Zharif Badrul membincangkan perlunya Ordinan Darurat demi keselamatan Malaysia.

Kejadian tembak dan bunuh mewarnai kes jenayah di Malaysia baru-baru ini. Dalam masa lebih kurang lapan hari, terdapat lapan kes tembak dan bunuh yang dilaporkan oleh media. Mungkin ia satu kebetulan dengan pertelingkahan yang juga wujud baru-baru ini berkenaan isu sama ada Malaysia memerlukan undang-undang pencegahan (preventive law) baru, di mana Peguam Negara bertegas bahawa negara kita tidak memerlukan undang-undang baru untuk menangani jenayah berat, sementara pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri pula berpendirian bahawa undang-undang baru diperlukan dalam memerangi jenayah berat.

Terdapat pandangan bahawa pemansuhan Ordinan Darurat (Emergency Ordinance (EO)) telah menjadi punca meningkatnya kes jenayah sebegini. Pandangan ini seolah-olah ingin memberitahu bahawa langkah Perdana Menteri Malaysia memansuhkan EO ini adalah satu kesilapan besar yang menjejaskan keselamatan negara.

Isunya di sini: Apakah Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menangani kes jenayah berat seperti tembak dan bunuh ini? Apakah kes jenayah berat sebegini mampu dihapuskan dengan pelaksanaan undang-undang baru?

Ordinan Darurat: Kembalikan semula?

Saya berpendapat bahawa langkah memansuhkan Ordinan Darurat adalah satu langkah progresif yang diambil dalam memastikan sistem perundangan Malaysia seiring dengan pembangunan hak asasi manusia. Ini kerana Ordinan Darurat memberi kuasa yang sangat luas dan ‘tidak munasabah’, contohnya:

i) Seksyen 3(3)  membenarkan seseorang berada di dalam tahanan polis selama 60 hari tanpa sebarang perintah penahanan.

ii) Seksyen 3(1) memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Ordinan tanpa waran tangkap.

iii) Seksyen 4(1) pula memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri membuat perintah penahanan selama dua tahun untuk mencegah individu melakukan perbuatan menggugat      keselamatan awam atau melakukan perbuatan keganasan atau jenayah yang melibatkan perbuatan keganasan.

Dalam ertikata lain, Ordinan Darurat memberi kuasa yang sangat besar kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa yang ‘berpotensi’ melakukan keganasan yang mampu menjejaskan ketenteraman awam. Bukan itu sahaja, sesiapa ini juga boleh ditahan dalam tempoh masa yang cukup panjang (dua tahun). Dua tahun atau 730 hari ditahan tanpa dibawa dan dibicarakan ke Mahkamah.

Justeru saya berpendapat bahawa Ordinan Darurat ini selayaknya dimansuhkan dan tidak perlu digali kuburnya untuk menghidupkannya semula. Tambahan pula, kerajaan telah memperkenalkan undang-undang baru untuk menggantikan pemansuhan EO dan ISA, yakni Security Offences (Special Measures) Act 2012 (SOSMA).

SOSMA: Beberapa hal

Saya ingin mengutarakan beberapa isi penting yang terdapat dalam akta baru ini, iaitu:

i) Sekyen 4(1) yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan individu yang  disyaki terlibat dalam jenayah keselamatan tanpa waran tangkap dikeluarkan.

ii) Seksyen 4(3) melarang seseorang daripada ditangkap dan ditahan kerana pendirian politik atau aktiviti politiknya.

iii) Seksyen 4(5) memberi kuasa kepada polis berpangkat Superintendant atau lebih tinggi untuk melanjutkan tempoh tahanan selama 28 hari bagi tujuan siasatan.

Pada masa yang sama, seksyen 2 SOSMA memperuntukkan akta ini digunakan untuk menangani jenayah keselamatan dan definisi jenayah keselamatan dijelaskan dalam Jadual Pertama akta tersebut, yakni jenayah-jenayah yang termaktub di bawah Bab VI dan VIA Kanun Keseksaan (Penal Code). Jenayah berat seperti tembak dan bunuh ini boleh dikategorikan sebagai jenayah keselamatan kerana bab VIA Kanun Keseksaan meliputi perbuatan jenayah atau ancaman yang menimbulkan ketakutan kepada masyarakat. Perbuatan atau ancaman tersebut adalah jenayah keselamatan sekiranya:

a) Ia menyebabkan kecederaan serius ke atas anggota badan individu

b) membahayakan nyawa individu

c) menyebabkan kematian

f) menggunakan senjata api atau bahan letupan.

