[EO week] Bersaralah… EO!

“Hak asasi yang dijamin dalam […] Perlembagaan bukanlah semata-mata hak-hak semulajadi yang diiktiraf oleh Perlembagaan , tetapi hak-hak tersebut adalah diberi oleh Perlembagaan.”

(State of Bihar v Kameshwar Singh)

13 Mei 1969, segalanya menjadi huru-hara. Masa itu aku berumur enam tahun, belum pun darjah satu. Segalanya menjadi huru-hara. Aku ternampak darah, aku tersempak pengamuk dan samseng, aku terlihat bas yang dibakar hitam hangus. Aku berasa sakit hati. Tidak kira sama ada tragedi itu terjadi akibat daripada perebutan kuasa, ketidakseimbangan keadaan ekonomi dan sosial ataupun permainan politik yang tidak Bersih, aku tidak kisah. Aku hanya mahukan ketenteraman, Maka, Darurat telah diisytiharkan dua hari selepas itu. Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 juga telah digubalkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16hbMei. Selepas tragedi itu, aku hidup di bawah pentadbiran kerajaan Allahyarham Tun Razak, yang menghidupkan semula konsep demokrasi berparlimen.

26 Jun 2011, Aku hidup dengan aman. Aku hampir mencapai 48  tahun. Segalanya damai. Aku ternampak slogan Wawasan 2020 yang indah dan sedap didengari, aku diberitahu bahawa kita sentiasa Boleh, aku terdengar cogan kata bahawa Rakyat senantiasa Didahulukan, aku berasa tenteram. Oh ya, aku sekarang ditadbir oleh Kerajaan anak sulung Allahyarham Tun. Aku sedang menunggu saat untuk menjadi Negara Maju. Tetapi secara tiba-tiba, aku terbaca berita (tidak kira sama ada ia telah melalui proses penapisan – ahh, dah biasalah!) bahawa Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 masih lagi sah dan digunakan ke atas 6 orang aktivis dan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM). OH, RUPA-RUPANYA KEADAAN HARI INI BEGITU BAHAYA DAN TIDAK TENTERAM SEHINGGA ORDINAN UZUR INI MASIH DIPRELUKAN? DAN AKU MASIH HIDUP DI BAWAH DARURAT SELEPAS 42 TAHUN!  Darurat – zaman komunis dan era kerusuhan ni?

Ataupun, benarkah sebegitu?

***

Di bawah seksyen 3 Ordinan Darurat, seseorang (mungkin aku, mungkin anda!) boleh ditahan oleh pihak polis selama 60 hari; dan di bawah seksyen 4, Perintah Tahanan boleh dikenakan ke atas seseorang (mungkin anda!) selama 2 tahun – tempoh yang cukup lama untuk terpisah dengan keluarga dan rakan yang disayangi, dan rata-rata, kita sendirinya yang dilupai oleh masyarakat akibat daripada pengaliran masa. Perintah Sekatan di bawah seksyen 4A pula mengurung anda (ya, mungkin anda!) di sesuatu tempat yang ditentukan selama 2 tahun, di bawah keadaan yang ditetapkan. Penjara ruang terbuka  rasanya. Aku takut. Aku gelisah. Mungkin anda tidak mengendah sama ada undang-undang sebegini relevan dengan anda. Tetapi aku khuatir bahawa undang-undang sebegini, tiba-tiba, disalahguna dan dikenakan ke atas aku, ke atas keluaraga aku, ke atas rakan aku, dan kami tidak diberikan peluang untuk bertemu dengan keluarga dan wakil peguam, apatah lagi peluang untuk mempertahankan diri di muka pengadilan. Aku gentar. Bukankah kesemua ini merupakan hak-hak asasi aku, yang merupakan seorang warganegara, ataupun sekurang-kurangnya, seorang manusia dalam masyarakat yang bertamadun dan mendukung konsep kedaulatan undang-undang? Siapakah dan apakah yang boleh memberi jaminan kepada aku bahawa kuasa dan senjata mutlak Eksekutif sebegini tidak akan digunakan tanpa batasan, tanpa kawalan? Aku tiada jawapan.

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menyatakan bahawa kita (termasuk anda) tidak “boleh diambil nyawa” ataupun “dilucutkan kebebasan diri […] kecuali mengikut undang-undang”. Hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan merupakan hak asasi kita (Perkara 3, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, UDHR), dan kita berhak didengari oleh tribunal yang adil dan terbuka serta dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian (Perkara 10 & 11 UDHR). Kesemua ini merupakan HAK, dan bukanlah HADIAH; merupakan KUASA, dan bukanlah KURNIA! Hak ini dilahir bersama hanya disebabkanlah kita Manusia!

Di bawah Ordinan Darurat, tahanan mungkin sukar/tidak mendapat khidmat guaman. Mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, kita harus diberitahu alasan penangkapan dan dibenarkan “berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihan […]”. Malah, hak untuk mendapatkan bantuan guaman juga termaktub dalam “Prinsip Asas ke atas Peranan Peguam” (“Basic Principles on the Role of Lawyers”), yang diterima pakai oleh Kongres Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Dalam Prinsip Asas, misalnya, kita mempunyai hak untuk menerima khidmat guaman daripada peguam yang dipilih (Perkara 1), diberitahu oleh pihak berkuasa tentang hak untuk mendapat khidmat guaman semasa penahanan dilakukan (Perkara 5), khidmat guaman diberi kepada pihak yang tidak berkemampuan jika perlu (Perkara 6), mendapat khidmat guaman dengan secepat yang boleh (Perkara 7), serta hak  pertemuan dengan peguam tanpa kelewatan, penapisan dan dijalankan secara sulit (Perkara 8). Malah, hampir/semua hak yang disebutkan di atas boleh didapati dalam Perkara 14 Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik, ICCPR. Sebabnya? Sebab kesemua hak tersebut adalah diiktiraf dan diamalkan oleh negara-negara yang bertamadun! (Oh ya, kita merupakan ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB kan? Rasanya kita negara yang amat menyanjungi Hak-hak asasi manusia, bukan?)

Aku bukannya naif sehingga jahil dalam isu-isu keselamatan Negara. Tetapi, biarkanlah tahanan-tahanan mempertahankan diri di Mahkamah/Tribunal yang adil dan terbuka. Kuasa mutlak jika disalahgunakan, ia tidak akan dapat membantu menyelesaikan isu-isu keselamatan Negara, tetapi ia sendirinya yang bakal menjadi isu-isu keselamatan Negara. Rakyat takut, rakyat bimbang, rakyat berasa tidak selamat. Aku tidak tahu sama ada kuasa mutlak ini akan disalahgunakan ataupun  sudah disalahgunakan, tetapi aku tidak mahu peluang penyalahgunaan wujud! Ordinan Darurat yang uzur, cukuplah!

Bersuaralah kalau anda boleh bercakap – kalau anda masih boleh bercakap.

(Bukan, aku bukan Oceania dalam buku “1984”. Aku Malaysia. Aku negara yang “for ever a sovereign democratic and independent State founded upon the principles of liberty and justice and ever seeking the welfare and happiness of its people and the maintenance of a just peace among all nations.”)


(Visited 248 times, 3 visits today)

Posts by

knows nothing about law and politics. He just loves to criticise.

Posted on 18 July 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use