Dilema yang dialami sebagai seorang peguam.

Bekerja terlalu keras?

 

Beberapa hari lepas saya terbaca tulisan rakan peguam, saudari Elviza bertajuk ‘Merintis masa depan dan mimpi’ di dalam kolumnya, di dalam akhbar Sinar Harian (2/11/2011) yang menyatakan bahawa beliau kini telah jelas mengenai hala tuju kariernya. Beliau menyatakan bahawa dahulu beliau diberikan pilihan oleh kaunselor kerjaya usai peperiksaan SPM samada untuk menjadi seorang peguam, doktor atau akauntan. Lantas, beliau memilih untuk mempelajari undang-undang dan seterusnya mempraktikkan ilmu tersebut sebagai seorang peguambela dan peguamcara. Selepas 11 tahun berkerja sebagai peguam beliau menyatakan bahawa kini hati kecilnya merintih untuk berkerjaya di dalam bidang penulisan dan meninggalkan bidang kepeguaman.

Tulisannya itu mengingatkan saya perihal beberapa orang rakan yang turut belajar ilmu perundangan tetapi akhirnya tidak menceburi kerjaya sebagai peguam. Rakan-rakan itu ada yang memilih kerjaya sebagai pegawai bank, agen insuran atau takaful, guru, ahli perniagaan, pegawai di sektor korporat, penasihat perundangan, agen hartanah dan lain-lain. Pelbagai faktor yang menyebabkan rakan-rakan lari daripada kerjaya sebagai peguam. Antara faktor yang selalu diadukan adalah kerana tekanan kerja yang melampau, waktu kerja yang panjang dan gaji yang tidak setimpal. Hal ini tidak sulit difahami kerana jika ada perbicaraan maka peguam tersebut perlu mempersiapkan kes sebaik mungkin, mencari nas otoriti untuk dihujahkan, menyediakan saksi dan bersedia untuk dimarahi oleh hakim yang tidak bertimbangrasa keesokan harinya. Selain itu, klien juga mungkin akan mempersalahkan peguam sekiranya kes yang dibawa itu tidak dimenangi. Malah, mungkin peguam itu berhadapan dengan aduan kecuaian profesional atau dihadapkan ke Lembaga Tatatertib kerana salah laku. Jika seseorang itu makan gaji, maka hal itu akan lebih sulit kerana terpaksa menjawab dengan bosnya walhal gajinya sangat ciput. Gaji permulaan seorang peguam pada masa kini di kota Kuala Lumpur adalah antara lingkungan RM1,800 – RM2,500 sahaja. Mungkin gaji di sektor korporat lebih lumayan dan skala gaji di sektor kerajaan lebih menarik kerana turut diberikan pelbagai imbuhan dan kemudahan pinjaman.

Saya sendiri mengakui bahawa saya pernah beberapa kali cuba melarikan diri daripada kerjaya sebagai peguam. Selepas menerima ijazah LL.B daripada universiti, saya menyambung pelajaran di peringkat ‘double degree – LL.B (Shariah)’ dan peringkat sarjana. Selepas itu, saya menjalani latihan dalam kamar selama 9 bulan sebelum menjadi peguam. Sehingga kini lebih sedekad saya menjadi peguam. Dahulu selepas 2-3 tahun menjadi peguam, saya cuba memohon jawatan sebagai pegawai shariah di firma percetakan nasional tetapi tidak dipanggil kerana krisis kegawatan ekonomi. Setelah itu saya memohon jawatan di beberapa universiti sebagai pensyarah tetapi tidak berjaya. Sehingga suatu peringkat, saya lulus semua temuduga di peringkat jabatan tetapi akhirnya gagal apabila ditemuduga di peringkat atasan universiti. Akhirnya, saya pasrah dengan takdir bahawa saya sebenarnya perlu menjadi peguam. Semenjak itu, saya mula mengubah paradigma kerjaya sebagai peguam dan mengkaji kenapa ramai peguam muda tidak berpuas hati dengan kerjaya mereka dan juga bagaimanakah untuk menjadi peguam berjaya serta berpendapatan lumayan.

