SIRI PMN 2011: Menggugat [d/VIDEO]

PMN 2011

I.

Sekolah rendah. Kelas matematik, Darjah 5. Aku akui, aku memang malas untuk siapkan kerja rumah. Hari demi hari buku aku memang tidak pernah disentuh sehingga tiba pada satu saat sewaktu cikgu memeriksa buku para pelajar. Cikgu buka buku aku. Kosong.

Apa yang aku ingat selepas itu, buku aku melayang keluar dari kelas. Tercampak di koridor sambil helaian-helaian yang terkoyak berterbangan. Aku lari, kutip satu per satu helaian dan tidak dibenarkan masuk ke dalam kelas oleh cikgu.

Esoknya aku bertemu Guru Besar. Ada “hadiah” menanti aku katanya. Aku tidak hirau. Aku cuma mahu buku aku dikembalikan dalam bentuk asalnya semula. Seperti sedia kala. Walaupun kosong dalamnya. Aku pinta. Aku pohon.

Permintaan tinggal permintaan.

Suara aku kecil.

Tidak mendapat perhatian.

II.

Sekolah menengah. Menuntut di salah satu institusi pengajian menengah atas yang termasyhur di Malaysia memang mengajar aku pelbagai benda dan memperkenalkan aku kepada otak-otak yang geliga dan bijaksana. Pernah sekali beberapa orang pelajar berangkat ke Amerika Syarikat untuk mewakili negara dalam pertandingan reka cipta. Memang sudah diagak, mereka pulang dengan masing-masing membawa pingat perak. Wang kemenangan menjadi hak mutlak pihak pentadbiran. Para pelajar cuma diberikan “imbuhan”.

Pernah juga berlaku beberapa orang pelajar mengambil inisiatif sendiri untuk memasuki pertandingan Spell-It-Right. Mereka tanggung segalanya sendiri dari makan, minum sehingga ke pengangkutan. Namun apabila kejayaan diperoleh, pihak pentadbiran kaut semua wang ringgit. Pemenang pula cuma diberikan “imbuhan”.

Dari mulut ke mulut. Semua berbicara tentang hak dan keadilan. Di manakah dua elemen tersebut? Sehingga satu saat HEP naik ke pentas. Cuba menerangkan segalanya. Aku jerit “kami nak hak kami!”. Tanpa diduga, yang lain turut serta. Kecoh, bingit, sehingga … sudah! Jeritan HEP mematikan segalanya. Aku usahakan petisyen selepas itu. Meminta tandatangan semua.

Permintaan tinggal permintaan.

Suara aku kecil.

Tidak mendapat perhatian.

III.

Universiti. Segalanya berubah di sini. Semua serba tidak kena. Risiko yang bakal menimpa mereka yang ingkar boleh membawa seseorang berdiri di belakang gerigi besi. Beberapa kali aku cuba usulkan beberapa sesi ceramah dan syarahan yang mana akhirnya tidak mendapat persetujuan pihak atasan. Semuanya atas alasan “terlalu ke kiri dan radikal”. Aku turun naik bangunan 3 tingkat itu berkali-kali, cuba memujuk. Cuba meminta.

Permintaan tinggal permintaan.

Suara aku kecil.

Tidak mendapat perhatian.

Pernah sekali aku anjurkan suatu majlis ilmiah yang turut dihadiri penceramah dari luar. Telah aku usulkan bajet yang bagi aku tidak setinggi mana, tidak semahal mana. Sedang-sedang sahaja. Niat baik aku terbantut begitu sahaja. Pihak atasan cuma meluluskan peruntukan sebanyak RM30. Kaget, terkejut dan pelik. Aku naik semula ke pejabat. Meminta untuk dilihat semula permintaan aku itu. Aku rayu. Aku pohon.

Permintaan tinggal permintaan.

Suara aku kecil.

Tidak mendapat perhatian.

IV.

Aku pasti bukan aku sahaja yang melalui semua ini. Beribu-ribu lain. Mungkin puluhan ribu. Mungkin ratusan ribu. Suara individu kita kecil. Tidak mendapat perhatian. Sekiranya kita bersatu, pasti akar langit mampu kita cabut, pasti tanah yang kita pijak mampu digegar dan pasti mereka yang bongkak dan ego akan tergugat.

Menggugat

Permintaan tidak akan tinggal permintaan.

Suara kita besar.

Kita akan mendapat perhatian, kita akan menggugat.

Jumpa anda di PMN 2011.

Mim ialah seorang kaki lomo dan penulis blog tegar. Sentiasa menghabiskan masanya meletakkan biasiswa diterimanya dalam risiko selain mengagungkan Godspeed You! Black Emperor, Explosions In The Sky and God Is An Astronaut. Gaya lariannya umpama kuda tua di atas padang ragbi namun dia yakin gaya lariannya tidak ada kena mengena dengan kenaikan harga filem slide di pasaran.



(Visited 184 times, 2 visits today)

Tags: , , , , , , , ,

Posts by

Seorang pelajar. Kadang-kadang mencarut di @mimjamil.

Posted on 8 January 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

One Response to SIRI PMN 2011: Menggugat [d/VIDEO]

  1. Pingback: Tweets that mention PMN 2011: Menggugat [d/VIDEO] | LoyarBurok -- Topsy.com