KUALA LUMPUR: Tanggungjawab seseorang pengundi bukan sekadar memilih pemimpin untuk penggal pilihan raya selama lima tahun, tetapi juga berfikir dan menilai secara kritis sebelum membuat keputusan yang begitu penting apabila berdepan dengan kertas undi.

Pengundi perlu dididik supaya mengenali calon yang bertanding serta memahami isu yang perlu diberi perhatian, kata Hasbeemasputra Abu Bakar, penyelaras projek Pusat Rakyat LoyarBurok (PRLB).

PRLB adalah sebuah pusat komuniti yang dikendalikan sebuah badan dikenali sebagai Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), yang ditubuhkan pada 19 Mac tahun lepas.

Antara peranan pusat ini ialah menyediakan ruang yang kondusif serta selamat bagi para belia untuk bertindak dan berbincang secara konstruktif, di samping mendidik mereka tentang isu sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya.

“Malah, berdasarkan satu kaji selidik di Hulu Langat, ramai daripada mereka tidak kenal pun siapa anggota parlimen kawasan mereka,” kata Hasbeemasputra kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, kaji selidik itu dijalankan di Hulu Langat kerana kawasan berkenaan mempunyai demografi pecahan pengundi yang paling hampir dengan demografi nasional – 52.7 peratus Melayu, 36.2 peratus Cina dan 10.6 peratus India.

“Kami pilih kawasan itu kerana ia dikatakan tidak mempunyai ramai pengundi yang mengalih sokongan pada pilihan raya umum 2008 dan berdasarkan pemerhatian kami, sesetengah pengundi juga kecewa kerana beberapa janji pilihan raya tidak dikotakan,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, orang ramai perlu dididik tentang cara untuk membina rangkaian dan membuat keputusan tentang perkara yang boleh membawa perubahandalam kehidupan mereka.

“Ia tidak boleh sebaliknya di mana wakil rakyat yang dipilih menasihati anda tentang apa yang patut dilakukan. Anda perlu mengenali pemimpin anda sebelum anda mendengar nasihat mereka.

“Ini kerana, demokrasi bukan sekadar mengundi, tetapi juga mengenai tugas pengundi untuk mengetahui perkara ‘sebelum dan selepas’ proses pengundian.

“Warganegara wajar diberi pendidikan dalam hal berkaitan mengundi kerana rakyat tidak suka mengundi secara membuta tuli,” katanya.

Sambil mengambil perhimpunan BERSIH 3.0 baru-baru ini sebagai contoh, beliau berkata ramai daripada penyokong perhimpunan itu tidak tahu langsung tentang isu yang menjadi perbahasan dan apa yang mereka tentang.

“Memang menyedihkan apabila kita (rakyat Malaysia) menjadi begitu berpuak-puak. Macam dalam bola sepak, di mana kita menjadi penyokong tegar, sama ada Manchester United atau Arsenal.

“Tiada siapa mengambil peduli apabila beribu-ribu orang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan suatu ketika dulu, tetapi kini orang begitu hebohtentang BERSIH. Sebelum ini, orang tak buat bising pun, tapi sekarang, oleh kerana anda nak pergi membeli-belah, anda marah pada orang lain,” katanya.

Hasbeemasputra berkata, pusat itu akan mengadakan ceramah dan permainan setiap hujung minggu berkaitan isu semasa seperti hak sivil dan hak asasimanusia, hak sosioekonomi dan kefahaman tentang kempen pilihan raya serta anggota Parlimen.

Mengenai demokrasi, Hasbeemasputra berkata demokrasi secara langsung perlu dilaksanakan di semua peringkat tempatan melalui majlis perbandaran, agar sikapamanah dan kepercayaan boleh disemai di peringkat bawah lagi.

Sebagai contoh, kata beliau, majlis perbandaran perlu mempamerkan permohonan tender oleh semua syarikat pengurusan sampah agar penduduk boleh membuatpenilaian sendiri dengan sebaik-baiknya.

“Inilah cara yang patut dilakukan kerana kita tinggal di situ dan oleh itu kita berhak untuk menentukan apa yang paling baik untuk kita…lagi pun, kita mengeluarkan bayaran untuk kutipan sampah,” katanya. — Bernama

Artikel ini diterbitkan semula daripada The Borneo Post dan boleh didapati di sini.

Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) is a non-profit based in Kuala Lumpur with the mission of promoting active democratic participation and human rights awareness.