Pretender Khusrin? @ selangorkini

Mengapa pindaan perlembagaan patut dilihat sebagai satu pilihan terakhir, hanya apabila kesemua alternatif lain telahpun dihauskan.

Satu perlembagaan amnya bersandar kepada idea bahawa ianya undang-undang yang tertinggi dalam sesebuah Negara dan oleh itu tidak boleh dipinda sesuka hati. Rasionalnya di sini ialah satu perlembagaan akan hilang keberkesananya sebagai undang-undang tertinggi Negara jika ianya boleh dipinda dengan sesuka hati tanpa batasan mahupun had (Marbury v Madison [1803] (1 Cranch 137); KC Wheare, Modern Constitution, 2nd Ed, Mukasurat 52). Maka, kebiasaanya sesuatu pindaan perlembagaan itu sendiri akan melalui satu prosedur khas yang akan dinyatakan secara nyata di dalam perlembagaan itu sendiri.

Misalnya, Perkara 159, Perlembagaan Persekutuan menyatakan langkah-langkah yang perlu diikuti sebelum perlembagaan persekutuan dapat dipinda. Dalam Perkara 159 sendiri, kita dapat melihat sendiri yang ada pindaan yang hanya memerlukan sokongan tidak kurang 2/3 daripada kedua-dua ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pada masa yang sama, ada juga beberapa jenis pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu ataupun persetujuan daripada negeri-negeri lain.

Saya berpendapat bahawa walaupun sesuatu perlembagaan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri membenarkan pindaan dan memberikan garis panduan untuk dipatuhi, ianya tidak patut diambil sebagai satu isyarat bahawa perlembagaan boleh dipinda pada bila-bila masa sahaja untuk memenuhi sebarang kepentingan pihak-pihak yang berkaitan. Hal ini demikian kerana sudah menjadi lumrah dalam mana-mana kerajaan di dunia ini yang cenderung untuk meminda perlembagaan bagi mengukuhkan cengkaman dan kuasa politik yang akhirnya akan hanya menghadkan dan memprejudiskan hak rakyat.

Sebagai contoh, lihat sahaja kepada Perlembagaan Sri Lanka. Asalnya, Sri Lanka mewarisi perlembagaan mereka daripada kerajaan imperialis British. Namun demikian, perlembagaan tersebut telah dipinda dengan begitu drastik sejak Sri Lanka mencapai kemerdekaan pada tahun 1948 sehinggakan perlembagaannya pada hari ini jauh berbeza daripada perlembagaan asal. Malahan, Perlembagaan asal yang digubal pada tahun 1948 telah digantikan dengan sepenuhnya pada tahun 1978. Pindaan yang dilakukan samada kepada perlembagaan 1948 mahupun 1978 menyaksikan kuasa Presiden bertambah secara mendadak, tempoh perkhidmatan Presiden dilanjutkan, kuasa Parlimen untuk menyoal undang-undang darurat ditamatkan dan kekebalan Presiden diperluaskan.

Berbalik kepada Malaysia, kita dapat melihat sendiri dengan mata kepala kita sendiri di mana Perlembagaan Persekutuan telahpun dipinda lebih 50 kali sejak kemerdekaan pada 1957 sehinggakan seorang negarawan pernah menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu “is not worth the paper it is on”. Walaupun kata-kata negarawan itu sinis dan menyindir, hakikatnya ianya benar belaka kerana kesemua pindaan yang dibuat hanya menjurus kepada pengukuhan cengkaman kuasa kerajaan sementara kuasa institusi-institusi lain dihadkan dan begitu juga dengan hak asasi rakyat yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan (Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny, The Constitution of the Federation of Malaysia, Mukasurat 16-18).

Natijahnya, kita menyaksikan peningkatan drastik dalam kuasa rejim pemerintah dan Perlembagaan Persekutuan yang tidak berupaya untuk melindungi hak rakyat marhaen. Dalam erti kata lain, saya merumuskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah tidak boleh menjalankan fungsi yang diharapkan daripadanya.

Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada natijah yang menimpa kita semua apabila sebuah perlembagaan dipinda secara berterusan dan sesuka-hati. Oleh itu, saya dengan rendah diri menyeru agar kerajaan baik negeri mahupun persekutuan daripada beralih kepada meminda perlembagaan apabila ada sahaja isu atau krisis yang menjelma.

Pretender Khusrin? @ selangorkini
Pretender Khusrin? @ selangorkini

Contoh yang paling baik yang mampu saya ingat ialah pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor yang baru-baru ini mengumumkan bahawa satu persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipanggil untuk membolehkan satu pindaan dibuat kepada Perlembagaan Selangor bagi membolehkan Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor (SPAS) mempunyai kata putus dalam perlantikan penjawat awam seperti Setiausaha Kerajaan Negeri. Walaupun Kerajaan Negeri berhak berbuat demikian, perspektif yang timbul ekoran pengumuman Kerajaan Negeri Selangor ialah Kerajaan Negeri Selangor sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa dan ingin menjadi pihak yang menentukan siapa yang boleh dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Pada pendapat saya, perspektif negatif seperti ini tidak sedikitpun membantu memulihkan imej Kerajaan Negeri Selangor yang sejak hari pertama memegang tampuk kuasa dihentam teruk oleh banyak pihak. Kalau selama ini, ada pihak mengkritik kerajaan persekutuan meminda Perlembagaan Persekutuan secara beterusan, kini tempiasnya terkena pula kepada kerajaan negeri yang diterajui angkatan pemimpin yang berlainan ideologi politik.

Benarlah kata-kata James Madison lebih 200 tahun dahulu bahawa manusia ini bukanlah malaikat dan tidak boleh dipercayai memegang tampuk kuasa kerana sentiasa terdapat kecenderungan di kalangan manusia untuk menggunakan kuasa untuk kepentingan ataupun motif mereka sendiri (Jacob E Cooke, Ed, James Madison The Federalist No 51, Mukasurat 347). Tindakan kerajaan negeri juga membuktikan bahawa sindrom suka meminda perlembagaan tidak terhad kepada satu pihak atau satu parti politik sahaja. Sebaliknya, mana-mana pihak yang menerajui tampuk pemerintahan akan cenderung berbuat demikian.

Pada pendapat saya, pindaan perlembagaan patut dilihat sebagai satu pilihan terakhir yang akan hanya digunapakai apabila kesemua alternatif lain gagal mencapai hasil yang diinginkan. Bagi saya, pindaan perlembagaan hanya wajar dilakukan apabila terdapatnya perlanggaran konvenysen perlembagaan. Perkara ini juga disokong oleh hujahan yang dibuat oleh penulis-penulis terpelajar seperti Sir Ivor Jennings (Ivor Jennings, Law and the Constitution, 5th Ed) dan Albert Venn Dicey (Albert Venn Dicey, An Introduction to the Study of the Law of the Constitution, 5th Ed) di mana kedua-dua mereka berpendapat yang kesan pemecahan sesuatu konvensyen ialah konvensyen itu akan dijadikan undang-undang. Misalnya, krisis perlembagaan 1983 berbangkit daripada pemecahan konvensyen bahawa seorang Ketua Negara akan sentiasa member perkenan kepada sesuatu perundangan yang digubal oleh badan perundangan selaku wakil rakyat jelata (Andrew Harding, Law, Government and the Constitution in Malaysia, 2nd Ed, Mukasurat 76-79).

Berbalik kepada situasi di Selangor, saya berpendapat bahawa pihak-pihak yang bertelagah patut duduk berunding dan mencari penyelesaian terlebih dahulu kepada kemelut perlantikkan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Seperti yang dicadangkan oleh beberapa pengamal perundangan terkemuka di Malaysia, kedua-dua pihak perlu bermusyawarah mencari seorang calon yang boleh diterima kedua-dua pihak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Langkah ini nampaknya lebih praktikal dalam keadaan semasa untuk mengelakkan sebarang prasangka buruk di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan serta untuk mengelakkan krisis ini dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab serta dipolitikkan.

