Wahai RAKYAT MALAYSIA,

Malaysia dahulunya merupakan jajahan British. Kita menggunakan sistem Westminster British yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Ahli-ahli Dewan Negara dipanggil Senator dan ahli-ahli Dewan Rakyat dipanggil Ahli Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan untuk menguruskan pilihan raya bagi memilih keahlian Dewan Rakyat.

Merujuk kepada sistem pilihanraya, Malaysia mengamalkan sistem “first-past-the-post” yang bermaksud: calon yang memiliki jumlah undi paling banyak akan menang. Oleh itu, setiap undi adalah penting. Secara amnya, untuk satu pilihan raya yang adil, prinsip yang paling penting ialah 1 Pengundi, 1 Undi, 1 Nilai.

Apakah proses persempadanan semula?

Menurut Artikel 113(2) Perlembagaan Persekutuan, penyemakan dan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya perlu dilaksanakan setiap kali tidak kurang dari 8 tahun dan tidak boleh melebihi 10 tahun selepas semakan terakhir. Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa apabila SPR bercadang untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan, SPR mestilah memaklumkan Speaker Dewan Rakyat dan Perdana Menteri serta mewartakan dalam Gazet dan menerbitkan dalam satu suratkhabar, pelan cadangan SPR. Sebarang bantahan boleh dibuat oleh pengundi dalam masa satu bulan selepas pelan cadangan diterbitkan.

Sekiranya SPR menerima bantahan terhadap pelan cadangan dari Kerajaan Negeri atau 100 orang atau lebih pengundi, SPR haruslah mengadakan siasatan awam atau “public inquiry” di mana Kerajaan Negeri atau pengundi-pengundi dapat memberi pendapat mereka.

Selepas prosedur tersebut selesai, SPR mestilah membentangkan laporan SPR ke Perdana Menteri tentang apa-apa pengubahsuaian atau sebab-sebab tiada pengubahsuaian. Jika ada, Perdana Menteri akan membentangkan laporan dalam Dewan Rakyat. Pelan cadangan SPR hanya memerlukan majoriti mudah (lebih 50%) untuk diluluskan. Setelah pelan cadangan diluluskan, ia akan diserahkan ke Yang di-Pertuan Agong.

Jika pelan cadangan SPR tidak disokong oleh lebih 50% Ahli-Ahli Parlimen, maka Perdana Menteri atas nasihat SPR, mesti meminda pelan cadangan tersebut dan membentangkannya semula. Oleh itu, peranan ANDA sebagai rakyat dan pengundi sangat penting dalam memelihara prinsip 1 Pengundi, 1 Undi, 1 Nilai.

Apakah “gerrymandering”?

“Gerrymandering” adalah proses persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya dengan menggaris sempadan-sempadan secara tidak adil dan tidak seimbang untuk memberi manfaat politik kepada satu pihak yang kebiasaannya adalah pihak parti politik yang berkuasa dan memerintah. Salah satu impak “gerrymandering” adalah ketidakseimbangan nilai undi para pengundi.

Sebagai contoh, dalam negeri yang sama (Selangor), Kapar dengan 144,369 pengundi mempunyai 4 kali ganda bilangan pengundi Sabak Bernam iaitu 37,390 pengundi. Ini bermakna, nilai undi seorang pengundi di Sabak Bernam adalah sama dengan nilai undi 4 orang pengundi di Kapar. Adakah ini adil?

Punca “gerrymandering” adalah, antara lainnya, seperti berikut:

1. Pada satu masa dahulu, SPR perlu menggaris semula sempadan kawasan Parlimen dan negeri berdasarkan kriteria yang mengambilkira jumlah penduduk dan saiz kawasan yang ditentukan sebagai “safeguard”. “Safeguard” ini telah dikeluarkan pada tahun 1962. Kini, tidak dinyatakan jumlah tetap ataupun had jumlah pengundi mahupun saiz kawasan untuk pertimbangan SPR semasa menggaris semula sempadan. Oleh itu, ini telah membolehkan “gerrymandering” berlaku menyebabkan terjadinya jurang yang jelas antara kawasan di mana purata undian adalah sebanyak 10 kepada 1.

2. Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan pada asalnya, mengehadkan jurang jumlah pengundi dalam setiap kawasan pilihan raya supaya tidak melebihi 15% dari purata setiap kawasan. Tetapi, Perlembagaan dipinda dan kewajaran 15% itu dikeluarkan. Ini bermakna tidak terdapat apa-apa had lagi.

