Sumber: www.idhamlim.com

Keseluruhan rakyat Malaysia kini telah bijak menilai – ini yang telah dibuktikan menerusi Pilihanraya 2008.

Sumber: www.idhamlim.com

Selepas insiden 13 Mei 1969 yang dilaporkan oleh dokumen-dokumen yang diklasifikasi sebagai tidak lagi sulit oleh Kerajaan British di London, sebagai dimulai oleh Harun Idris yang mengetuai pemuda tahan lasak, maka parti PAS terasa terpanggil untuk bersatu dengan niat yang murni menyertai Kerajaan Campuran PAS Perikatan di Kelantan pada tahun 1973, ketika Perdana Menteri Ke-2 Allahyarham Tun Razak Hussein mentadbir negara. Manakala pada tahun 1974, PAS menyertai Barisan Nasional untuk bergabung dalam kabinet Kerajaan Persekutuan yang ditadbir Umno. Namun niat baik parti PAS untuk bersatu telah dimanipulasi parti Umno untuk menimbulkan pepecahan sesama pemimpin PAS hingga menyebabkan PAS dibuang daripada Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Hussein Onn Perdana Menteri Ke-3, pada penghujung tahun 1977.

Ini tidak menghairankan kerana Umno telah belajar daripada pihak British mengenai dasar pecah dan perintah di mana Harun Idris yang terlibat mengetuai pemuda tahan lasak dalam insiden 13 Mei 1969 telah memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada tahun 1971. Beliau terus membantu Kabinet Perdana Menteri Ke-2 dan Ke-3 sehingga beliau mendapat jawatan Menteri Besar Selangor sebelum Harun dipenjarakan di zaman Tun Hussein Onn atas isu rasuah pertandingan tinju dunia Muhammad Ali dan Joe Bugner yang berlangsung di Kuala Lumpur. Kabinet Perdana Menteri Ke-2 dan Ke-3 juga mengandungi Yg Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipecat Tunku Abdul Rahman sebelum tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang kembali ke Umno atas arahan dan kemahuan Allahyarham Tun Razak Hussein Perdana Menteri Ke-2 dengan bantuan Harun Idris.

Dasar pecah dan perintah British didapati diamalkan Umno ketika PAS berada di dalam Barisan Nasional di mana perpecahan sengaja ditimbulkan Umno dengan mencipta permusuhan antara sesama pemimpin PAS – iaitu Datuk Muhammad Nasir, Menteri Besar (MB) Kelantan yang disokong Umno, dan Datuk Asri,  pemimpin PAS, yang dimusuhi Umno secara halus tetapi berada dalam kabinet Barisan Nasional. Akhirnya Datuk Muhammad Nasir menubuhkan parti baru iaitu Parti Berjasa iaitu parti serpihan PAS yang disokong Umno sekalipun Dato Asri sebagai pemimpin PAS menghendaki calon lain sebagai MB Kelantan. Kumpulan yang menyokong Datuk Muhammad Nasir mengadakan demontrasi pada 24 September 1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan membantah kumpulan yang menyokong Datuk Asri.

Namun, Datuk Muhammad Nasir digulingkan dari jawatan MB melalui usul undi tidak percaya kira-kira 20 orang ADUN PAS. Akibatnya, pada 19 Oktober 1977 satu lagi demontrasi diadakan di mana rakyat Kelantan berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan (SUK). Perintah berkurung diisytiharkan jam 3.15 petang untuk selama 24 jam. Kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama dengan membelakangkan majoriti ADUN Kelantan kerana segala rundingan yang dibuat cuma dengan MB –  yang telah jelas langsung tidak mendapat sokongan majoriti ADUN.

Pelan untuk meluluskan Akta Darurat dan Kerajaan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) di Kelantan seterusnya dibuat Barisan Nasional tanpa berunding dengan PAS yang masih berada di dalam Barisan Nasional. Datuk Asri yang dimaklumkan kemudiannya mengenai cadangan meluluskan Akta Darurat membantah menyebabkan ianya dianggap melanggar etika Barisan Nasional dan terpaksa meletakkan jawatan. Akta Darurat telah dibentangkan Perdana Menteri Ke-3 dan diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober 1977 untuk mewujudkan undang-undang darurat di Kelantan, dan pada 8 November 1977 pentadbiran MAGERAN diisytiharkan.

Pada 13 Disember 1977, PAS disingkir atas alasan enggan mematuhi etika Barisan Nasional mengenai undang-undang darurat. Selepas itu pada 12 Januari 1978, pentadbiran MAGERAN telah ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan yang mengadakan pilihanraya untuk negeri Kelantan sahaja pada 11 Mac 1978. Tipu helah darurat-MAGERAN ini mengakibatkan PAS kalah teruk di kedua-dua peringkat iaitu negeri dan Parlimen.

