Haziqah Nasirah yang lebih dikenali sebagai Ziq atau @ZiqZiqlar berkhidmat dengan Pusat Rakyat LoyarBurok sebagai Project Assistant atau Superwoman Pusat Rakyat. Dalam artikel pertamanya untuk blawg terkemuka di seluruh dunia, Ziq menulis berkenaan penghakiman kes Mkini Dotcom Sdn. Bhd. v Kementerian Dalam Negeri, salah satu kes litigasi strategik yang dikendalikan oleh peguam-peguam Pusat Rakyat LoyarBurok.

Selepas kejayaan kes Bersih 2.0 dan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia), kes Mkini Dotcom Sdn. Bhd. v Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyaksikan kemenangan sekali lagi berpihak kepada pasukan peguam hak asasi manusia Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) yang dibarisi oleh K. Shanmuga, Edmund Bon dan Aston Paiva.

Fakta kes

Mkini Dotcom Sdn. Bhd. mengendalikan sebuah portal web dalam talian iaitu www.malaysiakini.com (Malaysiakini). Malaysiakini dimulakan sejak lebih daripada 10 tahun yang lalu. Pada 14 April, 2010, Mkini Dotcom memohon untuk mendapatkan permit penerbitan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk menerbitkan akhbar harian bernama Malaysiakini untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang dengan harga RM 1.

Mkini Dotcom kemudiannya dimaklumkan oleh KDN bahawa permohonan mereka “tidak boleh dipertimbangkan”. Menteri Dalam Negeri tidak memberi sebarang alasan terhadap keputusan tersebut. Mkini Dotcom kemudian memutus untuk mencabar keputusan KDN dan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman.

Penghakiman

Pada 1 Oktober, 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan keputusan KDN yang menolak permit penerbitan Malaysiakini. Dalam penghakimannya, Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan bahawa:

  1. Alasan yang diberikan oleh KDN bahawa “permit penerbitan bukanlah hak, tetapi suatu keistimewaan” adalah salah tafsir; ini adalah kerana penerbitan merupakan sebahagian daripada hak kebebasan bersuara dan keputusan KDN menafikan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.
  2. Keputusan Menteri Dalam Negeri adalah salah kerana ia melebihi had bidangkuasanya. Menteri Dalam Negeri seharusnya memberi alasan apabila mereka menolak permohonan sesuatu permit penerbitan. Tindakan untuk tidak memberikan sebarang alasan kepada Mkini Dotcom bertentangan dengan keadilan. Pihak kerajaan juga perlu membuktikan sesuatu penerbitan membawa ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral, sebelum menolak mana-mana permohonan.
  3. Alasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa Malaysiakini adalah suatu ancaman kepada keselamatan awam menerusi kenyataan “Laman web Malaysiakini sedia ada didapati banyak mengandungi berita-berita yang dilaporkan secara bersentimen dan tidak neutral serta berkecenderungan untuk mencetuskan kontroversi” adalah “tidak wajar dan tidak rasional”.
  4. Permohonan Mkini Dotcom untuk mendapatkan permit penerbitan akhbar perlu dirujuk semula oleh KDN untuk dipertimbangkan dari segi undang-undang.

Penanda aras

“Keputusan menjejaskan hak plaintif kepada hak bagi kebebasan bersuara yang juga termasuk hak untuk permit, dan ia adalah kebebasan asas yang termaktub dalam perlembagaan.” – Hakim Abang Iskandar

Kebebasan bersuara | Sumber: http://miftakhulhuda.wordpress.com

Pengiktirafan Hakim Abang Iskandar terhadap hak penerbitan sebagai kebebasan asas yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi penanda aras baru dalam sistem perundangan Malaysia. Menurut peguam Mkini Dotcom, K. Shanmuga, pengiktirafan tersebut adalah julung kali dilakukan oleh Mahkamah. Beliau sedikit terkejut dengan kemenangan Mkini Dotcom.

