AUKU – Bukan sekadar Politik

Mengapa ada manusia yang memberontak? Mengapa perasaan memberontak itu wujud?Pemberontakan berlaku atas pelbagai sebab akan tetapi punca utama, akarnya adalah akar ketidakpuashatian. Mengapa pula tidak berpuas hati? Ini juga mengundang pelbagai jawapan tetapi tidak puas hati itu selalunya timbul kerana muncul perasaan ditindas, dinafikan peluang dan diadili dengan pertimbangan yang berat sebelah.

Mengapa AUKU perlu dipinda? Jawapan: untuk merakyatkan mahasiswa
Mengapa perlu merakyatkan mahasiswa? Jawapan: Kerana rakyat mempunyai hak berpolitik.

Eh sebentar, bukankah siswa telah diberi hak berpolitik walaupun adanya AUKU? Jawapan:

Benar tetapi ianya ‘halal’ untuk sesetengah pihak dan ‘haram’ untuk pihak yang lainnya.

Ada pihak yang berdiri lebih tinggi daripada AUKU.Ada pihak yang perlu berdiri di bawah AUKU.

Atas dasar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan saya menjerumuskan diri ke dalam isu AUKU.

Apakah Perkara 8 tersebut?

‘’Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’’

Atas dasar ini saya berjuang dalam isu AUKU.

AUKU bukan sekadar memberi hak berpolitik kepada siswa. Ia lebih daripada itu.

Kerana hak tersebut telah pun diamalkan meskipun telah wujudnya AUKU. Cumanya wujud perbezaan dalam mengamalkan hak tersebut.

Atau bahasa mudahnya, double standard.

Tidak perlu mengulas lanjut akan perkara ini. Semua orang akan bersetuju apabila kenyataan ini diberikan:

‘’Kalau sokong kerajaan tak apa. Kalau sokong pembangkang tak boleh.’’

Cuba kira berapa banyak kali ahli politik Barisan Nasional masuk ke dalam universiti anda dan menghadiri program-program di dalam universiti anda?

Bandingkan pula dengan statistik ahli politik pembangkang yang masuk ke dalam universiti dan menghadiri program-program di sana.

Walaupun memegang jawatan menteri atau punya tugas rasmi, tetapi mereka masih lagi membawa entiti politik. Kalau tidak, masakan mereka boleh memegang jawatan tersebut jika tidak mewakili sesebuah parti politik.

Mengapa jika ada suara yang tidak sehaluan dengan kerajaan, suara itu perlu ditutup dan disimpan? Kalau benar pembangkang masih lagi penting dan diperlukan sebagai cermin kepada kerajaan untuk menegur dan check & balance, mengapa cermin itu perlu ditutup atau dibiarkan berhabuk?

Atas sebab itu saya bangkit untuk mendalami isu AUKU.

Bukan sebab politik. Tetapi atas dasar adil dan saksama. Fair and justice.

Saya sudah melihat banyak ketidakadilan berlaku. Bagaimana satu pihak bebas masuk ke dalam universiti membawa isi-isi ceramah politik, menghentam satu pihak yang lainnya sementara pihak yang lain itu tidak dibenarkan masuk ke dalam universiti langsung.
Tuduhlah saya tidak bersyukur kerana mendapat peluang belajar di universiti. Tetapi jangan lupa firman Tuhan

‘’ Berlakulah adil. Sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada taqwa’’.(Surah Al-Maidah)

Saya bersyukur dapat belajar di universiti yang didirikan oleh kerajaan. Tetapi syukur itu tidak akan menutup mata saya dan mengiyakan ketidakadilan yang berlaku. Syukur tidak menghalalkan segalanya. Apabila ketidakdilan berlaku, saya akan menyuarakannya meskipun ada seribu tangan yang mencengkam leher saya agar saya berdiam diri.

Sebab itu, saya mahu berjuang untuk memastikan ketidakadilan ini tidak lagi mendapat tempat di negara ini. Saya mengimpikan kedua-dua pihak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam bersuara .Kedua-dua pihak diberi peluang yang sama untuk bersuara, memberi pendapat, menjelaskan pendirian dan prinsip diri dan menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

Mengapa perlu takut? Mengapa perlu bersembunyi di sebalik benteng sekiranya kita mempunyai kemampuan untuk berhujah dan bersuara? Sudah hilangkah keberanian dan maruah kita untuk menghadap pihak yang lain dan berhujah dengan penuh keilmuan dan inteletektualiti kelas pertama? Apakah kita takut saudara-saudari kita dicucuk dengan anasir luar atau kita takut kita yang sebenarnya dicucuk oleh anasir luar?

