Lord Bobo Rants: Menuju Penguasaan Dunia!

Anda tahu inilah yang anda tunggu-tunggu! Tiada apa yang akan menjadi penghalang kami sekarang!

Yang TerSangatMahaAgong Mulia (YTMM) Lord Bobo bingung dengan dakwaan akhbar New Straits Times (NST) di muka hadapannya pada 21 September 2012 yang mengatakan bahawa Liberal Banter Sdn Bhd (LBSB) adalah antara beberapa organisasi yang cuba untuk ‘menjadikan kerajaan tidak stabil’. Berikutan dengan usul dan sindiran luar biasa yang dibuat oleh akhbar terunggul di Malaysia pada masa dahulu, adalah harus bagi YTMM untuk membuat penjelasan kepada dunia umumnya.

Disebabkan oleh kegagalan media arus perdana untuk mencipta dan meluaskan ruang dan peluang awam bagi wacana yang penting dan perlu – atas sebab-sebab yang YTMM masih cuba untuk memahami – YTMM secara telepatinya telah mengawal minda enam orang suruhan di Bumi untuk membentuk sebuah syarikat perniagaan pada 13 Februari 2006 yang memulakan dan memiliki blawg yang mengagumkan, LoyarBurok.com. (Ya, anda sedang membacanya.)

Ia kini telah berkembang menjadi blawg komuniti Lakukan-Sendiri (D-I-Y) yang pertama seumpamanya, yang mana semua orang digalakkan untuk melahirkan perasaan mereka terhadap isu-isu yang penting. LBSB tidak pernah menerima apa-apa dana global dari mana-mana penderma untuk penubuhan, pentadbiran dan pengurusan blawg tersebut.

Untuk terus bernyawa, blawg ini bergantung sepenuhnya ke atas kemurahan hati dan kudrat sukarelawaan-sukarelawaan LoyarBurokkers. Kami mempunyai lebih daripada 400 LoyarBurokkers yang dengan berat hati, rela hati dan kasih sayang berkongsi dan terus berkongsi pandangan-pandangan mereka dalam blawg yang merangkumi isu-isu politik, seks dan hak asasi manusia kepada filem, buku, fesyen dan ulasan makanan.

Kedua, LBSB menjalankan perniagaan untuk menyokongnya dengan penjualan buku-buku menerusi #LoyarBaca dan barangan seperti baju-T, penanda buku, pelekat, gelang tangan, lencana dan buku nota menerusi #LoyarButik. LBSB juga bergantung atas derma dari penyokong-penyokong dan hasil pengiklanan daripada blawg. LBSB tidak pernah menerima apa-apa dana global dari mana-mana penderma untuk inisiatif ini.

Pada hakikatnya, enam orang suruhan ini telah mengeluarkan ribuan ringgit untuk mentaati perintah YTMM dan membelanjakan wang mereka sendiri bagi melaksanakan usaha-usaha LBSB.

Ketiga, LBSB telah diarahkan untuk menumpukan usaha kini ke arah mendidik dan memperkasakan rakyat bagi membantu mereka bukan sahaja untuk hidup semata-mata tetapi juga untuk berkembang maju dalam status negara berpendapatan tinggi yang akan datang pada 2020.

Bagi menyambut gesaan ini, LBSB menerusi cabang latihan #LoyarBengkel menjalankan program latihan berbayar dan tidak berbayar secara kerap untuk pelbagai masyarakat dan syarikat. Seterusnya, LBSB menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) atau dikenali sebagai PusatRakyatLB terlibat dalam pendidikan dan pemerkasaan masyarakat melalui pelbagai inisiatif seperti menganjurkan perbahasan, forum dan ceramah, belajar tentang Ahli-Ahli Parlimen dan melibatkan diri dengan mereka, menjalankan latihan, bengkel dan gameshop, membantu dalam kes-kes kepentingan awam dan membuka sebuah pusat sumber untuk kegunaan awam.

Bagi menampung segala perbelanjaan untuk inisiatif-inisiatif ini, LBSB menerima dana daripada pelbagai individu dan organisasi baik tempatan mahupun global, dan secara tambahan melalui pengumpulan dana. (Secara kebetulan, LBSB telah pada 2 November 2011 memohon kepada Dana Belia 1Malaysia untuk membiayai satu pertandingan foto masyarakat, tetapi sehingga kini kami belum menerima khabar daripada pihak Dana Belia 1Malaysia – kami akan berterima kasih untuk sebarang jawapan balas.)