Rakan sepasukan K.Shanmuga, peguam Aston Paiva, menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut. Pengiktirafan terhadap prinsip kebebasan asas ini selari dengan mahkamah-mahkamah di negara Komanwel yang lain. Menurut Aston, kes Mkini Dotcom yang mencabar keputusan KDN untuk tidak memberikan lesen penerbitan akhbar adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Dua puluh lima tahun lalu, permohonan Aliran untuk mendapatkan permit penerbitan majalah Bahasa Melayu bertajuk Seruan Aliran ditolak oleh Menteri Dalam Negeri. Aliran menang dalam cabarannya di Mahkamah Tinggi namun gagal di Mahkamah Agung.

Edmund Bon pula menyifatkan kemenangan Mkini Dotcom dan pengiktirafan yang diberikan oleh hakim bahawa “permit penerbitan adalah hak, bukan suatu keistimewaan” sebagai satu keputusan yang bersejarah dan menjadi penanda aras kerana ianya bakal merobohkan benteng yang menyekat kebebasan hak penerbitan yang termaktub dalam hak bersuara selama ini.

Akhbar dan kebebasan bersuara

Kebebasan akhbar yang merujuk kepada kemampuan akhbar dalam menyampaikan berita dan maklumat secara bebas dan adil merupakan suatu kebebasan penting. Hal ini kerana akhbar berperanan sebagai sumber maklumat kepada orang ramai dan berupaya mempengaruhi pemikiran dan tindak balas masyarakat dalam membuat keputusan.

Artikel 19 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) telah memperuntukkan hal ini:

“Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers.”

Namun, kebebasan tersebut disertai tanggungjawab dan batasan. Jika kita menyorot kembali sejarah dunia, ada yang mengatakan bahawa salah satu faktor penyumbang kepada tercetusnya Perang Yugoslavia ialah propaganda perang yang dimainkan oleh media massa sehingga menimbulkan kebencian dan pembersihan etnik. Begitu juga halnya di Rwanda – ekstremisme ‘pro-Hutu, anti-Tutsi’  menyaksikan akhbar Hutu Power pada ketika itu memfitnah kaum Tutsi sebagai musuh utama kaum Hutu. Program Radio Mille Collines yang didengari oleh rakyat Rwanda pula menganjurkan propaganda perkauman menentang kaum Tutsi, kaum Hutu yang sederhana, orang Belgium dan anggota misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) UNAMIR. Tindakan kedua-dua media ini dipercayai menjadi salah satu faktor penyebab keganasan dan pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994 sehingga lebih daripada satu juta orang terbunuh.

Pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994 | Sumber: http://www.poorwiseman.net

Diulangi, kebebasan datang dengan rasa tanggungjawab dan batasan. Walau bagaimanpun, batasan hendaklah berlandaskan kepada sebab-sebab yang sah, bukannya omong kosong atau tuduhan membabi buta, sebagaimana yang dinyatakan oleh Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) – yang mana masih belum diratifikasi oleh kerajaan Malaysia:

  1. For respect of the rights or reputations of others, and;
  2. For the protection of national security or of public order (ordre public), or of public health or morals.

Oleh itu, selagi tidak ada pembuktian bahawa Malaysiakini menjadi ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral sebagaimana yang disebutkan oleh Hakim Abang Iskandar dalam keputusan kes ini, saya fikir semua tuduhan yang dilemparkan hanyalah khabar-khabar angin yang selayaknya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Ada apa dengan Malaysiakini?

Kisah Malaysiakini bermula dengan idea yang mudah. Portal Malaysiakini dilancarkan pada 20 November, 1999 tatkala kerajaan mengawal ketat media arus perdana tetapi tidak menapis Internet. Maka, Malaysiakini muncul sebagai sumber maklumat dan kebebasan akhbar secara dalam talian yang utama di Malaysia.

 

Graf Google Trends yang menunjukkan jumlah pembaca Malaysiakini mengatasi Star Online | Sumber: www.malaysiakini.com

Pilihan Raya Umum 2008 mungkin menjadi titik perubahan utama kepada Malaysiakini. Malaysiakini pada waktu itu mengambil risiko dengan menawarkan portal percuma sepanjang kempen pilihan raya. Keputusan ini telah membawa manfaat kepada Malaysiakini kerana jumlah pembaca Malaysiakini telah meningkat buat julung kalinya, menewaskan peneraju Star Online.

