Perjalanan Seorang Peguamcara

Sewaktu melintasi tempat meletak kereta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam saya terlihat beberapa orang membawa jambangan bunga diiringi oleh ahli keluarga masing-masing. Kelihatan di wajah mereka kegembiraan dan keceriaan. Saya pasti bahawa hari semalam adalah hari besar dalam hidup mereka dan ibu bapa mereka. Mereka telah menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1 tahun di peringkat matrikulasi atau A-Level dan 4 tahun bagi menghabisi pengajian undang-undang. Ibu bapa mereka juga pasti telah berbelanja besar untuk menampung yuran pengajian anak-anak di universiti. Tidak syak lagi bahawa semalam adalah hari besar dan bersejarah bagi mereka kerana hari semalam adalah hari mereka didaftarai dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Ini bermakna pengajian mereka di peringkat sarjana muda undang-undang telah mencapai kemuncaknya. Selepas ini mereka bebas untuk beramal sebagai peguamcara dan peguambela. Mereka dibenarkan untuk memasuki dewan bicara mahkamah dan berhujah di hadapan Yang Arif Hakim. Mereka pasti akan dipanggil sebagai peguam yang terpelajar (learned counsel). Alangkah indahnya saat-saat itu.

Pengalaman yang sama telah saya lalui lebih sedekad yang lalu. Dan saya masih mengingati saat-saat indah ketika diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Temerloh di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham. Sebenarnya, saya dan rakan saya adalah orang yang pertama diterima masuk di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham kerana beliau baru sahaja dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada waktu itu.

Semalam juga saya berbalas mesej dengan seorang rakan senior saya berkaitan kerjaya di dalam bidang guaman ini. Beliau menyatakan kenapa beliau masih belum hidup senang dengan kerjaya ini sedangkan beliau telah diterima masuk sebagai peguam kira-kira 13 tahun. Apakah silapnya?

Saya melihat begitu banyak pahit manis di dalam bidang guaman ini. Ada rakan-rakan yang pernah memiliki 3 buah kereta mewah dan rumah teres yang besar untuk beberapa tahun, akhirnya beliau tersungkur kerana salah perkiraan. Ada juga rakan yang pernah membuka firma guaman tetapi hanya mampu bertahan selama 2 bulan sahaja kerana modalnya sebanyak dua puluh ribu habis begitu seolah-olah seperti air yang tumpah. Ada juga firma sahabat peguam yang mampu bertahan selama 2 tahun kerana selepas itu terpaksa ditutup gara-gara karenah rakan kongsi yang pecah amanah terhadap wang klien. Ada firma guaman yang dibuka lebih sedekad lalu dan nampaknya semakin maju. Ada yang rakan yang memperolehi durian runtuh atau ‘jackpot’ dalam kariernya apabila kliennya membayar fi sebanyak sejuta ringgit kerana membantu kliennya mendapatkan wang sejumlah tujuh juta ringgit. Lantas, beliau pada minggu depannya kelihatan memandu sebuah BMW 3 series dengan bergaya (Kalaulah saya yang menerima ‘jackpot ini, alangkah bahagianya).

Pokok pangkalnya, menjalani hidup sebagai peguam memerlukan skil tertentu. Peguam yang berkhidmat sebagai seorang pembantu undang-undang di firma orang lain perlu mempunyai skil bekerja secara bebas (independent) iaitu mampu berfikir dan melaksanakan kerja tanpa perlu menunggu arahan bos. Peguam itu harus mampu membuat penyelidikan sendiri dan mampu mengundang rasa hormat daripada bosnya atas ketrampilan, ilmu dan semangat berkerja. Selain itu, peguam ini harus bijak menangani politik dalaman pejabat dan menjauhi daripada gosip pejabat yang boleh mengundang rasa dengki orang lain.

Bagi peguam yang membuka firma sendiri, beliau harus mempunyai skil yang lebih hebat. Beliau harus mampu mencari kerja, membina rangkaian dan jaringan kenalan supaya mudah mendapat kerja. Beliau juga harus tegak atas prinsip undang-undang. Jangan amalkan memberi rasuah kepada mereka yang memberikan kerja kepada kita. Sebaliknya, biarkan klien yang meletakkan kebergantungannya kepada kita dalam menyelesaikan masalah mereka. Dan peguam ini harus menunjukkan sifat profesional sebagai peguam. Peguam ini harus menepati janji mereka kepada klien dan mempersembahkan kes klien di hadapan Yang Arif dengan sebaik mungkin. Peguam ini tidak boleh menutup telefon kerana terganggu dengan panggilan klien yang bertalu-talu. Pakaian mestilah kemas sesuai dengan profesion. Saya melihat dari aspek ketrampilan ini, peguam seperti Dato’ Mohd Shafee atau Dato’ Wan Mutalib Embong boleh ditiru. Kedua-duanya adalah peguam yang berjaya. Jika klien berpuashati dengan khidmat yang diberikan, insyallah ada lagi pekerjaan lain yang diberikan kepada peguam itu. Mungkin juga, klien itu akan merekomenkan rakannya untuk mengambil khidmat peguam itu.

Justeru, bagi peguam muda yang baru didaftarai dan diterima masuk hendaklah bijak merangka pelan kerjaya masing-masing. Berjaya diterima masuk sebagai peguam bukanlah tiket yang menjamin seseorang itu memperolehi gaji yang tinggi (Minggu lepas, Perdana Menteri menyatakan bahawa profesional di Malaysia ini dibayar gaji yang rendah tidak setimpal dengan kerjanya). Peguam muda harus mempersiapkan diri untuk meletakkan target menjadi peguam yang bebas dan tidak bergantung kepada orang lain dalam tempoh 5 tahun akan datang. Sebaiknya peguam muda ini menimba sedikit pengalaman dengan kerja-kerja berkaitan mahkamah terlebih dahulu barang 2-3 tahun sebelum memasuki cabang korporat atau lain-lain kerja berbentuk ‘conveyancing’. Ini kerana, bagi orang kampung, jika disebut peguam yang mereka kenali adalah peguam yang berhujah di mahkamah seperti Tuan Karpal Singh. Selain itu juga, peguam muda ini harus melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarela samada di dalam mana-mana jawatankuasa kecil Majlis Peguam atau badan sukarela yang lain. Peguam perlu juga membuat kerja-kerja berbentuk pro bono (kerja free lah ni tanpa dibayar) kerana pengalaman kerja pro bono ini amat membantu dalam merangka kerjaya masa hadapan. Selepas itu, peguam muda bolehlah membuat pengkhususan dalam kerjaya samada memilih kerja berbentuk conveyancing, litigasi, korporat, pusaka dan probet, tanah, ekuiti dan amanah, tuntutan kemalangan dan insuran atau lain-lainnya.

Saya yakin bahawa jika di mana ada semangat di situ ada jalan.

Selamat Berjaya.


Tags: , , , ,


An ordinary lawyer who aspires to be an extraordinary lawyer in new democratic Malaysia

Posted on 26 September 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Dr Zulqarnain Bin Lukman.

Read this first: LB Terms of Use

3 Responses to Perjalanan Seorang Peguamcara

  1. zhbtyi

    Terima kasih kerana berkongsi . doakan saya berjaya menjadi peguam satu hari nanti .. Saya masih form 4 dan sudah lama.bercita cita menjadi peguam

  2. Hisham Nazir

    Nasihat yang baik – http://www.hishamnazir.com

  3. Dominic Gan

    Thank you for good advise.