dari masa ke masa dalam mendapatkan keyakinan masyarakat terhadap golongan ini. Anehnya, terdapat ramai (bukan semua) golongan homoseksual yang bersikap hipokrit kerana kelakuan segelintir daripada golongan inilah yang menyukarkan masyarakat bersikap positif.
Kebiasaanya sesetengah golongan homoseksual kian melakukan pelbagai aktiviti yang kurang bermoral dan liar seperti menganjurkan pesta seks, melakukan seks dengan pasangan mereka di tandas awam, taman-taman awam, serta pusat riadah seperti gim dan lain-lain. Ada juga di antara mereka mengkomersialkan diri mereka dengan memaparkan gambar-gambar bogel mereka secara terbuka di laman-laman web samada secara individu mahupun bersama pasangan mereka. Adakah ini sesuatu yang boleh masyarakat seduni bertoleransi? Jawapanya adalah negatif.
Sudah pasti ramai yang akan berbahas bahawa ini adalah perkara peribadi dan golongan homoseksual mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja. Akan tetapi mereka harus mengetahui bahawa jika pekara ini dilakukan di tempat-tempat awam serta membawa banyak implikasi sampingan kepada masyarakat sejagat maka itu bukan lagi isu peribadi.
Mereka tidak sedar bahawa akibat daripada perbuatan mereka ini pelbagai lagi isu-isu sosial lain timbul yang sudah pastinya akan menghilangkan kepercayaan masyarat. Seperti peribahasa melayu, kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Maka, tidak wajarlah jika kita menunding jari kepada masyarakat sedunia sahaja jika golongan homoseksual itu sendiri tidak mengambil sikap pro-aktif dalam menangani isu berkaitan dengan mereka.
Oleh yang demikian, golongan homoseksual sememangnya mempunyai hak untuk hidup seperti yang mereka kehendaki kerana itu adalah hak asasi mereka dan hak tersebut adalah dijamin oleh undang-undang masa kini. Akan tetapi, mereka tidak seharusnya menyalahgunakan hak yang sedia ada tersebut ke arah yang tidak betul sama sekali.
Jika golongan homoseksual dapat memberikan suatu imej yang menjamin keyakinan masyarakat maka masyarakat akan lebih bersikap terbuka dalam menerima mereka.