Kita telahpun mengenali “Apa itu Perlembagaan Persekutuan”, “Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa” dan “Hubungan Persekutuan-Negeri.” Hari ini, mari kita wacana tentang institusi Perlembagaan yang penting, “Parlimen”.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”.

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia.

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides(“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari!

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan.

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

[youtube]Y_8qVpsMD1E[/youtube]

Buku Panduan Rakyat (RG)

Apa itu Parlimen?

Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) dan dua “Dewan” yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli yang dipilih oleh pengundi Malaysia. Mereka dikenali sebagai “Ahli Parlimen”.

Dewan Negara terdiri daripada 70 ahli yang dikenali sebagai “Senator”.

• 26 Senator adalah dipilih. Setiap Dewan Undangan Negeri memilih 2 Senator untuk mewakili Negeri di dalam Dewan Negara.

• 44 Senator dilantik oleh YDPA. 2 orang dilantik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang dari Wilayah Persekutuan Labuan, seorang dari Wilayah Persekutuan Putrajaya dan 40 orang lain.

Apakah fungsi Parlimen?

Parlimen mempunyai 4 fungsi:

• menggubal dan meminda undang-undang;

• mengawal penggunaan wang negara;

• memantau bagaimana Kerajaan Persekutuan mentadbir negara;

• membincangkan isu-isu yang dihadapi rakyat

Siapa yang boleh menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara?

Rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 21 tahun boleh mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk menjadi seorang Ahli Parlimen.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 30 tahun boleh menjadi Senator. Senator dilantik untuk penggal 3 tahun dan setiap Senator hanya boleh berkhidmat untuk 2 penggal.

Seseorang hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen atau Senator sekiranya dia:-

• tidak sempurna akal;

• seorang bankrap;

• memegang jawatan berpendapatan;

• membelanjakan wang lebih daripada apa yang dibenarkan bagi kempen pilihanrayanya;

• didapati bersalah bagi jenayah dan hukumannya adalah satu tahun penjara atau lebih, atau denda RM2000 atau lebih; atau

• menjadi warganegara negara lain.

Bolehkah ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara meletakkan jawatan?

Boleh. Tetapi sekiranya seorang Ahli Parlimen meletakkan jawatan, dia tidak boleh menjadi Ahli Parlimen selama 5 tahun selepas itu.

Apakah itu “kekosongan” di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara?

Kekosongan berlaku apabila seorang Ahli Parlimen atau Senetor meninggal dunia, meletakkan jawatan atau hilang kelayakan.

Kekosongan harus diisi dalam masa 60 hari. Ini bermakna seorang Ahli Parlimen baru mesti dipilih melalui pilihanraya kecil dalam masa 60 hari atau Senator baru dilantik dalam masa 60 hari.

Adakah Ahli Parlimen dan Senator dibayar?

Ya. Parlimen menetapkan jumlah yang dibayar kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jumlah-jumlah ini diperuntukan di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. Berikut adalah jumlah elaun bulanan bagi:-

Ahli Parlimen RM6,508.59
Senator RM4,112.79
Ketua Pembangkang RM3,846.59
(tambah elaun Ahli Parlimen)
Yang di-Pertua Dewan Rakyat RM14,907.20
(tambah elaun Ahli Parlimen)
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat RM10,847.65
(tambah elaun Ahli Parlimen)
Yang di-Pertua Dewan Negara RM14,907.20
(tambah elaun Senator)
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara RM10,847.65
(tambah elaun Senator)

Adakah Kabinet sebahagian daripada Parlimen?

Ya, ahli-ahli Kabinet haruslah seorang Ahli Parlimen atau Senator. Perdana Menteri haruslah seorang Ahli Parlimen.

Haruskah Ahli Parlimen dan Senator mengangkat sumpah?

Ya. Mereka bersumpah untuk menjalankan kewajipan mereka dengan jujur dan dengan segala upaya, bahawa mereka akan taat dan setia yang sebenar  kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Apa itu sidang Parlimen?

Sidang Parlimen adalah mesyuarat di kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat atau Senator di Dewan Negara.

Selepas setiap Pilihanraya Umum, YDPA akan “memanggil” Parlimen bersidang. YDPA haruslah mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet untuk berbuat demikian.

Parlimen harus bersidang dalam masa 120 hari daripada tarikh Pilihanraya Umum yang terakhir.

Parlimen bersidang mengikut penggal. Namun begitu, Parlimen tidak boleh membiarkan jarak 6 bulan di antara penggal-penggal.

Parlimen terbubar secara automatik 5 tahun selepas sidang pertamanya setelah Pilihanraya Umum. Parlimen boleh dibubarkan lebih awal daripada 5 tahun dengan kebenaran YDPA. Apabila Parlimen dibubarkan, Pilihanraya Umum harus dijalankan dalam masa 60 hari.

Bagaimanakah prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara dikendalikan?

Ahli Parlimen di Dewan Rakyat memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan 2 Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas prosiding di dalam Dewan Rakyat, samada seorang Ahli Parlimen atau seorang yang layak bertanding di dalam pilihanraya untuk menjadi Ahli Parlimen.