Pada hemat saya, kerjaya sebagai peguam sebenarnya kerja yang mengujakan, menarik, kaya dengan pengalaman, lumayan dan mampu membuatkan hidup kita penuh warna-warni. Kebanyakan peguam tidak sedar potensi yang ada dalam kerjaya ini. Dengan kerjaya ini, saya berpeluang untuk berjumpa insan luar biasa yang tidak mampu saya ketemui sekiranya saya berkerja di dalam sektor lain. Saya berpeluang untuk berjumpa mereka yang berjawatan besar seperti Menteri, Menteri Besar, Exco kerajaan, ahli korporat ternama, sasterawan negara, Peguam Negara, profesor dan wakil rakyat. Tidak kurang juga saya ketemu manusia aneh seperti OCPD yang sangat gah di balai tetapi menikus di dalam Mahkamah, saksi penipu yang pintar memperdaya hakim, wanita yang jelita tetapi berperangai jelik, wanita yang baru mencuba menjadi ibu ayam tetapi gagal dalam percubaan pertamanya untuk memperdagang 4 orang perawan, tokey dadah yang berIQ tinggi, orang yang tidak bersalah tetapi dihukum kerana kegagalan sistem perundangan, bapa yang tidak berhati perut kerana membiarkan anak hidup kesusahan tanpa nafkah dan broker perniagaan yang menagih khidmat guaman terbaik tetapi kedekut mengeluarkan wang.

Selain itu, peguam juga harus ingat bahawa hadir ke Mahkamah itu adalah sebenarnya suatu keistimewaan atau ‘privilege’ yang tidak mungkin dinikmati manusia biasa. Hanya manusia tertentu yang boleh bersuara di dalam Mahkamah iaitu Hakim, Peguam, OKT, Pendakwa dan polis mahkamah. Selain itu, manusia lain tidak punya hak untuk bersuara di Mahkamah. Kerana itu, peguam harus punya jati diri yang tinggi dan mengambil peluang untuk bersuara di Mahkamah. Peguam yang tidak bersuara di Mahkamah sebenarnya telah rugi kerana telah mensia-siakan peluang yang ada. Seorang Perdana Menteri (atau sebenarnya mengikut nahu Bahasa Melayu – Menteri Perdana) tidak mungkin gentar dengan sesiapa tetapi beliau tetap menggelabah jika menerima notis daripada firma peguam. Lazimnya, peguam tidak menulis surat cinta, tetapi surat peguam itu mempunyai nilai yang tersendiri. Seseorang yang menerima notis tuntutan daripada peguam yakin bahawa notis itu bukan mainan atau lelucon yang boleh dipersendakan tetapi sesuatu yang bakal mendatangkan bala dalam hidupnya!

Peguam juga berupaya menjadi ahli politik yang berkesan. Ini kerana tiada orang yang lebih mahir membaca akta atau enakmen kecuali seorang peguam. Seseorang ahli politik yang menjadi wakil rakyat akan terlibat dalam proses penggubalan sesuatu akta. Oleh kerana mempunyai asas undang-undang yang kuat maka ahli politik yang juga peguam akan lebih memahami asas sesuatu perundangan itu dibuat. Lihat sahaja bagaimana YB Karpal Singh, YB Gobind Singh atau YB Fong Poh Kuan (ini rakan sekelas saya dahulu sewaktu menuntut di universiti) berhujah di Parlimen.

