Boikot perangai kita yang teruk dahulu

Oleh Syahredzan Johan

Saya telah menonton sebuah video yang dikongsikan di laman Facebook. Sekumpulan anak muda telah melakukan apa yang mereka sebut sebagai ‘prank’ ke atas seorang pekerja McDonald’s di sebuah restoran McDonald’s pandu lalu. Mereka telah membuat pesanan dan apabila sampai di kaunter, mereka telah melemparkan kata kesat kepada pekerja McDonald’s tersebut. Begitu bangga mereka dengan prank mereka dan mereka ketawa terbahak-bahak.

Jijik saya melihat video anak muda tersebut. Terlintas di benak saya, adakah mereka sanggup berbuat demikian jika pekerja tersebut adalah adik mereka sendiri? Adakah mereka kurang diajar, sehingga menjadi begitu kurang ajar?

Bukan mereka sahaja. Banyak laporan di seluruh negara tentang vandelisme yang berlaku ke atas premis-premis syarikat seperti McDonald’s. Yang paling teruk lagi adalah gangguan, penghinaan dan macam-macam lagi yang terpaksa diharungi oleh pekerja-pekerja di tempat seperti McDonald’s dan Starbucks.

Yang dikasihani bukan syarikat. Persetankan syarikat dan kerugian mereka. Ini perniagaan. Yang diutarakan adalah nasib pekerja-pekerja biasa di syarikat-syarikat tersebut. Yang dilawan bukannya tentera rejim Zionis, tetapi pekerja-pekerja tempatan. Anak-anak Malaysia, bukan soldadu Israel. Mereka mungkin kawan anda atau saudara anda. Mereka hanya bekerja mencari rezeki yang halal.

Terlalu mudah kita golongan kelas menengah untuk menghakimi pilihan pekerjaan mereka, seperti apa yang dilakukan oleh seorang tweetfamous di dalam Facebook ketika berinteraksi dengan saya, kerana kita tidak perlu untuk bekerja di McDonald’s atau Starbucks.

Terdapat juga laporan tentang cermin kereta yang mempunyai pelekat McDonald’s atau Starbucks dipecahkan. Mengapa perlu pecahkan cermin kereta? Apa kesan berbuat demikian terhadap Israel? Jika rasa diri sendiri seorang hero, lebih baik sertai briged al Qassam daripada menjadi samseng di negara sendiri.

Sebagai pengguna, semua orang mempunyai hak untuk memboikot apa-apa produk. Walau apapun sebab untuk memboikot, hak untuk memboikot itu tetap ada. Saya tidak nafikan mahupun pertikaikan hak itu.

Kita memboikot kerana kita mahu memberi tekanan ke atas syarikat-syarikat yang dikatkaan menyumbang kepada Israel. Kita boikot untuk tunjukkan solidariti kita dengan penderitaan rakyat Palestine. Kita marah apabila Israel membunuh begitu ramai orang awam Palestine di Gaza dan kuasa-kuasa besar dunia tidak berbuat apa-apa, malahan ada yang menyokong Israel. Kita benci Zionisme kerana apa yang rejim Zionis telah lakukan selama ini.

Tetapi boikot mesti beradab. Janganlah dengan keghairahan kita memboikot, kita hilang pertimbangan dan perikemanusiaan. Janganlah demi boikot, kita sendiri berperangai seperti Zionis kecil.

Tindak tanduk sesetengah ‘pemboikot’ sudah melampaui batas. Walau apapun objektif murni yang ingin kita capai dengan cara memboikot, usaha itu sudah terpalit dengan perangai tidak bertamadun mereka di luar sana. Mereka ini mencemarkan nama baik Melayu dan Islam dan melemahkan usaha memboikot itu sendiri. Israel masih bermaharajalela, tetapi yang kena hina dan mengalami kerosakan adalah orang Malaysia kita.

Saya syorkan kita hentikan kempen memboikot ini dengan serta merta, sebelum ia menjadi lebih parah. Susun semula strategi, semak semula matlamat dan cermin diri kita sendiri terlebih dahulu.

Boikot perangai kita yang buruk sebelum kita boikot McDonald’s.


Tags:


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 11 August 2014. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Syahredzan Johan.

Read this first: LB Terms of Use

3 Responses to Boikot perangai kita yang teruk dahulu

  1. Ktt

    To Lord Bobo/ Shahrezan,

    All these vandalisms and hooligans were originated by those racist NGOs.
    From legal point of view, the resulting cause of these and possibly public disorders that may follow are deemed criminal? And shouldn't our PDRM nab those rascals as well as the NGOs?

  2. Aston Paiva

    I'm not going to read this article. I'm boycotting it.

  3. Pepper Lim

    Nice!