Senator di Dewan Negara memilih Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara yang bertanggungjawab ke atas prosiding di dalam Dewan Negara.

Setiap Dewan menggubal peraturannya sendiri tentang cara untuk mengendalikan prosiding di dalam Dewan tersebut. Peraturan-peraturan ini dipanggil “Peraturan Mesyuarat.”

Apakah peranan YDPA di Parlimen?

YDPA memanggil dan menangguhkan siding Parlimen tetapi harus bertindak di atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet.

Akan tetapi, apabila Perdana Menteri atau Kabinet memohon untuk bubarkan Parlimen, YDPA boleh menolak untuk berbuat demikian.

Bagaimanakah undang-undang digubal oleh Parlimen?

Undang-undang yang digubal oleh Parlimen dikenali sebagai “Akta”. Di dalam Buku Panduan Rakyat 3: Hubungan Persekutuan-Negeri, kita telah belajar tentang perkara-perkara yang mana Parlimen boleh gubal undang-undang. Di dalam Buku Panduan Rakyat 2: Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa, kita belajar bahawa Parlimen tidak boleh gubal undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Undang-undang bermula sebagai “Rang Undang-undang”. Rang undang-undang (“Rang”) boleh diperkenalkan oleh sebuah Kementerian atau oleh seorang Ahli Parlimen atau Senator. Rang tersebut kemudian dikemukakan di Parlimen.  Ini dirujuk sebagai “pembentangan Rang”.

Rang boleh pertama kali dibentang di Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Selepas ia dibentangkan di dalam satu Dewan, ia harus dibentangkan di Dewan yang lain.

Rang yang berkenaan dengan kewangan (contohnya cukai dan menggunakan wang dari Kumpulan Wang Disatukan) harus dibentangkan oleh seorang Menteri dan harus dibentangkan di dalam Dewan Rakyat. Rang-rang seperti ini dipanggil “Rang Kewangan”.

Di bawah Peraturan Mesyuarat, sesuatu Rang melalui tiga bacaan di setiap Dewan. Contohnya, sekiranya jika Rang undang-undang pertama kali dikemukan di Dewan Rakyat, ini yang akan berlaku:

• Bacaan Kali Pertama – Menteri atau Ahli Parlimen yang mencadangkan Rang memperkenalkannya. Mengikut amalan, Rang tersebut tidak dibacakan dan dianggap semua telah membacanya.

• Bacaan Kali Kedua – Dewan Rakyat membincangkan dan berdebat mengenai Rang tersebut. Di sini, Ahli Parlimen boleh memohon penerangan tentang Rang itu dan mencadangkan pindaan kepada Rang itu atau membangkang Rang itu.

• Bacaan Kali Ketiga – Menteri atau Ahli Parlimen yang mencadangkan Rang tersebut menghantar Rang itu untuk pengundian.

• Jika lebih daripada separuh Ahli Parlimen yang hadir dan mengundi (atau 2/3 daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen di dalam situasi tertentu) bersetuju, Rang tersebut “diluluskan”.

• Rang tersebut kemudian dihantar ke Dewan Negara di mana ketiga-tiga bacaan akan berlangsung.

• Jika Rang itu diluluskan, ia akan dipersembahkan kepada YDPA untuk diperkenankan oleh YDPA dengan menyebabkan Rang itu dicapkan dengan Mohor Besar. Perkenan YDPA harus diberikan dalam masa 30 hari, jika tidak Rang tersebut akan secara automatik menjadi Akta.

Ada beberapa jenis Rang yang memerlukan persetujuan badan-badan lain sebelum menjadi Akta. Contohnya:-

• Persetujuan Majlis Raja-raja diperlukan bagi apa-apa pindaan kepada Perkara 152 (bahasa kebangsaan) dan Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu anak negeri Sabah dan Sarawak).

• Persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak diperlukan bagi pindaan Perlembagaan yang mempengaruhi Sabah atau Sarawak.

• Persetujuan Dewan Undang Negeri diperlukan bagi sesetengah Akta yang beroperasi kepada Negeri-negeri. Kita telah membincangkan perkara ini di dalam Buku Panduan Rakyat 3: Hubungan Persekutuan-Negeri.

Apa berlaku sekiranya Dewan Negara tidak meluluskan Rang yang dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat?

Rang yang telah dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat akan menjadi undang-undang walaupun tidak diluluskan oleh Dewan Negara.

• Bagi Rang Kewangan, Dewan Rakyat boleh mempersembahkan Rang tersebut kepada YDPA jika Dewan Negara tidak meluluskan Rang tersebut dalam masa 1 bulan selepas dikemukakan.

• Bagi Rang yang lain, jika Dewan Negara tidak meluluskan Rang tersebut kali pertama ia dikemukakan, selepas 1 tahun Dewan Rakyat boleh meluluskan Rang tersebut sekali lagi dan mengemukakannya kepada Dewan Negara untuk diluluskan. Kali ini, sekiranya Dewan Negara tidak meluluskan Rang tersebut dalam masa 1 bulan, Dewan Rakyat boleh mempersembahkan Rang tersebut kepada YDPA untuk diperkenankan.

