Tramizi Hussin mendalami fenomena hiburan Malaysia kini.

Ada gejala dalam fenomena budaya popular massa iaitu diri drama adaptasi novel cinta popular, yang mendedahkan kecetekan daya fikir masyarakat. Tidak sukar untuk mengesan fenemona ini — kebanyakkannya bermula atau diakhiri dengan ‘suamiku’ (‘Mr Arrogant’, playboy, ustaz dan lain-lain) atau ‘isteriku’ (‘sebenarnya saya isteri dia’ dan lain-lain). Dijaja untuk tontonan awam setelah dipakejkan dengan elemen romantic-komedi, ia menarik perhatian jutaan penonton yang langsung meningkatkan jualan novel yang awalnya diadaptasi.

Sebelum saya menghuraikan mengapa fenomena ini satu bentuk ‘kejijikan budaya’, biarlah saya mengaku yang saya tidak habis menonton drama-drama tersebut mahupun membaca habis novelnya. Bukannya saya tidak pernah mencuba, tetapi setiap kali saya cuba duduk menonton atau membaca percuma di kedai buku saya, akan dilanda kejijikan yang amat sangat. Seolah-olah boleh jadi gila meroyan kalau diteruskan juga. Jadinya saya menulis artikel ini dengan bias, cerminan sebuah pemikiran berdasarkan data yang tidak lengkap.

Satu perkara yang boleh ‘dibanggakan’ ialah sekurang-kurangnya budaya popular di Malaysia terbukti mempunyai trend sendiri. Di barat, mereka ada cerita pontianak lelaki yang mengerlip seluruh badan; di Malaysia, kita ada cerita lelaki yang kurang ajar, tidak ada budi bahasa, dan biadap pada mulanya. Di barat, mereka ada cerita perempuan yang terpilih untuk berbunuhan dalam arena; di sini kita ada cerita perempuan yang bertudung, lemah lembut, rela dianiaya kerana sudah pasti sabar-tabah-redhanya akan mengubah sikap buruk si putera idaman. Ini memang ‘Barangan Buatan Malaysia’, dan tanpa ragu-ragu ramai daripada kita yang membelinya.

Soal mengapa dan kenapa penerbit drama kita terus-terusan menghasilkan karya sebegini tidaklah dapat difahami dengan rasional akal yang jelas. Letaklah pelbagai alasan sekalipun (masyarakat suka, syarat stesyen television, duit mudah), namun di akhir persoalan tetap timbul tanda Tanya: ‘Oh, mengapa?’ Jadi, kita biarkan sahaja mereka dengan labu-labu mereka. Saya hendak menulis tentang perkara lain, iaitu tentang bagaimana ‘kisah cinta moden Malaysia’ yang dipasarkan ini mendedahkan kecetekan masyarakat kita tentang soal kesaksamaan.

Ramuan gejala ini mudah: kisah cinta tidak kesampaian; kahwin kerana dipaksa; emak/ayah/kakak/abang/adik yang jahat dan kejam; lelaki kacak/muka jambu/sekali tengok pasti orgasme yang kasar; sang lelaki biadap kerana masih tidak ketemu perempuan bertudung/cantik/lemah lembut/kasar yang dapat ‘menyelami dan memahami sikap dan perasaannya kepada dunia yang fana ini’. Letaklah semua ramuan ini, ditambah dengan adengan-adengan meruntun perasaan, dan melambunglah cerita yang dijual. Berdondonlah orang kita menonton, sambil membeli tisu untuk menyapu air mata kesedihan dan mengunyah popcorn untuk terbuai dalam adegan yang manis mengalahkan gula.

Kejijikan pertama: Sampai bilakah stereotaip gender/kaum/kelas hendak diagungkan? Nah, sebelum itu perlu untuk menjelaskan kenapa stereotaip  dalam media massa sangat penting untuk dikaji. Ini kerana generalisasi imajinasi dan gambaran kelompok tertentu ini akan mempengaruhi masyarakat. Bukan dengan kaedah ‘brainwash ala BTN’ sampai kita tidak boleh berfikir bebas, tetapi dengan cara meletakkan satu standard normatif dalam pemikiran ruang awam dengan menyuakan ‘kaedah yang sepatutnya difikirkan untuk kelompok tertentu’, sampai ia dianggap ‘normal’ dan tidak salah. Misalnya, lelaki kacak anak orang kaya selalunya sombong dan bongkak, atau watak perempuan utama mestilah lemah macam Cinderella yang dibuli emak dan adik-beradik tirinya yang kejam, atau watak perempuan Cina selalunya watak sampingan yakni sahabat karib (Alice Voon dalam Sembilu adalah epitome generalisasi ini), atau watak orang Melayu kampung mestilah ‘jakun’ bila masuk bandar, atau watak Dato’ dan Datin mestilah hidup dalam kebobrokan hedonisme barat, atau watak lelaki-pemukul-isteri bukanlah kerana dia jahat, tetapi kerana dia tertekan dan menagih dadah, atau ratusan lain watak-watak ‘template drama TV Malaysia’.

