Pada 18 Ogos 2011, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan keputusannya dan membenarkan rayuan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Dato’ Abu Hasan Sharif. Para Hakim yang terdiri daripada Dato’ Ramly Ali, Dato’ Linton Albert dan Dato’ Aziah Ali dengan sebulat suara menyatakan bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 16 November 2009 adalah silap.

Fakta ringkas kes ini adalah berkaitan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Dr Abd Isa Ismail yang telah mengambil kedudukan bahawa jawatan Dato’ Abu Hasan Sharif sebagai wakil rakyat N3 DUN Kota Siputeh telah lucut akibat kegagalannya hadir di dalam sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut. Asas keputusan itu adalah berdasarkan Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang menyatakan seperti berikut:

If any member of the Legislative Assembly is absent from the Assembly without leave of the Speaker for two consecutive meetings his seat shall become vacant.

(terjemahan: jika mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri gagal menghadiri sidang DUN tanpa kebenaran daripada Speaker untuk dua kali mesyuarat berturut-turut maka kerusinya akan kosong)

Dato’ Abu Hasan telah gagal hadir mesyuarat sidang DUN pada 19 April 2009 dan 9 Ogos 2009. Untuk rekod, sidang DUN telah bermesyuarat kali pertama selepas Pilihanraya Umum 2008 pada 5 Mei 2008, mesyuarat kedua pada 20 Mei 2008, mesyuarat ketiga pada 25 Mei 2008, mesyuarat keempat pada 18 November 2008, mesyuarat kelima pada 19 April 2009 dan berikutnya, mesyuarat keenam pada 9 Ogos 2009.

Isu yang ditimbulkan oleh peguam SPR adalah bahawa mesyuarat kelima dan keenam adalah mesyuarat yang berbeza kerana dakwa mereka, mesyuarat kelima itu dijalankan di dalam penggal (“session”) pertama manakala mesyuarat keenam itu adalah sebenarnya mesyuarat pertama dalam penggal kedua. Hujah mereka, walaupun definisi perkataan “meeting” itu tidak disebut di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan hanya disebut di dalam Peraturan-Peraturan Tetap Dewan (SO), definisi itu harus dibaca bersama bagi mentafsirkan Perkara 51 ini. Selain itu, sebagai hujah sokongan, mereka berhujah Paduka Sultan Kedah telah mengeluarkan perisytiharan panggilan mesyuarat kali keenam itu dan dalam notis panggilan mesyuarat itu disebut perkataan “mesyuarat pertama penggal kedua” dan bukan “mesyuarat keenam penggal pertama”.

Isu tambahan yang dibangkitkan oleh peguam Dato’ Abu Hasan selain yang dinyatakan oleh peguam SPR itu adalah bahawa beliau tidak hadir kali kedua kerana beliau bercuti sakit pada tarikh mesyuarat keenam diadakan.

Bagi isu tambahan di atas, peguam Speaker DUN, Haji Sulaiman Abdullah, mengatakan bahawa sijil cuti sakit itu adalah suatu pemikiran terkebelakang (“afterthought”) atau dalam bahasa mudah ianya adalah suatu rekaan semata-mata. Ini kerana, seorang pembantu Speaker DUN telah menelefon Dato’ Abu Hasan pada 12 Ogos 2009 kira-kira jam 3 petang untuk menanyakan sebab ketidakhadirannya ke sidang DUN mesyuarat kali keenam itu, dan Dato’ Abu Hasan menyatakan bukankah hanya jika tidak hadir tiga kali berturut-turut barulah kelayakan seseorang wakil rakyat akan gugur. Selepas itu, barulah difakskan kepada pejabat DUN sijil cuti sakitnya pada 12 Ogos 2009 kira-kira jam 5 petang yang kononnya membenarkan beliau bercuti sakit pada 9-10 Ogos 2009. Anehnya, dalam tempoh bercuti sakit itu (10 Ogos 2009) boleh pula Dato’ Abu Hasan menghadiri suatu majlis rasmi atas tugasan wakil rakyat bertemu orang kampong. Laporan berkaitan program itu telah dilaporkan di dalam akhbar tempatan.

Lanjutan itu, Speaker DUN telah mengutus surat kepada SPR pada 17 September 2009 memaklumkan kekosongan DUN Kota Siputeh dan meminta SPR mengadakan satu Pilihanraya Kecil. Namun, SPR selepas itu enggan mengadakan Pilihanraya Kecil atas alasan yang disebutkan di atas.

Dalam menanggapi permasalahan ini, rujukan hanya perlu dibuat kepada Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah. Hanya ada tiga syarat yang membolehkan supaya pemakaian peruntukan ini iaitu:

  • peruntukan ini terpakai untuk ADUN-ADUN sahaja
  • ADUN gagal menghadiri sidang DUN tanpa kebenaran daripada Speaker
  • kegagalan hadir itu adalah dua kali mesyuarat berturut-turut.

Ketiga-tiga syarat ini ternyata telah dipenuhi dan atas dasar itulah Speaker DUN telah mengisytiharkan kekosongan kerusi Kota Siputeh itu.

