Kemuafakatan penduduk orang asli Kampung Genting Peres menghasilkan projek ‘Adopt-the-Street’ UndiMsia!

Penulis memberi penerangan mengenai projek UndiMsia! di Kampung Genting Peres

UndiMsia! telah menjalankan satu kajian pada tahun 2012 di semua 9 perkampungan orang asli di Hulu Langat. Hasil dari kajian tersebut, kami mendapati bahawa tiada apa yang lebih penting bagi orang asli di sini melainkan hak tanah adat. Tanah bagi orang asli adalah nadi dan kehidupan mereka. Di sini mereka dilahirkan, bermastautin, bercucuk-tanam, mencari rezeki dan menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain dari itu, kajian tersebut juga menunjukkan bahawa pendidikan adalah perkara lain yang dianggap penting bagi penduduk orang asli. Sekurang-kurangnya pendidikan asas dapat membantu mereka menangani kes-kes penipuan yang melibatkan tanah adat mereka. Selain itu, kajian tersebut juga mendedahkan kegusaran mereka terhadap kurangnya atau tiadanya kemudahan asas yang disediakan seperti rumah, air dan elektrik.

Berbanding dengan rakan-rakan mereka di negeri lain, orang asli di Selangor bolehlah dianggap bertuah. Ini kerana kerajaan negeri Selangor telah mewujudkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli (BBTOAS) yang bertujuan untuk menjalankan pemetaan tanah adat di perkampungan orang asli di seluruh negeri Selangor. UndiMsia! telah bersama-sama turun padang dengan BBTOAS dan masyarakat orang asli di Kampung Genting Peres untuk melakukan pemetaan tanah adat komuniti orang asli di sini.

Penduduk-penduduk Kampung Genting Peres memberi tumpuan kepada taklimat BBTOAS mengenai pemetaan tanah

Sebelum pemetaan dilakukan, komuniti di sini telah berbincang dan mencapai kata sepakat untuk melakukannya untuk kebaikan bersama. Kampung Genting Peres merupakan kampung pertama di daerah Hulu Langat yang menjalankan pemetaan ini dan seramai 20 puluh orang telah bersama-sama menjalankan pemetaan yang pertama.

Menurut BBTOAS, sepanjang penglibatan mereka dalam pemetaan, jumlah ini adalah jumlah yang paling ramai yang pernah turun bersama-sama dari sebuah perkampungan orang asli. Ianya membuktikan kemuafakatan penduduk di sini.

Kesatuan komuniti di perkampungan di sini amatlah cemerlang. UndiMsia! telah menjalankan pelbagai program bagi memperkasakan belia dan masyarakat di sini dan telah mendapat kerjasama yang amat baik. Selain latihan dan program pemetaan yang telah dijalankan bersama BBTOAS, program lain yang kami anjurkan ialah latihan mengenai hak orang asli yang termaktub di Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (UNDRIP) dan hak pendidikan yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

SUHAKAM telah  menerangkan hak-hak mereka terhadap pendidikan, samada hak-hak ke sekolah peringkat rendah atau tinggi, latihan teknikal mahupun professional; bantuan kewangan dan bantuan lain yang disediakan; perkhidmatan yang disediakan seperti pengangkutan percuma dan faedah-faedah pendidikan yang lain. UndiMsia! telah menghasilkan infografik ‘Orang Asal Ada Hak Pendidikan” bagi memudahkan penerangan mengenai faedah-faedah pendidikan ini. Infografik ini telah dihasilkan dengan konsultasi bersama SUHAKAM.

Selain itu UndiMsia! telah menghasilkan infografik “Orang Asal Ada Hak Tanah Adat” dan “Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (UNDRIP)”. Dua infovideo mengenai hak tanah dan UNDRIP juga ada dihasilkan dengan kerjasama Pusat Komas dan Jaringan Orang Asli Semenanjung (JOAS). Kesemua infografik dan video yang dihasilkan telah digunakan semasa sesi latihan untuk membantu meningkatkan pemahaman mereka terhadap hak-hak mereka seperti yang termaktub di dalam UNDRIP.

Kemuncak projek ini adalah perlancaran Adopt-the-Street di mana satu projek ameniti telah dipilih berdasarkan perbincangan di antara komuniti orang asli di Kampung Genting Peres, Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu YB Tuan Haji Razaly bin Hassan bersama UndiMsia!. Akhirnya, satu padang rekreasi dapat diwujudkan untuk belia-belia orang asli beriadah dan bermain bola. Ini dapat menggalakkan belia di sini melakukan aktiviti-aktiviti yang sihat. Padang ini juga diharap dapat mengeratkan lagi komuniti di sini di mana aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain boleh dijalankan.

Pada 15 Mac 2014, projek ‘Adopt-the-Street’ akan dilancarkan di Kampung Genting Peres, Hulu Langat. Saudara-saudari dijemput hadir untuk bersama-sama meraikan perlancaran tersebut. Untuk pertanyaan selanjutnya, sila emel [email protected]

Artikel ini ditulis oleh Mazni Ibrahim, Project Officer, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights


Tags: , , , , , , , ,


Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) is a non-profit based in Kuala Lumpur with the mission of promoting active democratic participation and human rights awareness.

Posted on 14 March 2014. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Malaysian Centre for Constitutionalism & Human Rights (MCCHR).

Read this first: LB Terms of Use