Rencana ini diadaptasi dan dikemaskini daripada siri rencana aku semasa menjadi (PM) PopMuda untuk PopIN beberapa tahun lepas. Siri rencana asal boleh didapati di sini bersama dengan Twitterview dengan kawan-kawan PopIN.

Hari Jumaat! Hari terakhir untuk ‘publisiti murahan’ di PopIN.

Apa topik hari ini? Jujurnya, aku masih buntu, jadi aku akan terus menaip sehingga ada satu cerita yang aku harap agak koheren. Hari ini terlalu sibuk. Bangun pukul 9:30 pagi (untuk aku itu sudah cukup hebat) dan terus berkejar untuk persiapan forum Saya Anak Bangsa Malaysia di Pulau Pinang hari Ahad ini. Ini pun baru masuk pejabat untuk menyiapkan post hari Jumaat.

Bagi sesiapa yang telah mengikuti twitterview aku dengan PopIN semalam, aku ada ditajukan soalan mengenai apa yang boleh kita lakukan, selain daripada mengundi, untuk mengubah status quo yang sedia ada sekarang. Aku ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai jawapan yang aku berikan semalam oleh kerana 140 abjad agak terbatas.

Sumber: http://americanamanda.blogspot.com/2012/11/rock-vote.html

# 1 – Mendaftar Sebagai Pengundi (21+)

Ini bagi aku, tindakan yang paling senang. Boleh buat di mana-mana pejabat pos. Tidak perlu membayar apa-apa. Bawa MyKad kau dan ibujari tangan kanan. Borang pun tak perlu di isi, yang belakang kaunter Pejabat Pos akan uruskan. Hanya semak butiran kau dan turunkan cap jari. Sekarang-kan sudah ada inisiatif e-kerajaan, semuanya mudah kan (I do have issues with privacy policies, a topic for another day)? Tambah-tambah lagi, sekarang semakin kerap dijalankan operasi pendaftaran di kompleks membeli-belah dan acara-acara keramaian. Lagi senang!

Satu saja penghalang, iaitu diri sendiri. Dan kalau kau (sekurang-kurangnya) tak mendaftar, ‘sistem’ sudah menang dan status quo akan berterusan. Sistem kita telah direka and dirangka untuk wujud dalam perpetuity dan dijikalau tidak ada anjakan, kalau tidak ada orang ‘melawan’, membangkang dan meluahkan pendapat yang bertentangan, ia tidak akan berubah. Kalau ‘kurang puas hati’ dengan The Establishment yang sedia ada, silalah mengundi.

Aku sendiri menganggap mengundi dan piliharaya adalah hanya sebahagian daripada satu sistem demokratik. Ia penting untuk memastikan kita meletak orang yang ‘betul’ di tempat yang ‘betul’, tetapi pilihanraya tidak sama dengan demokrasi. Demokrasi perlu wujud dan diamalakan disemua peringkat masyarakat dan kerajaan, bukan hanya di Parlimen.

Sumber: http://celsojunior.deviantart.com/art/Say-no-to-racism-17918586

# 2 – Isikan ‘Bangsa Malaysia’ Di Dalam Borang

Klasifikasi ras adalah bagi aku satu rantai yang melilit kita secara kolektif sebagai satu negara dan menghalang kita untuk bergerak kehadapan dari aspek nation building. Selagi ada golongan yang percaya diri mereka lagi bagus dari golongan lain hanya kerana warna kulit, dan menzahirkan kepercayaan itu dalam kehidupan harian mereka, sampai bila-bila pun kita akan dibelenggu oleh isu-isu remeh; dan buta kepada isu-isu yang lebih penting.

Tindakan ini, bagi yang ada rasa rebellious sedikit, memang best, satu cara untuk mencari pasal dengan The Man. Langkah ini boleh anggap sebagai civil disobedience, satu cara penentangan pasif yang telah disarankan dan dijayakan oleh pelbagai tokoh di merata dunia sebagai pemangkin untuk perubahan.

