Cinta Sekeping Sandwic 2.0 #LoyarBerkasih

Aku harap semua orang dapat segarkan minda dan baca bahagian pertama dahulu sebelum membaca sambungan kisah cinta sekeping sandwic antara aku dan Sharon Loh.

 

Playground | Credit: Phalinn Ooi

I.

Petang itu tak berapa indah. Panas terik, berpeluh-peluh aku dibuatnya. Dahi aku dibasahi peluh tatkala angin langsung tak bertiup. Ketiak aku usah ditanya, sudah banjir. Hati aku mula meraung bertanya di manakah Leman Jongang, pagi tadi dia janji untuk berjumpa dengan aku di padang ini. Aku tak faham kenapa dia nak jumpa aku di sini dan aku tak faham kenapa aku sanggup duduk di bawah terik mentari membiarkan ketiak aku dirogol peluh. Aku terus berjalan ke arah sebatang pohon yang merimbun tidak jauh dari situ.

Aku tolehkan pandangan ke arah jarum jam di pergelangan tangan, aduh, dah nak masuk Asar! Lepas Asar nanti nak main bola pula. Haih, Leman Jongang memang tak akan faham masalah aku sebab dia bukan kaki bola. Dia lebih ke kaki bangku dan mungkin akan ikut jejak langkah ayahnya yang kaki botol. Selamatlah ayah aku kaki pukul.

II.

Dari jauh sudah kelihatan susuk tubuh Leman Jongang. Walaupun dari pemerhatian aku cuma kelihatan giginya yang bersinar, aku yakin itu Leman kerana di kampung ini hanya dia seorang yang ada keunikan sebegitu. Otak aku terus berfikir tentang perkara yang ingin dibincangkan. Nak dikatakan taktik bola petang ini, tak mungkin. Nak dikatakan taktik mengurat Salmah anak Lebai Sulong, lagi mustahil. Sambil itu pemikiran aku terus terbayang beg baju yang aku belum kemas. PAP! Aku terus tepuk dahi, terlupa pula janji aku pada ibu untuk  mengemas baju dahulu sebelum keluar. Mana tidaknya, esok merupakan hari untuk aku tinggalkan keluarga. Esok ialah hari pertama aku di sekolah menengah dan juga  di asrama. Gembira pula rasa hati sambil-sambil rasa gusar dengan leteran ibu yang menanti.

III.

Susuk tubuh Leman Jongang semakin hampir, mungkin dalam 50 meter lagi. Haih, lembab betul jalan. Macam siput sedut! Aku lepaskan geram, ketiak terus sambung banjir.

Aku teringat macam mana nama Leman boleh diJongangkan. Sebenarnya, Leman bukanlah seorang yang jongang pun. Cumanya dia memang tak mampu untuk berhenti senyum. Biarlah telinganya dipulas cikgu ataupun disuruh tekan tubi oleh pengawas penindas, dia tetap akan senyum. Sehinggakan satu hari Mael kaki buli tak jadi untuk tumbuk mukanya kerana giginya itu.

“Ish, apa hal kau ni? Dari tadi senyum? Tak takut ke? Ke kau jongang?” Aku masih ingat lagi kata-kata separa bangang dari mulut Mael ini sebelum dia tinggalkan saja Leman di belakang kantin tahun lepas. Ini waktu…hmm…erm…malas aku ungkit kisah lama, tapi inilah waktu selepas kali terakhir aku jumpa Sharon. Sehingga sekarang sudah hampir setahun aku tidak menjumpainya. Ah, lupakan! Lupakan!

IV.

Gerak-geri Leman Jongang makin menghampiri, kelihatan dia membawa beg di tangan kanannya. Oh, bukan giginya yang bersinar dari jarak 73 meter itu. Cis, aku bagaikan tertipu dengan ilusi optik! Kelihatan Leman kemas dan segak bergaya, dari sini nampak macam dia memakai kemeja kotak-kotak. Rambutnya pula agak panjang. Wah, bukan main rock lagi Leman sekarang! Aku terus tepuk akar banir, tak puas hati. Rambut aku sudah pendek mengikut spesifikasi asrama. Aik, pendek pula Leman kali ni? Biarlah, tak cukup makan Koko Krunch lah tu. Bisik aku dalam hati.