Pokoknya, peguam bukan suatu kerja yang termasuk kategori stereotaip yang rutin, kecuali kalau dia hanyalah peguam JID atau peguam ‘mitigasi’. Kerjaya peguam adalah penuh keseronokan dan boleh mewarnai kehidupan walaupun sedikit meletihkan. Namun, bukan setiap masa itu meletihkan. Sewaktu ibu saya meminta saya menemaninya untuk menunaikan haji tahun lepas, saya tidak perlu berfikir banyak kali samada majikan membenarkan saya bercuti atau memikirkan urusan kerja. Ini kerana, saya boleh mengatur jadual saya sendiri dan menulis surat kepada mahkamah untuk memohon penangguhan kes. Klien saya juga memahami keperluan saya melaksanakan rukun Islam yang kelima itu. Berbanding 7 orang adik beradik saya lain, mereka semua berkerja makan gaji dan perlu merancang percutian mereka terlebih dahulu apatah lagi cuti haji menjangkau 52 hari. Tetapi, semua yang pernah menunaikan haji pasti tahu bahawa notis untuk mengerjakan haji (selain yang pergi dengan Muasassah) biasanya diperolehi di saat akhir.

Kerjaya sebagai peguam menjanjikan kebebasan diri dan kemuliaan terhadap harga diri sebagai manusia. Berbanding dengan rakan-rakan yang berkerja di sektor awam, mereka dikenakan sekatan untuk bersuara dengan bebas khususnya apabila mengeluarkan pendapat menyokong parti tertentu. Mereka terpaksa hidup dengan hipokrit atau kepura-puraan bila mana di hadapan ketua jabatan mereka menyokong dasar kerajaan tetapi apabila ‘mengeteh’ mula mengutuk dasar kerajaan. Sedangkan antara hak asasi manusia adalah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Apa guna hidup sebagai manusia sekiranya hak asasi yang dijamin Perlembagaan ini tidak dapat diamalkan sepenuhnya.

Begitu juga bila ditanya mengenai pendapatan, suatu soalan yang tidak mampu untuk saya jawab. Ini kerana berkerja sebagai peguam adalah seperti berkerja sebagai peniaga. Bezanya, peniaga menjual produk tetapi peguam menjual servis atau perkhidmatan. Oleh itu, jika saya perlukan wang lebih maka saya perlu mencari lebih banyak kes dan mengenakan fi yang lebih tinggi. Jika wang sudah banyak, maka saya boleh memberikan khidmat probono kepada mereka yang memerlukan. Namun, saya pasti peguam yang baik pasti pandai meletakkan harga diri dan kemahiran kepeguamannya pada harga yang sepatutnya. Jika seseorang klien itu pandai memilih intan dan permata tentu sekali beliau tidak kisah dengan harga perkhidmatan peguam yang berkemahiran. Peguam juga jarang bermasalah dengan klien sebegini kerana masing-masing saling memahami. Jika klien itu mempersoalkan fi yang tinggi tetapi hendakkan perkhidmatan yang cemerlang maka klien itu sebenarnya cenderung untuk memilih kaca dan bukan permata. Sebab itu, nasihat saya adalah supaya seseorang peguam itu memahirkan dirinya di dalam skil dan kemahiran yang khusus dan tertentu tanpa mencampur rojak servisnya di dalam semua bidang. Seseorang peguam tidak mampu menjadi seperti Jack yang menguasai semua cabang bisnes kerana keluasan bidang kepeguaman itu. Jika beliau memilih kerjaya sebagai peguam aliran jenayah maka elok ditumpukan ke arah itu sahaja. Begitu juga jika dia memilih aliran sivil maka elok dibuat pengkhususan samada bidang ‘running down’, kecuaian perubatan, fitnah, tanah atau harta intelek. Jika peguam ini diiktiraf oleh komuniti guaman sebagai orang yang mahir dalam bidang itu, percayalah bahawa mereka tidak perlu mencari klien tetapi klien akan mencari mereka walaupun harga perkhidmatannya adalah tinggi.