Apabila kes jenayah berat seperti tembak dan bunuh ini boleh diklasifikasikan sebagai jenayah keselamatan, maka ia juga tertakluk kepada SOSMA dan seksyen 4(1) SOSMA membenarkan pihak polis menahan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam perbuatan jenayah keselamatan.

Di samping itu saya juga tertarik untuk mengulas seksyen 5 SOSMA yang memperuntukkan menyentuh isu notifikasi kepada keluarga terdekat atau peguam. Seksyen 5(3) menjelaskan bahawa seksyen ini digunapakai meskipun ia bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpendapat bahawa Seksyen 5(3) tidak munasabah, kerana ia membawa erti bahawa peruntukan ini lebih tinggi daripada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kerana Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini dan undang-undang yang tidak konsisten dengannya akan diisytiharkan tidak sah atau terbatal. Di samping itu, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan juga tidak memberi pengecualian kepada SOSMA. Justeru SOSMA seharusnya tertakluk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan

Saya berpendapat bahawa Malaysia tidak memerlukan undang-undang baru bagi menangani jenayah berat yang melanda negara ini. Undang-undang sedia ada seperti SOSMA dan Kanun Keseksaan telah mencukupi untuk membanteras kes jenayah di negara ini. Apalah gunanya jika kita mempunyai banyak undang-undang tetapi tiada penguatkuasaan yang efektif dan undang-undang tersebut tidak dilaksanakan dengan sebaiknya? Buatlah 10 atau 20 undang-undang pencegahan atau undang-undang membanteras jenayah berat, namun jika pelaksanaan dan penguatkuasaannya lemah, undang-undang ini akan menjadi ‘hiasan’ atau tampalan semata-mata kerana ia tidak memberi sebarang kesan positif dalam menangani jenayah berat yang melibatkan keselamatan dan kepentingan masyarakat awam.

Apa yang perlu ditekankan sekarang ini ialah langkah-langkah membanteras jenayah berat dengan menggunapakai undang-undang yang sedia ada. Kita perlu mengenalpasti mengapa seseorang itu ditembak dan dibunuh serta bagaimana senjata itu boleh dibawa masuk ke dalam negara ini. Jika dua perkara ini dapat dikenalpasti, saya yakin dan percaya bahawa Malaysia tidak memerlukan undang-undang baru untuk menangani jenayah berat ini.

Jangan undang-undang itu digubal hanya kerana mahu menambah lagi kuasa yang sedia ada. Harus diingat bahawa matlamat penggubalan undang-undang itu ialah membanteras jenayah dan melindungi kepentingan awam. Ia bukannya digubal untuk memberi lebih banyak kuasa kepada pihak tertentu. Undang-undang yang sedia ada telah memberi kuasa yang berpatutan untuk menangani jenayah berat, maka mengapa kita perlukan undang-undang baru lagi?

Imej dipetik dari Malaysia Chronicle.

Used to be a part-time contributor in The Malaysian Insider by using the pseudonym 'loyar muda'. When it comes to writing something, he becomes too picky and choosy. He refuses to give opinions or to write...

3 replies on “Undang-Undang Pencegahan Baru: Untuk Rakyat atau Untuk Kuasa?”

  1. UMNO-PDRM + Samseng……..sengaja buat bunuh….hebohkan masalah itu untuk menakutkan rakyat agar setuju dengan segala kezaliman yang akan Datang…..tengok kat lahat datu….UMNO-Sulu Terrorist…terus bunuh, curi, rampas….sebelum dan selepas pilihanraya….. Tapi masa pilihanraya…semua under Kontrol….

    Samalah….Bom, bunuh kat Malaysia dah biasa……cuma Korrupsi UMNO-PDRM yang tak erti apa sedang berlaku……Inilah malaysia yang dicipta UMNO dan diiktaraf Sultan-Agong!!

Comments are closed.