Secara alternatifnya, saya dengan rendah diri mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah pertama dengan menasihati Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) untuk merujuk krisis ini kepada Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah Perlembagaan di bawah Perkara 130, Perlembagaan Persekutuan. Perkara 130 perlu diingati memberikan kuasa kepada YDPA untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan sebarang persoalan yang timbul berkenaan dengan pemakaian peruntukkan-peruntukkan Perlembagaan Persekutuan. Dalam krisis di Selangor kini, wujud persoalan berkenaan dengan Perkara 139, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tentang antara lainnya bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan juga berkenaan dengan Perkara 144, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tentang fungsi SPA. Satu pihak menyatakan bahawa peruntukkan-peruntukkan ini memberi kuasa kepada mereka untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa perlu melibatkan SPAS ataupun Kerajaan Negeri. Pihak yang satu lagi pula bergantung kepada Perkara 97, Perlembagaan Negeri Selangor dan menegaskan bahawa SPAS dan Kerajaan Negeri yang terlibat dalam proses perlantikkan. Pertelingkahan ini memerlukan satu keputusan diberikan oleh Mahkamah Persekutuan bagi mengelakkan kemelut ini bertambah buruk.

Bagi saya, rujukan krisis ini kepada Mahkamah Persekutuan akan sedikit-sebanyak memberi garis panduan berkenaan dengan siapa yang berkuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri ataupun penjawat-penjawat awam yang lain, peranan Kerajaan Persekutuan, Negeri, SPA dan SPAS dalam proses perlantikkan serta peranan yang dimainkan oleh DYMM Sultan Selangor dalam proses perlantikkan.

Penjelasan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan saya yakin akan dapat menyelesaikan krisis ini dan berupaya mengelakkan masalah yang sama timbul di negeri-negeri lain khasnya Pahang, Perak dan Negeri Sembilan yang perlembagaan negerinya mirip dengan Perlembagaan Negeri Selangor.

Sebagai kesimpulan, krisis ini akan hanya melarat jika Perlembagaan Negeri Selangor dipinda seperti yang diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor. Satu duluan negatif akan wujud sekiranya kerajaan negeri nekad meneruskan niat mereka untuk meminda Perlembagaan Negeri Selangor. Dari segi undang-undang, ia sekali lagi mengiakan teori bahawa sebuah kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa pemerintahan kekal di tangan mereka. Dari segi politik, tindakan Kerajaan Negeri akan hanya dipolitikkan walaupun niat Kerajaan Negeri mungkin baik. Rakyat marhaen pula akan terus sengsara kerana penjawat awam dan politik tidak sehaluan dan ini bakal melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri sahaja.

Krisis yang bangkit ini menunjukkan berapa banyak isu yang wujud berkenaan dengan perlantikkan Setiausaha Kerajaan Negeri yang sebelum ini tidak banyak diperkatakan. Kewibawaan kedua-dua pihak yang bertelagah akan bergantung kepada bagaimana krisis ini diselesaikan kelak.

Cyril seorang yang sangat berminat dengan undang-undang perlembagaan dan berharap untuk mengikut jejak langkah Durga Das Basu dan M.P. Jain. Cyril juga peminat setia Manchester United dan hairan kenapa Manchester United tidak dinobatkan sebagai juara Eropah setiap musim. Cyril berpendapat Milo patut dijadikan minuman nasional kerana ianya masih manis walaupun diminum tanpa gula. Cyril juga berpendapat Nelson Rockfeller dan Tom Dewey merupakan orang-orang terbaik yang tidak pernah menjadi Presiden US. Cyril juga berpendapat filem Godfather merupakan filem terbaik sepanjang zaman dan patut ditayang semula sebulan sekali untuk tatapan ramai.