Fokus artikel ringkas kali ini yang ditulis sempena PRU-13 ialah untuk kita sama-sama merenung siapakah yang menyebabkan kejadian yang dilaporkan media perdana sebagai ‘huru-hara’ berkenaan agar dapat dijadikan pengajaran bagi menghadapi PRU-13 yang mesti diadakan selewat-lewatnya sekitar 27 Jun 2013, biarpun khabar angin semasa bertiup sepoi-sepoi bahasa yang Dewan Rakyat mungkin dibubarkan antara 19 dan 22 Mac 2013 ataupun tidak lama selepas tarikh ini.

Ibrahim Ali dimaklumkan oleh seorang persara polis yang masih ada hari ini, yang bertugas ketika insiden 1977 di Kelantan sebagai dalang yang merancang lakonan huru-hara di beberapa lokasi di Kelantan. Perbuatan membakar tayar dan memecahkan beberapa kedai Cina yang berlaku di sekitar Kelantan termasuk bandar Kota Bharu dilakukan oleh kumpulan pemuda yang sama bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Maka sebab itulah kebakaran tayar yang dikatakan huru-hara itu tidak berlaku serentak kerana penjenayahnya adalah kumpulan yang sama. Persara polis berkenaan juga telah mengesahkan yang pihak keselamatan telah menerima arahan supaya tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap para pencetus kebakaran tayar tersebut. Lebih kurang bermaksud pihak keselamatan tidak dapat menjalankankan tugas mereka dengan efektif untuk menahan para penjenayah serta-merta bila mereka melakukan pembakaran tayar untuk mencetuskan rasa panik keadaan kononnya adalah huru-hara.

Dengan gaya 'gedebe' | Sumber: www.negarakita.com

Manakala Ibrahim Ali sendiri pula tidak berada di Kelantan ketika kejadian bakar tayar, dia seperti biasa dengan gaya ‘gedebe’ atau cakap besarnya cuma memantau dan memberi arahan daripada Kuala Lumpur. Maklumat ini selain daripada disahkan sendiri oleh persara polis berkenaan, ianya juga diakui sendiri oleh Ibrahim Ali dengan tak kaburnya di satu ceramah  Parti Semangat 46. Kaset-kaset ceramah Semangat 46 dijual meluas di Kuala Lumpur selepas insiden Umno diisytiharkan tidak sah (lebih dikenali umum sebagai ‘parti haram’) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Allahyarham Tan Sri Harun Hashim. Selepas pengharaman Umno, YM Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 selepas YM Tengku gagal dalam perebutan nama Umno kepada Dr Mahathir yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan untuk menubuhkan Umno Baru di mana tidak lama selepas itu perkataan ‘Baru’ dibatalkan secara rasmi. (Sila baca tulisan saya yang disiar Berita Harian, 4 Oktober 2003, ‘Tan Sri Harun Hashim Setaraf Lord Denning’.)

Ketika menyertai Semangat 46, kemarahan Ibrahim Ali terhadap Dr Mahathir amat memuncak sekali sehingga Ibrahim mengatakan yang beliau ingin kencing di atas kubur Dr Mahathir sepertimana yang jelas audionya di ceramah yang kaset-kasetnya dijual di Kampung Baru. Lebih kurang hampir dua tahun yang lepas saya pernah menulis komen mengenai perkara ini di laman blog chedet milik Dr Mahathir yang saya sangkakan tidak akan disiarkan di blog berkenaan kerana setiap komen akan diluluskan terlebih dahulu sebelum disiarkan.

Amat terkejut bila selepas beberapa hari komen yang tergantung menantikan kelulusan, tiba-tiba saya dapati ianya disiarkan di blog Dr Mahathir. Ini bermaksud keinginan Ibrahim Ali untuk kencing di atas kubur Dr Mahathir adalah dalam pengetahuan Tun sendiri. Mungkin Tun ada sebabnya tersendiri kenapa beliau tidak seolah-olah ambil hati atas ceramah Ibrahim Ali ketika berada bersama Semangat 46 dulu.

Namun yang jelas Ibrahim Ali kini sebaliknya telah kencing di atas mukanya sendiri dan mungkin Tun Dr M cuma mampu tersengih puas bila melihat Ibrahim Ali kini kembali berkhidmat untuk beliau. Yang menghairankan adalah pengikut-pengikut Ibrahim Ali seperti langsung tidak mempunyai daya intelektual untuk berfikir untuk setia tanpa banyak soal kepada orang seperti Ibrahim Ali ini. Kini ada beberapa NGO yang melibatkan Ibrahim Ali berpejabat di Kota Bharu berhadapan dengan KB Mall dan bersebelahan dengan Bangunan Masterskill. Manakala rumah Ibrahim Ali pula di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Penulis pernah dimaklumkan beberapa tahun lepas Ibrahim Ali pernah dimaki hamun secara terbuka oleh penduduk Taman Melawati ketika dia pergi untuk membeli makanan disitu, dia terus segera masuk ke dalam kenderaannya beredar dan para saksinya peniaga sekitar masih lagi ada hari ini untuk mengesahkan kejadian ini.

