Daniel Teoh meninjau propaganda yang tersebar di kalangan kaum Melayu dan Cina kini.

Semakin banyak laporan berita dan isu semasa yang terpapar di media cetak dan internet yang nampaknya melibatkan dua kaum terbesar dalam Malaysia: kaum Melayu dan Cina.

Mahu tidak mahu, hubungan antara kedua-dua kaum ini akan secara langsungnya menentukan nasib negara dan secara tidak langsungnya, nasib kedua-dua kaum tersebut. Maka hubungan antara masyarakat Melayu dan Cina memainkan peranan paling mustahak dalam ‘survival’ dan perkembangan bangsa masing-masing dan juga negara. Sama ada inginkan hubungan ini punya asas yang kukuh atau sebaliknya bergantung kepada agenda politik dalam lubuk sanubari masing-masing.

Ada penulis yang ingin menggunakan nama besar seperti Keris Mas untuk menyokong sentimen dan idea nationalisme mereka. Novel Rimba Harapan misalnya, digunakan untuk menunjukkan bagaimana masyarakat Melayu kian menghilang di bumi sendiri. Tanpa sedikit pun sikap kurang ajar atau mencabar atau menghina, penulis ini hairan bahawa ada antara mereka ini mengaku diri sebagai umat Islam yang sejati. Hairan penulis ini kerana imej yang Islam sering diangkat adalah yang universal, tetapi imejnya dikacau oleh mereka yang amat menititikberatkan kaum Melayu dan ‘survival’ masyarakat terbesar Malaysia itu.

Dalam novelnya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas turut memberi petanda bagaimana untuk mendamaikan serta mengeratkan hubungan Melayu dan Cina. Melalui watak Datuk Tan, beliau mengatakan bahawa “tempat kita (orang Cina) dalam sejarah pembangunan negeri ini ialah sebagai kongsi. Mulanya kita menjadi orang kongsi orang Melayu, kemudia kita menjadi kongsi orang Inggeris. Sekarang kita mesti kembali menjadi kongsi orang Melayu. Kalau kita cuba menentang aliran ini, kita akan hancur atau kedua-duanya, Melayu dan Cina, akan hancur dan orang-orang lain akan mengambil alih.”

Keris Mas bukan sahaja menggalakkan orang Melayu untuk mengambil tempat mereka dalam sejarah yang telah dirampas oleh penjajah, beliau turut mengiktiraf kewujudan, kedudukan dan kemahiran orang Cina dalam hal perniagaan.

Tidak pula ada nampaknya perkataan seperti ‘ultra-kiasu’ (rekaan Ridhuan Tee), ‘ancaman’, ‘dominasi’, dan sebagainya. Warga Malaysia ada banyak yang perlu dipelajari daripada tokoh-tokoh negara yang dulu.

Pada penulis ini, sikap dan semangat Keris Mas ini amat jarang dilihat dalam politik Malaysia kini; yang ada cuma jaguh kampung yang melaungkan slogan bersemangat tetapi tidak banyak manfaatnya kepada masyarakat Melayu. dan pada masa yang sama menyinggung perasaan komuniti minoriti lain.

Inilah keistimewaan rakyat Malaysia ala Keris Mas: beliau bukan sahaja melahirkan rintihan, tetapi turut menjana jalan penyelesaian; beliau bukan sahaja mengambil berat masa depan dan hal-ehwal masyarakat Melayu, tetapi beliau turut mengiktiraf dan menjaga perasaan kaum minoriti. Penulis ini amat kagum akan pemikiran sebegini —  yang tidak menganggap keperluan dan perbezaan antara masyarakat sebagai sesuatu yang bertindih, tapi sesuatu yang wajar dijaga dan diraikan bersama.

Meninjau landskap politik Malaysia masa kini, ada berapa ahli politik yang berjiwa besar seperti Keris Mas?

Kaum penulis ini adalah kaum minoriti di negara bertuah ini, dan fakta ini akan bertambah ketara dengan peredaran masa. Soalnya, dengan peratus populasi yang tinggi dan terus meninggi, mengapakah masyarakat Melayu, khususnya yang tinggal di luar bandar, disuapkan tanpa henti-henti dengan rasa takut terhadap kawan Cina dan sebagainya?

Sebagai penutup, penulis ini teringat empat rangkap puisi mendiang Usman Awang yang apabila dibaca, amat mengharukan:

Teguh-teguhlah menyanyikan lagu tanah air tercinta

Bersama kita atas kesegaran kepedihan bumi merdeka

Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa

Hidup ini sudah terbenam pada persamaan nasib semata

(Pemuda dan Gadis Tionghoa)

 

Imej paparan dari 123rf.com

One reply on “Pemimpin Melayu Saya”

Comments are closed.