Apabila ada bentuk watak yang diterapkan banyak kali, di situlah stereotaip  bermula — apabila ada bentuk kelakuan/peranan yang diletakkan ke atas kelompok tertentu. Akan ada yang bertanya, ‘Habis tu macam mana nak tulis cerita kalau semua tak boleh?’. Tentunya cerita fiksi sekurang-kurangnya perlu ada antagonis dan protagonis, perlu ada watak-watak ‘love-interest, comedic relief, supporting character dan lain-lain. Setiap watak ini diikat kepadanya sebuah susuk dengan satu set kelakuan dan karakter. Yang menjadi persoalan ialah apabila watak-watak ini dikaitkan dan sinonim dengan kelompok tertentu ( contohnya, watak lelaki dan perempuan utama perlulah Islam dan Melayu, watak orang kampung selalunya Melayu dan bodoh bendul, watak lelaki Cina gangster yang bercakap pelat gua-lancau,).

Inilah yang berlaku dalam gejala drama suamiku-isteriku sekarang, dan umumnya inilah yang berlaku dalam industri filem dan drama tempatan. Watak perempuan (Islam, Melayu, bertudung) lemah yang berhadapan dengan watak lelaki (Melayu, Islam, macho) dan vice versa. Sampai kalau kau duduk tengok lima minit, kau fikir, ‘Apa kebodohnya perempuan ni?’ atau ‘Apa kejadahnya lelaki biadap ni?’ Sayalah yang bercakap begitu.

Kejijikan kedua: Sampai bilakah gambaran gender hendak dipotretkan sebegitu rendah? Hubungan lelaki dan perempuan diibaratkan sebagai sebuah permainan ‘siapa yang dapat bertahan dengan perangai gila yang satu lagi’. Kemudian, disimpulkan diakhirnya sebuah penyesalan, dan keduanya jatuh cinta dan hiduplah beranak pinak sampai akhir masa.  Ini ialah fairy tale edisi terhad Malaysia!

Banyak persoalan yang timbul — salah satunya ialah  watak lelaki utama yang memang kurang ajar dan biadap, malah sampai tahap menganiaya perempuan, dan watak perempuan utama yang masih terus-terusan hidup bersama sebagai seorang isteri yang setia. Mengapa? Untuk membuktikan yang lelaki wajar diberi peluang berkali-kali dan dia akan berubah kerana setianya wanita?  Oh, mungkin juga amanat orang tua yang nak sangat si teruna anak orang kaya itu, atau ibu tiri yang kejam hendak bolot harta warisan heroin anak yatim piatu? Wow, inilah sahaja tahap kreatifnya orang industri kita! Maka kita ditayangkan dengan adegan demi adegan ‘biadap tetapi manis’ sebelum diakhiri dengan ‘penyesalan hero/heroine’.

Jadi adakah ini hubungan lelaki-perempuan yang kita ingin terapkan sebagai hiburan masyarakat? Bahawa tidak salah untuk berkasar dan menganiaya asalkan setia dan tabah, kerana diakhirnya semua akan berakhir dengan bahagia? Apa ini satu bentuk propaganda ‘kebahagian palsu’ budaya popular? Ia bukan sahaja tidak ada moraliti sosial, tidak sensitif kepada soal kesaksamaan gender, atau perubahan budaya 1Malaysia(?),  tetapi ia juga gagal menjadi kreatif atas lesen kreativiti.

Maka negara kita yang sebelum ini khayal dengan cerita seram, gangster, Hindustan, dan K-pop sudah mula berubah kepada kisah ‘kebahagiaan palsu’ ini. Setiap kali anda membuka televisyen atau YouTube, cubalah tonton klip-klip drama tersebut — kalau anda boleh tersenyum dan hati berbunga-bunga setiap kali menonton adegan ‘biadap manis’ lelaki memarahi perempuan, agaknya anda ada masalah mental.

Oh, jangan bimbang, masalah mental anda ialah kenormalan kejijikan budaya masyarakat dalam kisah ‘Suamiku, Isteriku dan Negaraku’.

 

Imej paparan lukisan Ilya Abdullah

Seorang manusia dan rakyat yang selalu berfikir bukan-bukan dan kadang-kadang menulis bila dah tepu kepalanya.

4 replies on “Suamiku, Isteriku dan Negaraku”

  1. Kejijikan paling teruk: Bila watak utama lelaki biadap+macho itu merogol watak utama perempuan yang lembut+sopan itu. Kemudian watak utama perempuan itu mengahwini perogolnya demi menjaga maruahnya dan watak utama lelaki aka perogol ini berubah dan jatuh cinta berkat setia dan tabah watak utama perempuan. Maka watak utama perempuan ini hidup gembira bersama perogolnya.

    Glorifies rape culture.

  2. cerita melayu? hah! orang kampung aje tengok cerita bodoh, jauh dari realiti tu. kita orang bandar tengok criminal minds, big bang theory, csi, law and order, the good wife…

Comments are closed.