Ketika Restoran Rasa Utara yang amat digemari Perdana Menteri Ke-4 kita itu masih mempunyai satu cawangan di Wangsa Maju beberapa tahun yang lepas, Ibrahim Ali pernah memberi ceramah panjang dengan nada kuat kepada seorang budak pelayan perempuan berusia belasan tahun yang bertugas di restoran berkenaan tentang kenapa Restoran Rasa Utara tidak mempunyai Air Batu Campur (ABC). Ianya berlaku pada satu petang Ahad yang mana cuma ada dua meja sahaja yang mempunyai pelanggan iaitu meja penulis sekeluarga dan meja Ibrahim Ali dengan seorang lelaki Melayu bersamanya. Ibrahim Ali juga adalah orang yang sama bersuara lantang menyokong serta mengampu keputusan Presiden Umno ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 1998 untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kaset rakaman dua siri Mesyuarat MKT Umno selama 2 jam dijual meluas di seluruh negara dan juga audio penuhnya muncul di laman-laman web reformasi bermula tahun 1998 seperti Mahazalim dan sebagainya.

Kini, pihak berkuasa patut mengambil perhatian dan bertindak dengan sewajarnya bila NGO yang dipimpin Ibrahim Ali membuat beberapa kekacauan di serata tempat di seluruh negara yang mana kebanyakan insiden berkenaan boleh ditonton dengan jelas di laman-laman YouTube.

Jika keadaan dan tekanan tidak stabil politik di Kelantan yang diarahkan lakonannya oleh Ibrahim Ali berlaku dari masa ke semasa antara 1977-1978, kita dapati kini Ibrahim masih cuba mencetuskan kemarahan pelbagai pihak sebagai contoh Ibrahim memberi ang pow dalam sampul putih yang membawa rasa tidak senang kaum Cina, kerana ianya biasanya diberi pada waktu kematian bukannya ketika sambutan Gong Xi Fa Cai tahun 2012, manakala awal tahun 2013 pula Ibrahim dilaporkan Wikipedia mahu membakar Kitab Injil penganut Kristian.

Persoalannya di mana kedudukan Ibrahim Ali dalam agama Islam sendiri? Rakyat seluruh negara kenal siapa Ibrahim Ali dan jika Ibrahim ingin terus memalukan diri sendiri secara kekal itu terserah tahap IQ sendiri, tetapi bila ianya melibatkan ketenteraman awam dan Maslahah (public interest) maka PDRM wajar serta-merta bertindak. Tiada apa pengecualian sepatutnya diberikan kepada perbuatan jenayah sekalipun PDRM Pulau Pinang telah merakamkan kenyataan Ibrahim Ali dalam isu bakar Kitab Injil, apa pula tindakan susulan dan apa pula tindakan pejabat Pendakwaraya. Ibrahim Ali pada tahun 2010 dengan bangganya memalukan Malaysia ke seluruh dunia bila muncul di Al-Jazeera dengan mengungkap, shit sebanyak 3 kali tanpa apa-apa tindakan terhadapnya kerana menjatuhkan nama baik negara. Apa agaknya kelas ahli politik dari Malaysia yang mencarut dan disiarkan oleh stesen TV antarabangsa ke seluruh dunia?

Menoleh kembali kenangan insiden pemecatan  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 serta penahanan beliau pada malam 20 September 1998 di kediamannya Jalan Setiamurni, Damansara Heights, Kuala Lumpur, tentu semua masih teringat yang Ibrahim Ali muncul kembali dengan modus operandi 1977-nya di Kelantan pada 10 Oktober 1998 dengan menggunakan adiknya Azmi Ali. Azmi mengedarkan risalah yang sengaja dicetak logo PAS untuk rakyat Kelantan berkumpul kononnya berdemonstrasi reformasi di Kota Bharu, namun gagal bila cepat disedari oleh Datuk Husam Musa (yang ketika itu ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan) yang terus membuat laporan polis dan pihak polis serta FRU dengan profesionalnya berjaya mengawal keadaan daripada tercetus; lebih-lebih lagi dengan wujudnya kereta yang menyamar sebagai penyokong PAS yang pletnya didaftarkan atas nama Azmi Ali.