Mengapa perlu salahkan anasir luar jika kita mempunyai kemampuan untuk mencucuk mereka?

Maaf. Masa mengepung dan mengawal siswa sudah berakhir. Lapan huruf ini telah membuatkan taktik dan strategi membatasi dan mengepung siswa sudah tidak relevan. Lapan huruf tersebut adalah:

Internet.

Perintah berkurung dalam universiti? Tiada masalah. Buka laptop dan guna internet. Potong wifi atau letakkan caj yang mahal untuk wifi agar siswa sukar mendapat wifi? Tiada masalah. Gunalah broadband celcom, digi, maxis, YES dan sebagainya.

Era mengawal dan membatasi siswa sudah berakhir. Ia sudah berakhir. Taktik ini sudah tidak relevan.

Berilah peluang yang adil dan saksama kepada kedua-dua pihak. Jangan hanya berani bercakap di sebalik benteng tetapi takut untuk berhadapan dengan pihak yang berada di luar benteng. Buktikan kedua-dua pihak punya kebolehan dan kemampuan yang hebat untuk berdiskusi dan berhujah. Jangan takut untuk menghadapi realiti dan menjawab persoalan-persoalan yang dilemparkan. Sahut cabaran mereka. Apa lagi yang perlu ditunggukan?

Jangan menghentam pihak lawan melakukan sesuatu tindakan sedangkan kita sendiri melakukan tindakan tersebut.

Kita kecam dan kritik mereka yang berdemonstrasi. Niat ibu bapa hantar mereka ke universiti untuk belajar. Tetapi bagaimana pula jika kita yang berdemonstrasi? Apakah niat ibu bapa hantar kita ke universiti untuk belajar dan pada masa yang sama, berdemonstrasi?

Kita kecam dan kritik mereka yang melibatkan dalam politik sedangkan kita sendiri menyokong personaliti atau parti politik.

Perkara 153 tidak memberi kelebihan atau affirmative action dalam hak berpolitik dan itu adalah kepastian yang tidak dapat disangkal.

Justeru, sekali lagi, inilah yang saya perjuangkan. Walaupun ramai yang memperjuangkan isu AUKU kerana soal hak berpolitik, tetapi bersendirian dalam memperjuangkan isu AUKU kerana soal keadilan dan kesaksamaan tidak memberi masalah kepada saya.

Kerana saya yakin dan percaya, saudara dan saudari saya yang menuntut di IPT baik awam ataupun swasta negara ini menyedari hakikat ini.

Hakikat bahawa wujudnya double standard dan ketidakadilan dalam memberi ruang berpolitik kepada mahasiswa.

Saya tidak akan menyertai mana-mana demonstrasi. Saya tidak akan menganggotai mana-mana kumpulan siswa apabila membicarakan isu AUKU ini. Perjuangan yang dilakukan oleh saya hanyalah satu: berpaksikan ucapan Mahatma Gandhi iaitu

In a gentle way, you can shake the world

Atas dasar ini, saya berjuang dalam isu AUKU.


Tags: , , ,

Posts by Zharif Badrul

Used to be a part-time contributor in The Malaysian Insider by using the pseudonym 'loyar muda'. When it comes to writing something, he becomes too picky and choosy. He refuses to give opinions or to write on every issue. He will choose what is interesting for him and of course, something which could draw people's attention towards him (yes, an attention seeker). He is the owner of pre-lawrian.blogspot.com

Posted on 23 December 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Zharif Badrul.

Read this first: LB Terms of Use

One Response to AUKU – Bukan sekadar Politik

  1. Sekilas

    Seadil-adil undang-undang adalah undang-undang Allah iaitu Islam seperti mana yang saudara quote

    ‘’ Berlakulah adil. Sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada taqwa’’.(Surah Al-Maidah)

    Jika saudara berjuang sebagai peguam yang yang menggunakan undang-undang syariah, alhamdulillah. Jika saudara sendiri menggunakan undang-undang yang diciptakan manusia, samalah saudara seperti mereka.