Kesilapan seorang peguam adalah apabila beliau menghinakan kerjayanya dengan menyembah pihak bank atau pemaju perumahan. Pihak bank atau pemaju perumahan mempunyai kecenderungan untuk menetapkan harga perkhidmatan peguam dan akhirnya peguam itu hanya mahir dalam bidang JID atau SS sahaja tanpa menggilap skil dan kemahiran sebenar seorang peguam. Peguam seperti ini hanya berbangga dengan jumlah kes yang banyak, tetapi sebenarnya fi yang diterima amat kecil berbanding nilai kepeguaman. Yang lebih teruk lagi pihak bank juga lewat membayar fi dan apabila jumlah tunggakan fi itu menjadi banyak, pihak bank akan meminta diskaun tambahan. Pegawai bank juga mempunyai karenah tersendiri. Ada yang meminta untuk dilayan di spa atau bilik karaoke dan ada pula yang mengharapkan jamuan hebat daripada peguam. Peguam seperti inilah yang akan penat dengan kerjaya mereka dan ingin menukar bidang kerjaya kepada kerjaya lain yang lebih kurang tekanan dan mempunyai prospek yang lebih baik.

Kesimpulannya, seseorang yang dilema menjadi peguam perlu mengkaji dan memuhasabah diri mereka sendiri. Jika benar hidup mereka porak-poranda kerana menjadi peguam maka silakan mencari profesion yang lebih sesuai. Saya percaya tempoh mereka berkhidmat sebagai peguam ini telah memberikan pengalaman dan nilai hidup yang tidak ternilai dalam menempuh kerjaya baru. Bagi yang ingin meneruskan kerjaya sebagai peguam juga perlu muhasabahkan diri mereka samada strategi bisnes mereka adalah tepat atau perlu diberikan nafas baru. Percayalah, industri guaman ini bukan industri yang malap (sunset industry) seumpama bisnes cybercafe tetapi industri yang berkembang seiring dengan perkembangan zaman. Kerana itu, kerjaya peguam ini telah wujud semenjak zaman Shakespeare lagi, cuma kepintaran seorang peguam itu yang memastikan kesinambungan kerjaya dan meletakkan hala tuju kerjayanya di landasan yang betul.

Glosari
1. Ciput – kecil
2. OKT – Orang kena tuduh
3. OCPD – Ketua Polis Daerah
4. JID – judgement in default iaitu hal keadaan apabila seseorang itu disaman tetapi gagal hadir ke mahkamah, maka suatu penghakiman ingkar akan dimasukkan ke atasnya.
5. SS – singkatan untuk substituted service atau penyampaian saman dengan cara penyampaian ganti seumpama pengiklanan di akhbar
6. Mengeteh – minum teh atau kopi bersama rakan-rakan di warung, coffee house atau restoran mamak.
7. Mitigasi – khususnya dalam bidang jenayah, peguam akan berhujah dengan hakim untuk mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan atas faktor tertentu seperti sakit, kesalahan pertama, umur lanjut dan lain-lain
8. Running down – istilah bagi peguam yang mengendalikan kes berkaitan kemalangan

Dr Zulqarnain Bin Lukman

An ordinary lawyer who aspires to be an extraordinary lawyer in new democratic Malaysia

Share
Published by
Dr Zulqarnain Bin Lukman

Recent Posts

Vacancy for Administrative and Human Resource Assistant (Full Time)

The Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) a.k.a Pusat Rakyat LoyarBurok is a…

1 week ago

Project Assistant Needed!

The Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) a.k.a Pusat Rakyat LoyarBurok is a…

1 month ago

Ulasan saya mengenai isu tanah bagi masyarakat orang asli

Rosdila Ngah Roslan ialah fellow orang asli MCCHR dari 1 Mac hingga 31 Ogos 2020.…

2 months ago

SAYA BELAJAR TENTANG BULI SIBER

Rosdila Ngah Roslan ialah fellow orang asli MCCHR dari 1 Mac hingga 31 Ogos 2020.…

2 months ago

PROGRAMME EVALUATOR NEEDED

If you are interested and have the capacity and experience of carrying out a programme…

8 months ago

Vacancy for Administrative and Human Resource Assistant (part-time)

The Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) a.k.a Pusat Rakyat LoyarBurok is a…

9 months ago