Salam sejahtera kepada pengerusi majlis,
Ahli Parlimen daerah Hulu Langat, YB Dr Che Rosli bin Che Mat,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Dusun Tua, YB Tuan Haji Razaly bin Hassan,
Ketua Bahagian Hal Ehwal Politik, Media dan Maklumat, Kaunselor Utama Marcel Roijen yang mewakili Duta Kesatuan Eropah,
Ketua-ketua masyarakat orang asli, penduduk orang asli dan hadirin sekalian

Terima kasih saya ucapkan kepada para hadirin hari ini kerana hadir di majlis pelancaran adopt-the-street yang merupakan kemuncak projek Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) yang dibawakan oleh UndiMsia! dengan kerjasama ADUN Dusun Tua, YB Tuan Haji Razaly bin Hassan dan Kesatuan Eropah.

Projek ini merupakan sebahagian dari projek dengan Kesatuan Eropah yang bertujuan bagi memperkasakan belia orang asli. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam memajukan komuniti mereka sendiri.

Idea untuk memulihara padang ini dari padang yang kecil kepada yang lebih besar ialah supaya ianya dapat dimanfaatkan sebagai padang rekreasi dan ianya telah bermula semenjak Oktober tahun lepas. Ianya dimaterialisasikan hasil dari perbincangan di antara belia dan penduduk setempat, dengan wakil ADUN semasa program “YB Turun Padang” pada 27 Oktober 2013 yang dianjurkan oleh UndiMsia!.

Padang ini diharap dapat menggalakkan belia-belia orang asli beriadah dan menjalankan aktiviti-aktiviti sihat yang lain. Selain itu, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, acara tradisi dan perayaan boleh juga dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan komuniti di sini.

Akhir sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada komuniti di sini kerana telah memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi terhadap projek yang kami jalankan.

Sekian, terima kasih.

Ucapan diberikan oleh Mazni Ibrahim, Project Officer pada 15 Mac 2014 di pelancaran ‘Adopt-the-Street’ Kampung Genting Peres, Hulu Langat.

Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) is a non-profit based in Kuala Lumpur with the mission of promoting active democratic participation and human rights awareness.