Kesimpulannya, isu yang dibangkitkan oleh peguam SPR dan peguam Dato’ Abu Hasan itu hendaklah ditolak. Ini kerana Perkara 51 itu adalah jelas, nyata dan tidak memerlukan suatu pentafsiran yang lain dengan merujuk kepada SO atau lain-lain akta. Perlembagaan boleh berdiri dengan sendiri jika peruntukan itu jelas. Mengapa pula harus diambil peruntukan di dalam SO jika peruntukan itu jelas? Ianya jelas tidak selari dengan proses pentafsiran sesuatu peruntukan perlembagaan.

Dalam kes Merdeka University Bhd v Government of Malaysia [1981] CLJ 191 (Rep); [1981] CLJ 175; [1981] 1 MLJ 336, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa walaupun perlembagaan itu tidak harus ditafsirkan dalam konteks yang sempit namun ini tidak bermakna Mahkamah mempunyai kebebasan untuk memanjangkan maksud atau mengubahsuai bahasa literal perlembagaan untuk kepentingan mana-mana teori perundangan atau perlembagaan bahkan Hakim juga tidak boleh membuat penambahan untuk membaikpulih apa-apa kekurangan atau kesilapan yang terkandung di dalam peruntukan perlembagaan itu.

Prof Andrew Harding di dalam bukunya Law, Government and the Constitution in Malaysia juga menyuarakan perkara yang sama bahawa peruntukan perlembagaan hendaklah ditafsirkan berdasarkan peruntukan perlembagaan itu sendiri (“must be interpreted within its four walls”). Oleh itu, untuk menggunakan peruntukan dalam SO mengatasi bahasa literal perlembagaan adalah sesuatu yang tidak tepat. Apatah lagi, dalam keadaan peruntukan Perkara 51 telah jelas dan tidak kabur.

Suatu perkara yang menarik perhatian adalah bahawa di peringkat Mahkamah Tinggi, peguam-peguam diberikan masa secukupnya dan sehari suntuk untuk mengemukakan hujah masing-masing dan, bagi membolehkan Hakim Mahkamah Tinggi menghadam fakta dan undang-undang, keputusan telah diberikan pada tarikh lain. Di peringkat Mahkamah Rayuan masa yang diperuntukkan hanyalah kira-kira satu jam sahaja untuk semua pihak berhujah. Selesai tempoh berhujah, para Hakim Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding selama 15 minit sahaja sebelum keluar dan mengumumkan keputusan mereka.

Malang sekali, dalam isu perlembagaan yang mustahak ini para Hakim gagal mengeluarkan alasan penghakiman secara serta-merta dan hanya mengumumkan keputusan kes sahaja. Berbanding di peringkat Mahkamah Tinggi, Hakimnya telah bersedia dengan alasan yang kukuh secara bertulis semasa mengumumkan keputusannya itu. Ini menimbulkan tanda tanya masyarakat awam tentang keputusan ini samada para Hakim Mahkamah Rayuan ini benar-benar telah menghadam fakta dan telah membaca kesemua hujahan serta kes-kes duluan yang dikemukakan.

Pihak peguam Speaker sahaja telah mengemukakan enam jilid salinan otoriti kes-kes duluan dan lain-lain peruntukan undang-undang untuk diteliti. Ini tidak termasuk lagi ikatan otoriti yang dikemukakan oleh peguam SPR dan peguam Dato’ Abu Hasan. Tidak mungkin 6 jilid salinan otoriti ini boleh dihadamkan dalam tempoh 15 minit sahaja.

Tambah memeranjatkan lagi, permohonan peguam Speaker untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan secara lisan telah tidak dibenarkan walhal keputusan Mahkamah Tinggi dulu telah pun ditangguhkan semenjak 24 November 2009 sehingga menyebabkan tiada Pilihanraya Kecil diadakan. Untuk rekod, Hakim Dato’ Ramly Ali adalah Hakim yang sama yang membenarkan penangguhan perlaksanaan keputusan kes Menteri Besar Perak dalam tempoh 24 jam setelah keputusan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam keadaan begini, persepsi awam mungkin timbul dan syak wasangka mungkin berlaku bahawa rayuan ini telah diputuskan sebelum rayuan didengar. Pendengaran kes hanyalah sekadar formaliti sahaja.

Seharusnya semua pengamal undang-undang termasuk para Hakim sepatutnya mengambil sikap berhati-hati untuk mengelakkan prejudis masyarakat awam terhadap kebebasan kehakiman di Malaysia. Semoga institusi kehakiman di negara ini terus diperkasakan dan perasaan cuak masyarakat awam terhadap sistem kehakiman negara khususnya dalam kes-kes berkepentingan awam dan politik dapat disingkirkan.

Muat turun Alasan-Alasan Penghakiman Mahkamah Tinggi yang ditulis oleh Yang Arif Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam Dato’ Dr Abd Isa bin Ismail v Dato’ Abu Hasan bin Sarif & Anor [2010] 8 AMR 297 di sini.

A lawyer who also happens to be a politician. Partner, Abang & Associates -Advocates & Solicitors. Contested on a PAS ticket at the Sarawak 10th State Election 2011 for DUN N.24 Beting Maro and...