Kuasa rakyat membolehkan kita menuntut hak demokrasi yang adil. | Sumber: The Sun

Ikram Syazriq membincangkan matinya demokrasi di Malaysia.

Pilihanraya umum ke-13 (PRU13) sudah berakhir. Dianggap sebagai pilihanraya paling sengit dalam sejarah di Malaysia, PRU13PRU13ini telah menyaksikan parti-parti BN (BN) membentuk kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi, atau dalam makna lainnya telah mempertahankan kemenangan mereka sebagai Kerajaan Persekutuan. BNBN telah memenangi kerusi Parlimen sebanyak 133 kerusi manakala pembangkang, PR telah memenangi kerusi Parlimen sebanyak 89 kerusi.

Keputusan pilihanraya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menunjukkan BN kekal menjadi Kerajaan Persekutuan Malaysia. Ramai di kalangan rakyat (bukan semua) kecewa kerana kemenangan tidak berpihak kepada PR (PR) dan berpendapat bahawa sistem demokrasi di Malaysia sudah mati. Mungkin juga ada benarnya, kerana PR telah menerima majoriti undi popular lebih banyak dari BN. Tetapi di Malaysia sistem yang digunakan adalah majoriti di parlimen dan bukan majoriti undi popular. Jadi pilihanraya yang lalu telah menegakkan suara demokrasi rakyat Malaysia untuk melantik BN sebagai Kerajaan Persekutuan. Jadi sekiranya anda semua mengatakan bahawa demokrasi sudah mati adalah tidak patut sama sekali. Pada pendapat saya, walaupun PR tidak memenangi pilihanraya yang lalu, tetapi PR telah memenangi hati pengundi dengan majoriti undi popular.

Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengatakan bahawa seramai 80% pengundi yang layak mengundi telah keluar mengundi pada PRU13. Jumlah peratusan pengundi keluar mengundi adalah yang tertinggi pernah dicatatkan pada pilihanraya di Malaysia, dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi mendukung semangat demokrasi terbuka di negara ini.

Demokrasi tidak seharusnya mati, tetapi demokrasi seharusnya diperjuangkan. Perjuangan untuk menuntut demokrasi yang adil di Malaysia tidak akan terpadam selagimana setiap rakyat Malaysia masih lagi mempercayai kewujudan sistem demokrasi yang adil dan terbuka. Kita juga dapat lihat bagaimana sistem demokrasi telah ditegakkan di Malaysia.  Kebebasan untuk berhimpun sudahpun diberi perhatian oleh Kerajaan kebelakangan ini. Lihat saja siri perhimpunan Bersih yang diadakan di Kuala Lumpur semenjak beberapa tahun lalu. Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi memudahkan mengadakan perhimpunan ini. Akta Perhimpunan Aman 2012 telah dikuatkuasakan bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman dengan beberapa syarat tertentu. Tekanan dari pelbagai pihak, terutamanya rakyat telah menyebabkan kerajaan menggubal Akta Perhimpunan Aman ini. Lihat saja, kuasa rakyat membolehkan kita menuntut hak demokrasi yang adil. Ini menunjukkan bahawa demokrasi belum mati lagi. Malah kita semua telah bersama-sama menegakkan hak setiap rakyat untuk berhimpun secara aman. Bagi saya, demokrasi telah ditegakkan kerana setiap rakyat kini mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Dan saya tidak menafikan bahawa hak rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat kepada umum dapat ditegakkan juga. Ini semua menunjukkan bahawa kuasa rakyat dapat menegakkan sistem demokrasi di Malaysia.

Kuasa rakyat membolehkan kita menuntut hak demokrasi yang adil. | Sumber: The Sun

Percayalah bahawasanya demokrasi tidak akan terhenti pada pilihanraya semata-mata, tetapi perlu diteruskan lagi untuk mendapatkan sistem demokrasi yang adil di Malaysia. Contohnya, selagi media tidak bebas, selagi itulah kita perlu menegakkan sistem demokrasi yang adil. Senarai kebebasan media dunia 2013 menunjukkan Malaysia di tangga ke-145, jatuh 23 anak tangga daripada tahun 2012. Amatlah malu bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi terbuka menduduki tempat yang corot di kalangan negara lain. Media arus perdana di Malaysia telah dikawal oleh kerajaan dan tidak diberikan kebebasan untuk melaporkan sesuatu berita. Media kini tidak lagi melaporkan berita yang tepat dan benar bagi sesuatu perkara, padahal p secara umumnya media lah yang patut bertindak sebagai pembawa cerita bagi sesuatu perkara. Jika media tidak lagi melaporkan berita yang benar, apakah yang akan terjadi pada kita semua?

Contoh yang mudah saya ambil, pada PRU13, kesemua media arus perdana melaporkan manifesto BN serta kebaikannya. Berita tentang pembangkang? Mana? Malas saya nak bercerita, kerana saya tahu anda semua sudah mempunyai jawapannya. Adakah ini demokrasi yang dicanangkan selama ini? Tanyalah pada diri anda, demokrasi sudah mati ke? Jika demokrasi sudah mati, siapakah yang akan memperjuangkan hal ini? Tepuk dada tanya selera. Pada pendapat saya, selagi media tidak diberi kebebasan, selagi itulah demokrasi tidak lagi ditegakkan di Malaysia. Itu adalah fakta yang harus diterima.

Perjuangan untuk menegakkan demokrasi tidak pernah akan terpadam. Kita dapat lihat di Afrika Selatan, dimana bekas Presidennya, Nelson Mandela pernah dipenjara selama 27 tahun kerana membantah dasar apartheid di negaranya. Walaupun pernah ditentang, dipenjara, dicaci dan dihina, namun semangatnya tidak pernah luntur untuk menegakkan demokrasi yang adil di negaranya. Dan kini, beliaulah orang yang dihormati dunia kerana telah menegakkan demokrasi dan hak-hak rakyatnya.

Percayalah semua, demokrasi tidak akan mati dan tidak pernah mati. Seperti yang saya cakap, selagi seseorang itu mempercayai wujudnya demokrasi, selagi itulah demokrasi masih wujud. Sejarah telah membuktikan demokrasi dapat ditegakkan, tetapi ianya mengambil masa. Akhir kata, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin perlu bersatu memperjuangkan hak kita sebagai rakyat yang menghuni bumi Malaysia ini, memperjuangkan sistem demokrasi yang adil dan terbuka, demi Malaysia yang lebih baik.

Demokrasi tidak pernah mati, demokrasi perlu diperjuangkan.

 

I'm 20 years old. From Pantai Dalam, Kuala Lumpur. I'm currently staying in Melaka to continue my study in Accounting course. Menulis sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia bagi mematabatkan bahasa kebangsaan.