Sesungguhnya tidak ada undang-undang yang melarang penerimaan dana global. Tidak ada sesiapa selain pengarah-pengarah dan kakitangan-kakitangan LBSB yang menentukan kerja LBSB dan pelbagai inisiatifnya. Tidak ada program atau niat sekalipun untuk menjatuhkan mana-mana parti politik daripada tampuk kuasa atau meletakkan mana-mana parti politik di tampuk kuasa. Sebarang usul atau sindiran yang sama adalah tidak munasabah.

YTMM Lord Bobo tidak berminat dengan hal remeh-temeh seperti itu memandangkan YTMM mempunyai matlamat yang jauh lebih tinggi. Senang kata: Penguasaan Dunia. Membebaskan minda dan semangat. Liberavi Animam Meam. Hak, dan juga kesedaran berkenaannya. Membina alat perkakas dan pengetahuan yang diperlukan untuk mencapai keadilan dalam masyarakat. Apa yang dikesali adalah mereka yang berminda kecil tidak dapat memahami hal ini.

LBSB bersedia dan sanggup untuk bekerjasama dengan mana-mana dan semua pihak yang menyokong kausa YTMM, terutamanya bagi memastikan keadilan ditegakkan. Tidak boleh disangkal bahawa LBSB menerusi salah satu inisiatif utamanya pada masa ini bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira jurang politik. Kami menjemput semua orang tanpa mengira siapa jua untuk mengunjungi kami bagi mengetahui lebih lanjut tentang kerja kami, dan bagaimana anda boleh menjadi sebahagian daripada kausa untuk Malaysia yang lebih baik.

Penglibatan dalam usaha pendidikan dan pemerkasaan adalah sebahagian daripada demokrasi yang berdaya saing dan berkembang selaras dengan hak-hak perlembagaan rakyat untuk hidup, bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijamin di bawah Perkara-Perkara 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Sudah pasti anda tahu – Undang-Undang Terulung Negara.

LBSB kukuh berdiri dalam solidariti dengan semua pertubuhan lain yang telah dinamakan dalam artikel NST tersebut. YTMM benar-benar percaya bahawa kecondongan NST itu adalah salah, mengelirukan dan satu cubaan untuk mendiamkan kritikan dan suara masyarakat madani.

Maka dengan itu, YTMM ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan anda semua bahawa sekiranya anda mahu menulis tentang bagaimana geramnya (atau gembira) anda mengenai hal ehwal kewartawanan Malaysia, jadilah seorang LoyarBurokker dengan mendaftar akaun mengikut langkah-langkah di sini. Anda akan mendapat nama pengguna unik dan kata laluan untuk berkongsi pendapat anda. Jika anda tidak cenderung untuk menulis, jangan risau. Anda boleh menderma wang anda untuk usaha-usaha yang kami lakukan dengan mengklik pada butang ‘Make A Donation’ di sudut atas kanan blawg kami.

Liberavi Animam Meam!

Kami yang menurut perintah.

Ditandatangani oleh pengarah-pengarah LBSB yang dikawal fikirannya untuk dan bagi pihak Yang TerSangatMahaAgong Mulia Lord Bobo

(Penterjemahaan kenyataan yang asal di sini ke Bahasa Malaysia oleh Haziqah Nasirah.)


(Visited 458 times, 1 visits today)

Tags: , , , , , , , , ,


The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because it's fun.

Posted on 23 September 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

3 Responses to Lord Bobo Rants: Menuju Penguasaan Dunia!

  1. Penasihat kedua

    Eerrr. semue larr yahudi..tu yahudi nie… hhhrrrmmmm takde bende lain…sal bkn arab tu arab nie? pelik bin ajaib

  2. Penasihat

    Eh, eh, eh…bukankah bahasa Latin `Liberavi Animam Meam!' yang digunakan tu asalnya bahasa Yahudi?!? Jika tidak pun, bukankah ianya bahasa ASING yang, seperti DANA ASING, boleh menggugatkan kestabilan negara yang tercinta ini?! Ish, ish, ish.