“Woi, Mangang!” jerit aku dari jarak 17.5 meter sambil melambai tangan. Mangang datang dari Leman campur Jongang. Bangang pun boleh diterima.

“Hai…” jawabnya lembut lantas lutut aku bergetar bagai berjumpa malaikat maut. Rupanya dia bukan Leman!

“Nohorom! Siapa ni? Pula dah..salah orang! Ya Allah, malunya aku! Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku sekiranya dia ni seorang pembunuh upahan!” jerit aku dalam hati sambil mata ditutup erat.

Sunyi.

Beberapa saat kemudian aku buka mata semula, perlahan-lahan.

Aku gosok mata.

Aku gosok mata 2.0.

Aku gosok mata 3.0.

Adakah ini benar?

Aku tak percaya.

“A…a…awak…Shh…Sh…Shaver Loh kan?” soal aku gagap.

“Sharon…” jawabnya sambil senyum malu.

“Oh…oh…oh ya ya ya Sharon!” balas aku yang baru tersasul tadi.

Hati aku melonjak gembira. Degupan jantung sudah sepantas dan sepadu tumbukan Sapok Biki. Aku cuak, aku nervous, aku dah tak tahu nak buat apa!

Sharon Loh masih tersenyum di hadapan aku, tenang.

“Saya kena cepat. Nanti mak saya marah,” kata Sharon.

“Kenapa?” tanya aku ringkas.

“Saya baru sampai. Kena kemas barang dulu,” balasnya semula yang terus membuatkan aku terpinga-pinga, tak faham.

“Erm..hmm..er..” aku sedang fikirkan balasan yang sesuai. Argh! Waktu inilah otak pemidato daerah tak dapat digunakan!

“Tak apa, saya kena balik dah. Esok awak nak masuk asrama kan? All the best tau and belajar betul-betul. Kita jumpa lagi okay? Bye!” dan tidak semena-mena badan aku dirangkul Sharon dan dipeluk erat. Seluruh badan aku kebas secara spontan. Aku tergamam.

V.

Hati aku mula terbayang Leman Jongang yang senyum berseorangan dengan muka penuh konspirasi dan cahaya giginya bersinar sejauh 133 meter.

Aku pandang sampul putih yang diberikan Sharon kepada aku sebelum dia pulang. Aku cium baunya. Hm, pelik. Mungkin bau beg tangan putihnya itu.

Salam Syamim, maaf kelam kabut sangat. Tahun lepas saya pindah ke bandar secara mengejut, tak sempat beritahu awak. Harap awak tak marahkan saya. Saya harap awak akan cemerlang di asrama nanti. Gunakanlah peluang sebaiknya sebab saya sendiri tak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sana. Ayah kata mungkin sebab nama saya. Biarlah, asalkan awak ada di sana sebagai wakil saya. :) Oh, ingat ini?

sandwic | Credit: Mim Jamil

Ha, kalau ingat dan rindu, jemputlah datang ke rumah saya malam ini untuk makan malam bersama keluarga saya, ibu saya jemput. Saya akan buatkan khas untuk awak. Sandwic tuna. <3 xoxo .

Lantas degupan jantung aku berhenti buat seketika. Aku tergamam. Kali ini aku betul-betul terapung. Lain macam perginya. Aku terus berlari ke rumah dengan dua rancangan di dalam hati buat penutup hari ini.

Pertama, kemaskan barang.

Kedua, pakai baju paling cantik.

Ketiga, ke rumah Sharon.

Keempat, makan sandwic tuna sampai habis dan bawa balik sikit sebagai bekal ke asrama.

Ah, biarlah berapa banyak pun aku nak rancang!

Oh, indahnya dunia!

 

 

Kelima, baring atas katil dan mimpi berkahwin dengan Sharon Loh.

Mim Jamil ialah pencarut sambilan di @mimjamil. Dia selalu ditanya oleh orang ramai terutamanya Mei Yi perihal Sharon Loh. Dia rasa Sharon Loh sekarang sedang sibuk menyiapkan sandwic tuna di dapur sambil mendengar Við Spilum Endalaust dendangan Sigur Rós.


(Visited 433 times, 3 visits today)

Tags: , , , , , ,

Posts by

In another lifetime, June was a field biologist, searching for orang utans in the wild. She still dreams of living in the forests.

Posted on 7 February 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use