Apa berlaku sekiranya Dewan Rakyat tidak meluluskan Rang yang telah dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan Negara?

Rang yang dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan Negara tidak boleh menjadi Akta melainkan ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Maknanya, semua Rang harus diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk dijadikan undang-undang.

Bagaimanakah Parlimen mengawal perbelanjaan wang negara?

Parlimen mesti meluluskan penggunaan wang oleh Kerajaan daripada Kumpulan Wang Disatukan.

Dewan Rakyat telah mendirikan sebuah jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (“PAC”) yang terdiri daripada Ahli Parlimen. PAC menyemak perbelanjaan wang oleh Kerajaan. PAC mengendalikan semakan ini secara bersendiri atau apabila diarahkan oleh Dewan Rakyat atau apabila ia menerima aduan daripada orang ramai. Selepas melakukan semakan, PAC akan membuat cadangan kepada Kerajaan atau kepada Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanakah Parlimen memantau pentadbiran Kerajaan atau membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat?

Di dalam setiap sidang Parlimen, terdapat “Masa Pertanyaan” di mana Ahli Parlimen dan Senator boleh menyoal Menteri dan kakitangan awam. Pada masa itu, mereka boleh membangkitkan isu-isu dan memohon keterangan tentang tindakan Kerajaan dan pengendalian kementerian dan jabatan Kerajaan.

Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen juga boleh memohon kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membincangkan perkara-perkara kepentingan awamyang mustahak. Jika kebenaran diberikan dan perkara itu dibincangkan, Dewan Rakyat boleh meluluskan resolusi supaya Kerajaan mengambil tindakan ke atasnya.

Apa itu kekebalan Parlimen?

Kekebalan Parlimen bermaksud bahawa Mahkamah tidak boleh mempersoalkan atau menghukum ahli-ahli mengenai apa-apa undi yang diberikan atau apa-apa yang dikatakan atau diterbitkan di dalam prosiding Parlimen. Samada priosiding Parlimen adalah sah atau tidak juga tidak boleh dipersoal oleh Mahkamah. Ini membolehkan Ahli Parlimen dan Senator untuk berbincang dengan bebas di dalam Parlimen tanpa perlu khuathir mengenai tindakan apa-apa undang-undang.

Namun begitu, kekebalan ini adalah terhad. Contohnya, tiada kekebalan apabila Ahli Parlimen atau Senator berbincang tentang kewarganegaraan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak atau mengenai bahasa kebangsaan.

Soalan-soalan Lazim

• Adakah Rang diterbitkan?

Ya, Rang diterbitkan di dalam Warta Kerajaan dan biasanya boleh didapati di laman sesawangwww.parlimen.gov.my.

• Di mana saya boleh mendapat tahu tentang apa yang dibincangkan di Parlimen?

Perbincangan Parlimen bagi setiap sidang adalah direkod dan anda boleh membacanya (rekod ini dipanggil “Penyata Rasmi”). Anda boleh mendapati rekod ini di kebanyakan perpustakaan awam dan juga di laman sesawang www.parlimen.gov.my.

• Bolehkah saya pergi ke Parlimen untuk melihat sidang Parlimen?

Boleh, tetapi anda harus memohon kebenaran daripada Parlimen dan lebih baik sekiranya anda membuat tempahan awal. Anda boleh ke laman sesawang www.parlimen.gov.my untuk butiran bagaimana anda boleh membuat tempahan.

• Adakah Ahli Parlimen saya bertanggungjawab untuk jalan dan parit di kawasan saya?

Tidak, itu adalah tanggungjawab kerajaan tempatan di kawasan anda.

Peranan Ahli Parlimen anda adalah untuk mewakili anda di Parlimen dalam menggubal dan meminda undang-undang, mengawal perbelanjaan negara, memantau pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.

• Saya berpendapat bahawa terdapat undang-undang yang “tidak baik”. Saya juga rasa bahawa ada undang-undang yang “baik” yang belum digubal oleh Parlimen. Apa yang saya boleh buat untuk memansuhkan undang-undang yang tidak baik dan memastikan undang-undang yang baik digubal?

Ahli Parlimen anda mewakili anda dan kepentingan anda di Parlimen. Anda boleh berjumpa atau menulis kepada Ahli Parlimen anda untuk menerangkan kepadanya tentang undang-undang “tidak baik” yang harus dimansuhkan atau undang-undang “baik” yang harus digubal. Anda boleh meminta Ahli Parlimen anda untuk membangkitkan soalan mengenai undang-undang ini di Parlimen dan untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen lain untuk memansuhkan undang-undang “tidak baik” dan menggubal undang-undang “baik”.

Sila klik di sini untuk muat turun salinan PDF RG 4 bertemakan “Parlimen”.

The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because...

One reply on “#MenghitungHariMalaysia Hari 4: Parlimen”

Comments are closed.