3. Walaupun Perlembagaan membenarkan kawasan pilihan raya luar bandar lebih kecil dari kawasan bandar mengikut “weightage” yang sesuai, apa dimaksudkan “bandar”, “luar bandar” atau “separa bandar” tidak dijelaskan. Tambahan lagi, kriteria “weightage” yang terpakai tidak diketahui. Ini amat membimbangkan kerana Perlembagaan juga telah dipinda untuk mengeluarkan had jurang di antara saiz kawasan luar bandar dengan kawasan bandar. SPR bebas melaksanakan persempadanan tanpa kriteria had saiz kawasan.

4. Oleh kerana semua pelan cadangan mesti melalui Perdana Menteri sebelum ia dibentangkan dalam Dewan Rakyat, proses ini berpotensi untuk menggalakkan penyalahgunaan kuasa oleh parti politik pemerintah. Sebagai contoh, pengalihan “kawasan selamat” kubu kuat tradisi Barisan Nasional dalam usaha mencipta kawasan yang memberi kekuatan baru untuk parti Barisan Nasional.

Hari ini, wujudnya jurang populasi yang luas dari satu kawasan ke kawasan yang lain yang menyebabkan nilai undi pengundi tidak seimbang dengan nilai undi pengundi di kawasan lain. Contoh di antara Kapar dan Sabak Bernam menunjukkan kecacatan pembahagian yang jelas di mana adanya ketidakseimbangan yang ketara antara pengundi-pengundi dalam kedua-dua belah kawasan. Justeru itu, konsep murni demokrasi “satu pengundi, satu undi, satu nilai” itu sebenarnya tidak lagi wujud.

“Gerrymandering” dan ketidakseimbangan saiz kawasan yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah Barisan Nasional bermakna 30% rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dan separa-luar bandar telah menghantar 71% ahli-ahli politik ke Parlimen pada pilihanraya 2013. Jurang saiz kawasan di negeri di bawah pengaruh Barisan Nasional dan negeri di bawah pengaruh Pakatan Rakyat boleh dilihat dalam graf berikut:

Sumber: malaysiakini.com

 

ANDA boleh bertindak!

Setakat ini 4 proses persempadanan semula telah berlaku: 1974, 1984, 1994 dan 2003. Proses seterusnya diramalkan akan berlaku dalam masa terdekat (penyemakan semula sepatutnya berlaku pada Mac 2011, tapi SPR membuat keputusan untuk menangguh proses tersebut atas alasan persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-13).

Tahun 2003 merupakan tahun terakhir proses persempadanan semula dilakukan oleh SPR. Ketika itu, jarang ada mana-mana penglibatan awam oleh rakyat. Kini masanya rakyat BANGKIT. Walau apa pun dan tidak kira siapa yang menang atau kalah di pilihan raya umum, prinsip utama 1 Pengundi, 1 Undi, 1 Nilai mestilah ditegakkan, dibela dan dikembalikan.

SPR akan menggaris semula sempadan kawasan pada penghujung tahun ini. Jika SPR sekali lagi membahagikan setiap kawasan dalam keadaan yang tidak seimbang, pengundi akan mengalami diskriminasi berterusan dalam nilai undi mereka sekurang-kurangnya untuk 8 tahun seterusnya. Kita mesti menuntut kembali nilai undi kita. Malangnya, pengundi hanya diberi masa sebulan untuk membantah pelan cadangan SPR.

Tiba masanya sekarang rakyat harus secara aktif mengumpul dan menggerakkan keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan untuk bersedia meluahkan bantahan mereka dalam siasatan awam berkenaan proses persempadanan semula. Ini amat perlu untuk menuntut pilihan raya yang adil dan saksama.

Kalau kita gagal membantah pelan cadangan SPR yang tidak logikal dan tidak munasabah, kesannya parah untuk kita dan anak-anak kita. Undi anda telah kekurangan nilai dan kemungkinan, satu hari kelak, akan kehilangan nilai sama sekali.

Kembalikan Prinsip 1 Pengundi, 1 Undi, 1 Nilai !

Yang Berkhidmat,

#SekolahAktivisme dan Rakyat Malaysia

This memorandum is prepared by Sekolah Aktivisme, published in conjunction with Sekolah Aktivisme’s Gerrymandering Awareness Week. For more information, please visit our website, or our facebook and twitter pages.

Sekolah penggerak rakyat. Spawn of UndiMsia. Currently battling against gerrymandering through our 1RUN: 1 Rakyat, 1 Undi, 1 Nilai project. Visit us on sekolahaktivisme.org, and on our Facebook and Twitter...