Rencana ini diadaptasi dan dikemaskini daripada siri rencana aku semasa menjadi (PM) PopMuda untuk PopIN beberapa tahun lepas. Siri rencana asal boleh didapati di sini bersama dengan Twitterview dengan kawan-kawan PopIN.

Wah! Sudah sampai Rabu! Separuh jalan dan masih mengalami tekanan.

Hari ini aku akan membebel mengenai apa eh? Banyak topik yang ada, tapi aku bukan jenis yang rajin menyusun fikiran aku dalam satu struktur yang koheren untuk santapan umum. Aku lebih senang dan suka melompat-lompat dari topik ke topik, tetapi masih juga mempunyai aliran yang sama. Mungkin anda sudah terjumpa aliran itu, mungkin belum, tetapi tak apa.

Hari ini aku akan membebel mengenai hobi aku satu lagi, iaitu menonton televisyen.

 

Logo RTM | Sumber: http://alham.bijak-it.com/

Dari kecil aku berminat menonton televisyen. Di Miri, siaran RTB zaman 80-an menjadi pilihan aku, mungkin sebab siaran RTM agak hambar, sangap dan membosankan. Sekarang, pun aku rasa TV1 dan TV2 masih sama lagi kan?

RTB menyiarkan pelbagai rancangan yang menarik untuk budak seperti aku, seperti “The A-Team”, “Knight Rider”, “V”, “Air Wolf”, “Blue Thunder” dan macam-macam lagi. Pelbagai sitkom juga dihidangkan, seperti “The Jeffersons”, “Silver Spoon”, “Family Ties”, “Mind Your Language”, “‘Allo ‘Allo” dan macam-macam lagi. Kartun pun berlambak seperti “Superfriends”, “Rickety Rocket”, “Fat Albert”, “Looney Tunes” (yang terlalu klasik), “He-Man”, “She-Ra” dan banyak lagi. Tapi rata-rata, aku lebih meminati rancangan dalam bahasa Inggeris. Aku juga meminati rancangan yang berunsurkan fakta dan pembelajaran; seperti “Sesame Street” dan juga seperti dokumentari, khususnya mengenai alam semula jadi. Kalau RTB, aku selalu menonton rancangan “The Living Planet”, yang dihoskan oleh Sir David Attenborough.

Logo RTB | Sumber: http://bolabruneiveteran.blogspot.com/2010/10/rtb-nbt-b-sdn-bhd-seri-sentosa-hotel.html

Siaran RTB zaman ini ada kelainan sedikit dari Malaysia dari aspek penapisan. Aksi ‘ghairah’ seperti cium, peluk dan lain-lain aktiviti yang berbau intim langsung tak ditunjukkan. Tak payah bibir bersentuh, kalau pelakon lelaki dan wanita bertentangan mata dan mula pergerakan untuk bercumbu, terus kena potong. Tahu-tahu dah masuk babak lain. Dokumentari pun di potong kalau ada aksi-aksi persetubuhan diantara binatang. Pendek kata, kalau ikutkan worldview RTB, seks dan intimacy itu tak wujud. Tetapi tak kisah-lah, aksi lasak dan berdarah masih lepas. Tak-lah ganas mana pun rancangan televisyen zaman itu, tetapi untuk seorang budak yang inginkan action, puas hati-lah.

I pity the fool! | Sumber: http://www.buzzpirates.com/2008/08/mr-t-in-flap-over-anti-gay-snickers-ad/

Satu daripada sebab aku melayan sangat RTB adalah sebab zaman budak aku dulu aku ada perintah berkurung yang agak ketat. Aku kena masuk bilik untuk tidur pada pukul 8 malam, jadi langsung tidak ada peluang untuk menonton rancangan bahasa Inggeris di TV2, yang hanya disiarkan selepas berita jam 8 malam. RTB pula menyiarkan rancangan top dia pada pukul 7 malam. Antara drawback penjadualan ini adalah aku semakin gemar makan malam depan TV sambil menonton rancangan, satu perangai yang ibubapa aku langsung tak puas hati dan tak berkenan.

Satu lagi‘drawback adanya hobi menonton TV ini adalah aku kurang membuat kerja sekolah di rumah. Tak kira sekolah rendah atau sekolah menengah, memang aku malas buat kerja rumah. Balik rumah, campak beg sekolah, terus pasang TV dan selalunya esok pagi kelam-kabut cari beg. Inilah rutin harian dari Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti am, cuti sakit dan cuti sekolah.