Ada yang menyatakan bahawa Internet memainkan peranan yang berpengaruh di kalangan pengundi muda dan bandar. Semasa Pilihan Raya Umum 2008, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kesal kerana BN telah ‘kalah perang Internet’. Beliau menyedari parti pemerintah tersilap perhitungan dengan bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana untuk menyampaikan mesej kempen pilihan raya. 8 Mac, 2008 bukan sahaja menyaksikan tsunami politik, tetapi menjadi titik kebangkitan media dalam talian.

Dalam semakan tahunan Kebebasan Bersuara 2010 oleh Centre for Independent Journalism (CIJ), CIJ menyatakan bahawa KDN tidak konsisten dalam pemberian atau penarikan permit di bawah akta tersebut. Permohonan Mkini Dotcom menemui kegagalan sementara Perkasa pula diberikan permit penerbitan tanpa halangan bagi buletin Suara Perkasa yang diterbitkan setiap dua minggu. Kumpulan pendesak yang dikepalai oleh Ibrahim Ali seringkali mencetuskan kontroversi berbaur perkauman. Eh, apa ni? Pilih kasih?

Mkini: Api dalam sekam?

Benar, Malaysiakini telah menjuarai media dalam talian dengan penyampaian maklumat yang bebas. Namun, rentak cemerlangnya harus terus diperkukuhkan dengan penerbitan akhbar harian secara lebih meluas dan mencapai golongan sasar yang lebih besar sehingga ke pelusuk kampung dan desa. Mungkin inilah yang difikirkan oleh Premesh Chandran, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, ketika membuat permohonan mendapatkan permit penerbitan pada 2010.

Serbuan polis di pejabat Malaysiakini pada tahun 2003 | Sumber: http://news.bbc.co.uk

Dalam usaha untuk mempromosi kebebasan media dan memenuhi tanggungjawab sebagai penyampai maklumat bebas, kredibiliti Malaysiakini banyak dipertikaikan dan ‘diuji’. Pada 20 Januari, 2003, polis telah menyerbu pejabat syarikat tersebut dan merampas 15 unit pemprosesan pusat (CPU) dan empat buah server berikutan laporan yang dibuat oleh Pemuda UMNO yang mendakwa surat pembaca yang disiarkan dalam laman portal Malaysiakini telah mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan mengandungi tuduhan-tuduhan palsu bahawa kerajaan tidak bersikap adil kepada bangsa-bangsa lain. Tindakan ini mendapat kritikan dari dalam dan luar negara.

Malaysiakini akhir-akhir ini (pra-Pilihan Raya Umum Ke-13) telah dilempar dengan pelbagai tuduhan seperti ‘portal pro-pembangkang yang menerima dana asing’ , ‘tali barut asing’ , ‘portal #SorosFund’ dan terlibat dalam plot untuk menumbangkan kerajaan. Pendek kata, Malaysiakini digambarkan sebagai ‘api dalam sekam’ yang mempunyai niat jahat tersembunyi dalam penyampaian maklumat dan beritanya, bukan sebagai media bebas yang menjadi kayu ukur kepada kelahiran sebuah negara demokratik yang dicita-citakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Saya bersama Malaysiakini" - George Soros | Sumber: http://keris7lok.blogspot.com
"Malaysiakini Tidak Bebas Tidak Berkecuali"
Tanpa prejudis tapi prejudis? | Sumber: http://blogtamingsari.blogspot.com

Kesimpulan

Perjuangan Malaysiakini dalam menyampaikan maklumat yang bebas sehingga membawa kepada mencabar keputusan KDN menerusi litigasi strategik dan akhirnya beroleh kemenangan bersejarah membuka episod baru dalam perundangan negara. Walaupun cita-cita pembentukan sebuah negara demokratik dengan kebebasan media masih lagi jauh untuk dikecapi, saya yakin dan percaya bahawa Malaysiakini bukanlah ‘api dalam sekam’ yang boleh ‘membakar’ keamanan Malaysia. Anda bagaimana?

Haziqah Nasirah worked for a foundation which seeks to alleviate hardcore poverty in the country prior to joining Pusat Rakyat LoyarBurok. She enjoys walking up and down the stairs everyday and hopes to......

One reply on “Malaysiakini: Api Dalam Sekam?”

  1. walaupun hak kebebasan bersuara menjadi hak tetapi perlu ada batas-batas yang boleh mewujudkan keharmonian negara.

Comments are closed.