Do you see what you're looking at? | Source: http://www.flickr.com/photos/danielfrvalle/

Satu pengalamanku semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist (MBSSKL).

Pada satu pagi semasa kelas Pengajian Am, Cikgu Puan Nur menanya kelas kami satu soalan: Adakah gerai jual mee di hadapan kedai 24 jam di Jalan Sultan itu buka pagi ini?

Aku dan rakan-rakan aku faham soalan itu tetapi kami semua rasa hairan mengapa cikgu tiba-tiba tanya soalan yang tidak relevan dengan subjek Pengajian Am.

Kami fikir dalam hati, cikgu nak makan sarapan pagi selepas kelas?

Aku angkat tangan dan jawab, “Cikgu, tadi saya melalui Jalan Sultan. Masa itu, saya hanya tengok kereta di hadapan saya. Saya ada perasan semua kedai belum buka kecuali kedai 24 jam itu tetapi saya tak perasan gerai itu buka atau tidak.”

Rakan saya, Chin jawab, “Saya berjalan kaki dari Kota Raya dan saya melalui kedai 24 jam itu, tapi saya tak tahu gerai itu buka atau tidak.”

Rakan saya lagi satu, Cheah jawab, “Saya berjalan kaki dari Puduraya dan saya juga melalui Jalan Sultan, tapi saya pun tak perasan gerai itu buka atau tidak.”

Tiba-tiba, rakanku, Kek Kong jawab dengan nada suara yang semangat, “Gerai itu tak buka pagi ini, cikgu. Cikgu makanlah saja di kantin sekolah.”

Kami semua ketawa dengan jawapan itu. Tetapi pada masa yang sama, kami semua terperanjat dengan jawapan itu. Dengan serentak, kami semua menoleh ke belakang dan melihat Kek Kong.

Kek Kong adalah seorang pelajar yang kurang upaya dari segi penglihatan (OKU). Beliau kehilangan penglihatannya sejak kecil lagi selepas demam. Beliau tinggal di Brickfields. Setiap pagi, beliau akan naik bas dari Brickfields ke Kota Raya dan berjalan kaki ke MBSSKL. Beliau biasanya ditemani  dan dibantu oleh rakan sekelas dan pelajar-pelajar lain yang juga belajar di MBSSKL, tetapi kadangkala beliau terpaksa jalan berseorangan.

Pada ketika itu, aku tidak pasti apa yang dalam fikiran rakan-rakan aku tetapi aku berfikir, Kek Kong ni kan tak boleh melihat, macam mana pula dia tahu gerai itu buka atau tutup? Betulkah dia tak boleh melihat?

Kek Kong senyum dan teruskan jawapannya – seakan-akan dia melihat muka kami semua yang tidak percaya beliau, “Pagi ni tak ada orang jalan bersama dengan saya. Saya jalan seorang diri. Tapi saya pasti gerai itu tak buka pagi ini sebab saya terus jalan di atas kaki lima. Saya tak jalan atas jalan raya masa saya melalui kedai 24 jam itu. Biasanya kalau gerai itu buka, saya terpaksa jalan di atas jalan raya untuk elak dari langgar gerai itu dan pelanggannya!”

Aku serba salah mendengar jawapan itu. Aku betul-betul menyesal dengan sikap aku yang tidak sensitif, aku melihat tetapi tak nampak.

Di hadapan pasaraya Kota Raya, aku melihat kaki lima yang disediakan untuk pejalan kaki. Aku melihat dan berjalan di hadapan Kota Raya. Aku melihat dan bersinggah di simpang empat Jalan Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tan Siew Sin dan Jalan Sultan (Simpang 4 Kota Raya). Aku melihat dan menunggu lampu isyarat untuk melintas jalan. Aku melihat kereta berhenti, melintas jalan dan menghala ke Jalan Sultan. Aku melihat gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman yang terletak di atas kaki lima. Aku melihat meja dan kerusi,dan motosikal yang terletak di luar kedai atas kaki lima. Aku melihat bungkusan sampah-sarap yang ditinggalkan oleh peniaga-peniaga dan pelanggan-pelanggan. Aku melihat dan terus berjalan di atas kaki lima yang berlubang.