Apabila berpindah ke Semenanjung Malaysia pada awal 90-an, santapan televisyen aku berubah. Pancaran siaran RTB tidak sampai ke Semenanjung dan aku ‘terpaksa’ berpuas hati dengan siaran TV3. Aku masih berselera seperti zaman budak dulu, jadi aku masih cuba menonton rancangan-rancangan yang lebih-kurang sama, yang ada campuran aksi lasak dan lawak-jenaka; dan rata-rata rancangan yang dalam bahasa Inggeris.

Setelah aku mula bekerja, masa yang terluang untuk menonton televisyen semakin berkurangan, tetapi aku masih juga beriadah dengan menonton televisyen jikalau ada masa lapang.

Logo TV3 | Sumber: http://nabil-potter.blogspot.com/2010/07/tv3-online-free.html

Anjakan paradigma dalam hidup aku yang telah aku sebut di post semalam bukan berlaku dalam suatu waktu yang singkat, tetapi adalah satu jangkamasa yang agak panjang. Cetusannya bermula diantara tahun 1994 sehingga tahun 1999, dan masih lagi belum selesai sampai sekarang. Kesedaran bahawa dunia ini tidak adil mendorong aku untuk lebih peka dengan apa yang disiarkan di televisyen. Aku lebih berminat untuk menonton berita dan rancangan hal ehwal semasa, walaupun persembahan rancangan-rancangan ini selalunya masih hambar dan membosankan. Aku ingin tahu apa yang berlaku di ‘dunia’ aku.

Tapi apakah yang aku dapati daripada siaran arus perdana ini? Tak kira-lah, TV3, TV1 atau TV2 (aku tak melanggani Astro langsung, tak pernah dan tak akan.) Aku mendapati bahawa banyak percanggahan dengan apa yang disiarkan dan apa yang aku tahu dan alami di ‘dunia’ aku dalam kehidupan seharian aku.

Ini tak boleh jadi! Benih-benih perubahan selera santapan minda mula ditanam. Apakah alternatif untuk siaran arus perdana ini? Jawapannya aku jumpa dengan kewujudan internet dan kafe siber awal di Lembah Kelang seperti Global Village dan Java Shoppe.

Under attack! | Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/File:Command-and-Conquer-3-screenshot.png

Dengan jujurnya, aku mengunjungi kafe siber oleh kerana tertarik network game. Aku menghabiskan berjam-jam di kafe siber melawan rakan-rakan dalam game Command & Conquer, Dune 2 dan Quake 2. Wow! Ini hebat. Sebelum ini main game seorang diri melawan AI komputer, sekarang boleh membelasah dan dibelasah oleh rakan-rakan secara virtual! Lama juga aku lalai dengan aktiviti ini, tetapi akhirnya aku juga berkenalan dengan dunia siber yang di gelar secara amnya, The Internet.

Logo Napster | Sumber: http://rooftopagency.com/2011/10/best-buy-sells-napster/napster-logo/

Aku mula kenal dengan muat-turun melalui FTP dan IRC, dan kemudiannya perkongsian fail melalui jaringan P2P (siapa ingat Napster? Hah! Kau dah tua!). Dunia internet pun berevolusi menjadi Web 2.0 (dan sekarang sudah timbul ura-ura Web 3.0) dan laman web seperti Wikipedia dan jaringan sosial seperti Friendster, YouTube, MySpace, Twitter dan Facebook berkembang pesat dengan berjuta-juta pengguna. Sekarang kita mampu berkomunikasi dengan sekelip mata. P2P pun berkembang sejajar dengan Web 2.0 dan sekarang sebut sahaja apa rancangan, lagu, siri drama… semua ada di hujung jari. Tekan download sahaja dan tunggu, nanti ada-lah dia dalam cakera keras anda.

Apa point aku hari ini pula? (dejavu tak?)

Aku ada 2 point untuk bebelan aku hari ini.

Maklumat tidak boleh disekat atau di tapis, cubalah macam mana pun. Untuk memparafrasakan Michael Crichton dalam bukunya Jurassic Park, “Information will find a way”. Kepada penjaga-penjaga ilmu dan dan ahli monopoli maklumat, your days are numbered.

Walaupun kita mempunyai akses kepada hampir keseluruhan pengetahuan manusia melalui The Internet, apa yang kita buat untuk belajar dan memperbaiki diri sendiri? Ini satu persoalan yang anda mesti tanya diri sendiri. Kita bukan hanya boleh belajar di sekolah kan?

Sekian. Jumpa esok!

Rencana ke-empat dalami siri ini boleh didapati disini.
Rencana asal di PopIN boleh didapati di sini.

Bekas pembela rambut panjang berjaya. Kadang-kala membebel di twitter @hasbeemasputra. Belum lagi ditahan polis walaupun sudah 3 tahun bergerak sebagai aktivis.