Kebijakan rakyat Kelantan tidak menghiraukan langsung cadangan demo reformasi provokasi Ibrahim Ali pada tahun 1998 boleh menggagalkan apa juga usaha menerusi modus operandi yang sama, jika ingin diulangi oleh Ibrahim Ali dan kuncu-kuncunya sempena PRU-13 memandangkan keseluruhan rakyat Malaysia kini telah bijak menilai – ini yang telah dibuktikan menerusi Pilihanraya 2008.

Sebagai penutup, amatlah perlu untuk satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk mengenalpasti punca dan dalang lakonan huru-hara di Kelantan hingga menyebabkan diisytiharkan MAGERAN sehingga mengakibatkan rakyat Kelantan berpecah-belah untuk menyokong pemimpin mana yang akhirnya menyebabkan PAS kehilangan kuasa di Kelantan di dalam pilihanraya yang diadakan tidak lama selepas MAGERAN ditarikbalik.

YAB Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara saksi penting segala tipu daya Umno yang membawa kepada pemecatan PAS daripada Barisan Nasional seterusnya lakonan huru-hara yang terancang dan pengisytiharan MAGERAN di Kelantan di mana ketika itu Tok Guru memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS. Penubuhan Suruhanjaya Di Raja mampu mengesan segala butir-butir terperinci sebenar MAGERAN Kelantan 1977 untuk dijadikan teladan dan sempadan pada semua rakyat seluruh negara.

Di zaman internet ini di mana segala insiden dapat dimuat naik terus ke laman-laman web serta portal berita, rakyat akan dapat membuat kesimpulan sekiranya ada cubaan untuk mengulangi episod MAGERAN Kelantan 1977 dalam negara kita. Untuk memastikan ianya tidak dapat ditutup dengan alasan-alasan tidak logik amatlah perlu sebarang insiden diberi liputan meluas oleh media antarabangsa seperti Al Jazeera, BBC dan CNN. Rakyat juga boleh menghantar berita bergambar atau video terus kepada media antarabangsa berkenaan secara dalam talian untuk memastikan sebarang insiden kezaliman terbongkar serta-merta tanpa dapat ditutup oleh sesiapa lagi.

InsyaAllah, semua rakyat dan pasukan keselamatan termasuk PDRM patut mengkaji dengan fikiran terbuka apa sebenarnya berlaku di Kelantan yang mengakibatkan pengisytiharan MAGERAN, dan apakah tindakan yang boleh dilakukan rakyat serta pasukan keselamatan sekiranya modus operandi berkenaan hendak cuba diulangi sekali lagi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

PDRM yang dianugerahkan gelaran Di Raja pada tahun 1958 patut berasa bangga dan bertanggungjawab menjalankan tugas without fear or favour. Fear yang perlu cuma kepada Allah SWT semata-mata. Hubungan Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan PDRM tidak perlu disalahertikan kerana hubungan itu cumalah hubungan logistik, pentadbiran serta bajet maka jika terdapat daripada kalangan tertinggi Kabinet Persekutuan yang disyaki terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serius, maka bersegeralah untuk menahan reman untuk siasatan demi moto ‘Polis Sedia Berkhidmat’ – agar sentiasa dihormati rakyat seperti zaman dahulu – di mana rakyat menjadikan polis sebagai tempat mengadu.

Dalam segala hal seolah-olah polis mengambilalih pula jawatan penghulu hatta mungkin juga mengambilalih jawatan Jaksa Pendamai (JP) di mana amat jelas betapa hormatnya masyarakat pada PDRM dulu. InsyaAllah di bawah pentadbiran Tan Sri IGP sekarang, PDRM telah mula kembali dihormati rakyat. PDRM seterusnya dapat maju ke depan dengan bertugas dengan tegas, berani kerana benar sepertimana perintah Allah swt dan Nabi Muhammad s.a.w. InsyaAllah KBDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja serta rakyat seluruh negara akan sentiasa menyokong segala tindakan tegas dan betul PDRM yang jika dilaksanakan, boleh menjadi contoh pada negara lain.

Jika Cawangan Khas boleh mengkategorikan salah sebuah pertubuhan Melayu sebagai kumpulan samseng Melayu sudah tiba masanya untuk Cawangan Khas melaporkan dan mengkategorikan dengan telus sebuah badan bukan kerajaan yang diketuai Ibrahim Ali juga sebagai kumpulan samseng Melayu berdasarkan pelbagai bukti kukuh yang ada serta bahan audio visual yang telah tersiar ke seluruh dunia menerusi laman YouTube.

Islamic Finance | Financial Crimes Practitioner | Corporate Advisor | Arbitrator | Mediator | Part-time Law Lecturer | Admitted to the Bar 23 August 1991 | Presenter | Panelist | Trainer | Currently completing...