Aku melihat semua keadaan di sepanjang jalan tersebut tetapi aku tidak nampak apa yang dilalui oleh Kek Kong.

Kek Kong berjalan di atas kaki lima di hadapan Kota Raya. Tiada landasan yang khas yang mempunyai morse code disediakan untuk Kek Kong tetapi Kek Kong nampak dan terus berjalan. Selepas beberapa langkah, Kek Kong sampai di Simpang 4 Kota Raya tetapi tiada tanda khas di tepi jalan yang boleh ‘memaklumkan’ Kek Kong bahawa beliau telah sampai di simpang tersebut. Kadangkala Kek Kong melangkah ke atas jalan raya. Selepas menunggu beberapa saat, Kek Kong melintas jalan raya. Kek Kong terus berjalan, tetapi ke arah mana Kek Kong hendak pergi? Tiada tanda khas di atas jalan raya yang boleh ‘memaklumkan’ beliau bahawa beliau harus berjalan terus ke Jalan Sultan.

Kek Kong terus berjalan di atas kaki lima Jalan Sultan, yang juga tiada landasan yang khas untuk beliau. Kek Kong terus berjalan dan terpaksa jalan di atas jalan raya untuk mengelak halangan-halangan seperti gerai-gerai dan pelanggan-pelanggan yang berkumpul di atas kaki lima. Kek Kong biasanya akan langgar meja dan kerusi, bungkusan sampah sarap, motosikal, tiang lampu, dan apa-apa benda yang terletak atas kaki lima. Kek Kong terjatuh kerana terpijak dalam lubang atas kaki lima tersebut.

Kebanyakan jalan raya dan kaki lima di sekitar Kuala Lumpur mempunyai keadaan jalan raya dan kaki lima seperti di Jalan Sultan. Ada beberapa kaki lima yang dibina dengan kemudahan landasan yang khas morse code tetapi landasan tersebut ‘terputus’ atau ‘hilang’ selepas kaki lima yang lama dibina semula. Tanda khas untuk berhenti disediakan di tempat yang tidak sesuai. Lampu isyarat yang mengeluarkan bunyi disediakan di beberapa tempat tetapi tidak berfungsi. Kekurangan kemudahan seperti ini juga dialami oleh OKU yang menggunakan kerusi beroda seperti jalan kaki lima yang berlubang, landasan untuk kerusi beroda yang terlalu curam atau tiada landasan yang disediakan.

Semasa aku melancong di luar negara baru-baru ini, saya telah memerhatikan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan negara tersebut. Antaranya, landasan khas yang mempunyai morse code disediakan di sepanjang jalan raya sehingga perhentian bus. Landasan khas ini tidak ada apa-apa halangan dan ia tidak ‘putus’ atau ‘hilang’. Ia mempunyai simbol yang berlainan di simpang jalan atau di perhentian bus yang dapat ‘memaklumkan’ bahawa seseorang itu mesti berhenti. Tulisan Braille diukir pada pemegang-pemegang supaya seseorang boleh tahu arahnya. Lampu isyarat yang mengeluarkan bunyi disediakan untuk memberi isyarat untuk melintas jalan raya. Landasan khas yang disediakan juga boleh digunakan oleh OKU yang menggunakan kerusi beroda. Selain itu, kemudahan yang disediakan untuk OKU termasuk lif yang khas dan tandas yang mudah diakses pada setiap masa. Malahan, OKU boleh masuk ke dalam pasaraya dan membeli barang tanpa pertolongan dari pembantu kedai.

Landasan morse code untuk OKU | Photo by Chan Yen Hui @ LoyarBurok

Aku berharap dan menyeru kepada anda semua yang boleh melihat kekurangan kemudahan untuk golongan OKU selanjutnya mengambil langkah terus memperjuangkan isu-isu OKU supaya Kerajaan menyediakan kemudahan-kemudahan akses asas yang perlu.

Never dreamt of becoming a lawyer but decided to read law to kill time. Now practising in a law firm, learning to do public interest litigation, and dreams of submitting one public interest case before...

One reply on “Aku melihat tapi tak nampak”

Comments are closed.