Cyril wonders when will Malaysians stop associating that the reduction of crime rated depends on the sentence imposed on the offender being stiff

5 replies on “K-point: Meminda Perlembagaan Bukan Satu Penyelesaian”

  1. Saudari Yvonne,

    Saya berkongsi dengan anda berkenaan dengan apa yang boleh terjadi jika masalah di Selangor dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Namun demikian, saya merasakan yang Badan Kehakiman yang sudah bersumpah untuk "preserve, protect and defend" Perlembagaan Persekutuan ada tanggungjawab dan tugas untuk menyelesaikan masalah di Selangor ini kerana ianya masih bersangkut paut dengan undang-undang perlembagaan juga.

    Terima Kasih atas Pandangan yang diberikan oleh Saudari.

    Cyril

  2. Saudara/ Saudari La,

    Saya mengakui yang Perkara 130, Perlembagaan Persekutuan secara nyata mengatakan tentang rujukan oleh YDPA kepada Mahkamah Persekutuan berkenaan dengan peruntukkan- peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri dan bukannya dengan peruntukkan yang terdapat dalam Perlembagaan Negeri. Cuma saya mencadangkan penggunaan Perkara 130 sebagai satu jalan keluar kepada masalah di Selangor.Saya juga bersetuju dengan cadangan untuk meluluskan satu enakmen sahaja untuk menyerahkan kuasa perlantikkan SUK diserahkan balik kepada DYMM Sultan atas nasihat MB dan SPAS kerana cadangan ini lebih mudah dan mengelakkan konflik yang mungkin timbul hasil pindaan Perlembagaan Selangor.

    Terima Kasih atas pandangan yang diberikan oleh Saudara/ Saudari.

    Cyril

  3. Pada pendapat saya, pindaan perlembagaan Kerajaan Negeri Selangor adalah satu pilihan terakhir kerana kesemua alternatif lain akan gagal mencapai hasil yang diingini rakyat.

    Saya kagum akan kepercayaan saudara Cyril terhadap Mahkamah Persekutuan dan Kerajaan Pusat selepas kejadian krisis politik Negeri Perak dan isu penswastaan kemudahan air di Selangor. Bagaimana kehendak rakyat boleh dicapai dengan menurut undang-undang sedangkan kedua-dua badan tersebut sering menepikan keperluan rakyat?

    Bagi pihak saya, kepercayaan saya telah lama lenyap. Tindakan Kerajaan Selangor tersebut, pada pendapat saya, adalah "a choice of lesser of the two evils". Satu tindakan terdesak demi melindungi kepentingan rakyat.

  4. Macamana YDPA bolih merujuk isu ini kemahkamah persekutuan. Yang menjadi isu ialah Perkara 52 Undang2 Tubuh Kerajaan Negeri(UTKN) berkenaan perkataan 'appropriate service commission'. Itu saja.

    Mengikut Edmund Bon yang merujuk kepada Per.94 dan sek.66 Interpretation Act 48, 'appropriate service commission' ialah SPAS dan bukannya SPA. SPA akan hanya terlibat sekiranya didalam perlantikan Kushrin itu, ia adalah satu pinjaman dibawah Per,134 Perlembagaan Persekutuan(PP)atas permohonan Negeri. Itu shj. Anggapan SPA yg 'appropriate service comm' merujuk kepada mereka adalah satu tanggapan yg meleset. Ini kerana Per.52 mewujudkan perlantikan SUK dan juga Penasihat Undang2. Hanya Judicial & Legal SC dibawah Per.138 mempunyai bidangkuasa terhadap pegawai perundangan, dan bukan SPA.

    Seperkara lagi, saya rasa Kerajaan Negeri tidak perlu meminda Undang2 Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Memadai diguna Per.144(4)PP dengan meluluskan satu enakment saja. Dengan ini kuasa perlantikan akan dengan tanpa ragu2 diserah-balik pd Sultan atas nasihat MB dan SPAS. Ini baru betul. Ada ke SPA yg tidak kena mengena dgn pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, pergi melantik pegawai mereka dan menyuruh Negeri menerima tanpa perlu mendapat kelulusan Negeri. Tidak masuk akal langsong.

Comments are closed.