Tak percaya? Sila rujuk kepada perjuangan Mahatma Gandhi di India; Corazon Aquino di Filipina; Martin Luther King Jr, César Chávez & Rosa Parks (Ibu Pergerakan Civil Rights Moden) di Amerika Syarikat; dan ramai lagi. Semua rata-ratanya digambarkan sebagai dissident dan pembikin masalah oleh The Establishment masa dahulu, tetapi sekarang mereka semua dianggap wira pergerakan penentangan pasif.

Aku tak-lah berharap kau akan menjadi sebegitu lantang seperti tokoh-tokoh yang aku sebut tadi, tetapi kita mesti memulakan langkah-langkah awal kan?

# 3 – Buat Aktiviti Dengan Rakan-Rakan Dari Pelbagai Etnik
Sedar ataupun tidak, kita akan berkelompok dengan orang yang kita rasa, sama dengan kita. Ini naluri manusia yang semula jadi. Yang susahnya, kalau garis panduan ‘sama dengan kita’ itu berdasarkan ras dan latarbelakang etnik. Ini adalah satu cara The Establishment membahagi-bahagi kita bukan?

Tindakan ini adalah satu cara untuk kita melawan secara pasif‘programming dari media arus perdana, sistem persekolahan, orang tua kita, Biro Tatanegara dan macam-macam lagi anasir The Establishment untuk memecah-belahkan kita.

Apa kata, hujung minggu ini, atau minggu depan atau bila-bila, buat-lah aktiviti dengan rakan-rakan yang pelbagai etnik, bukan dengan klik kita yang biasa. Tak payah-lah obvious sangat (aku sangat geli dengan propaganda 1Malaysia yang disiarkan di TV sebab terlalu harmoni dan palsu!), tapi buat-lah usaha ini macam-mana pun, tak kira aktiviti apa. Kau boleh pergi boling, berkelah, karaoke, pergi ke pawagam dan macam-macam lagi. Kalau yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, biarlah anak-anak kau itu bermain sekali.

Bagi yang ada teman wanita/lelaki yang latarbelakang etnik berlainan dari kau, syabas!

# 4 – Pastikan Rakan & Ahli Keluarga Kau Mendaftar Sebagai Pengundi
Ha! Ini payah kan? Mendaftar diri sendiri pun susah, ini lagi rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri. Aku cadangan, gunakan hujah yang aku gunakan untuk #1.
Semoga berjaya!

# 5 – Tinggalkan Semua Organisasi Yang Berasaskan Ras (termasuk parti politik)
Kalau kau sudah sampai langkah ini, syabas! Pada dasarnya, tindakan ini nampak senang, tetapi aku rasa bagi orang yang sudah ada cable dan pelbagai kepentingan, langkah ini-lah yang paling susah. Rationale aku untuk tindakan ini senang, kalau tak suka dengan satu sistem, kenapa bersekongkol? Kenapa menyokong? Keluarlah! Tapi kalau suka, sedarlah bahawa kau adalah sebahagian dari masalah yang membelenggu negara ini.

Aku perlu nyatakan bahawa senarai ini bukan menyeluruh atau muktamad. Kau mungkin ada cara sendiri untuk melawan The Man dan jikalau begitu, teruskan. Keep fighting the good fight.

Tambahan – Semenjak penglibatan aku dengan UndiMsia! dan gameshop #IdolaDemokrasi, semakin ramai telah menemui pelbagai lagi cara untuk bergerak diluar sistem untuk memangkinkan pergerakan demokrasi (terus) baru. Untuk mengetahui lebih lanjut, sertai gameshop #IdolaDemokrasi kami dan/atau baca mengenai 198 Non Violent Direct Actions oleh Gene Sharp.

Sekian! Jumpa lagi di lain waktu tempat (dan bila aku ada mood nak tulis post lagi).

Rencana asal di PopIN boleh didapati di sini.

Rujukan Tambahan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Nonviolence

Bekas pembela rambut panjang berjaya. Kadang-kala membebel di twitter @hasbeemasputra. Belum lagi ditahan polis walaupun sudah 3 tahun bergerak sebagai aktivis.