LoyarBorak-1LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.

Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah bahagian terakhir daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di [email protected]

Fyrol:

Seseorang Islam perlu patuh kepada peraturan Islam seperti mana kita mahu rakyat Malaysia mematuhi Perlembagaan.

Aston:

Saudara Fyrol, Islam itu bukan sahaja apa yang dikatakan oleh seorang Mufti di Terenganu atau seorang Ulama di Majlis Fatwa. Islam merupakan satu agama yang boleh ditafsir dengan palbagai cara, ia boleh memberikan banyak perspektif and mempunyai banyak interpretasi.

Apabila Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu boleh profess dan practice agamanya, apa yang ingin difokus disitu adalah suara hati seseorang itu (conscience) sebab apa-apa agama sekalipun tidak boleh wujud tanpa suara hati seorang manusia; iaitu kebolehan seseorang manusia untuk membuat keputusan mengenai apa yang baik and apa yang buruk.

Jadi, saya percaya, walau apa pun hukum atau peraturan Islam, ia mesti pada akhirnya dinilai dengan suara hati seseorang Muslim itu sebelum ia diikuti. Adalah tidak berguna Allah S.W.T. memberikan seseorang manusia dengan intelek dan suara hati jika ianya akan disingkirkan untuk hanya mengikut tafsiran seorang Ulama atau Mufti secara membuta.

Pada pendapat saya, sekiranya seseorang itu percaya bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan nabinya, itu secara terus menjadikan seseorang itu seorang Muslim.

Interpretasi yang berlaku selanjutnya adalah antara suara hati seseorang itu dengan Allah.

Cuba Saudara Fyrol fikirkan bahawa di dalam Islam sahaja terdapat banyak mazhab (denominations): Sunni, Syiah, Ahmaddiyah, Sufi, Ismaili, Zaidi. Dan di dalam mazhab Sunni pula terdapat 4 schools of thought: Hanafi, Hanbali, Shafi’i dan Maliki.

Islam memang luas Saudara Fyrol dan minda seseorang manusia pun adalah tidak terbatas. Adalah mustahil untuk menyatakan bahawa hanya terdapat satu kebenaran sahaja.

aston6

Fyrol:

Islam hendaklah ditafsirkan mengikut al-Quran, al- hadis dan Ijma’ Ulama. Perbezaan mazhab di dalam Islam bukanlah satu masalah besar sehingga membuatkan sesuatu tafsiran itu jauh berbeza. Walau apapun tafsiran berkenaan Islam, sumber al-Quran dan Hadis adalah menjadi rujukan utama.

Mufti ialah seseorang yg mengetahui selok belok berkaitan dengan perundangan Islam, Seperti mana seorang hakim yang fasih tentang undang-undang. Terdapat dua perbezaan pandangan seorang Mufti atau satu keputusan dari Majlis Fatwa peringkat negeri tersebut.

Jika ianya Fatwa, maknanya ianya sesuatu yang telah dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dianggotai oleh sebilangan orang yang terpilih.

Menjadi satu kewajipan seorang Islam mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam, dimana-mana sahaja dimuka bumi ini.

Dan adalah lebih mudah untuk sebuah kerajaan majoriti Islam mengambil tindakan terhadap orang Islam berdasarkan agamanya dengan memasukkan undang-undang Islam di dalam undang-undang Negara atau negeri.

Memang akan wujud pertentangan, seperti mana-mana undang-undang di dunia ini pasti ada pengkritiknya. Tiada paksaan dalam Islam bukanlah bermaksud seseorang itu boleh mengikut apa yang dia suka dan sebaliknya,tetapi tiada paksaan dalam menganut Islam.

Seseorang Islam WAJIB untuk mengikut ajaran Islam tentang perkara-perkara wajib. untuk perkara Sunnah, itu adalah terpulang.
Kerajaan Islam telah wujud sejak Nabi s.a.w mewujudkannya di Madinah, dan peraturannya adalah dari al-Quran. Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan yang turut didiami oleh pelbagai agama dan suku kaum.

Adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana peruntukan al-Quran dijadikan asas undang atau peruntukan undang-undang apatah lagi apabila ianya hanya untuk orang Islam sahaja.

Aston:

Saudara Fyrol perlu ingat Perkara 11 yang mengatakan bahawa:

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya…

Ini merupakan hak-hak individu tiap-tiap orang, bukan sekadar Bukan Muslim sahaja.

Jadi di dalam menginterpretasi agama Islam – seorang Muslim sewajarnya mempunyai hak untuk menentukan aspek-aspek Islam yang ingin dipercayai olehnya.

Pada pendapat saya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, seseorang Muslim itu tidak perlu bersetuju dengan tafsiran saudara Fyrol ataupun mana-mana orang Islam yang lain mengenai Islam. Dia mempunyai kebebasan untuk menentukannya untuk dirinya sendiri.

Fyrol:

Namun bagi penganut Islam ianya hendaklah menurut al-Quran dan Hadis.

Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud: “Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku.”

Tafsiran berkenaan Islam tidak boleh dibuat sebarangan. Walaupun Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w mempunyai pelbagai mazhab, tetapi Nabi s.a.w telah berdabda yang bermaksud aku tinggalkan kamu dua perkara, jika kamu mengikutinya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan as-sunnah.

Oleh itu saudara Aston, kamu perlu memahami bahawa Islam walaupun meraikan pelbagai pandangan tetapi ada perkara-perkara yang telahpun ditetapkan, dan kami umat Islam wajib mengikutinya.

Aston suka berbasikal, bermain dengan mancis dan memakan rojak. Kadang-kadang dia suka membuat ketiga-tiga aktiviti tersebut pada masa yang sama.

Fyrol adalah seorang anak muda yang suka mengkritik mengenai politik dan sosial. Meletakan Islam dan keadilan sebagai keutamaan. Berusaha kearah politik tanpa perkauman, namun tidak akan membiarkan bangsa dan agamanya dihina. Bercita-cita untuk untuk memastikan Islam sebagai ad-deen dan bahasa Melayu mekar dan megah digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Pandangannya tentang politik dan sosial boleh dilihat di http://penakiri.blogspot.com namun kini lebih rajin berfesbuk. Masih mempunya tiga kuata kekesongan, ayah kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya tidak menang tangan dengan kerja sukarelawan dan tanggung jawab hakiki mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak Rosmah meminpin negara.

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

Ini adalah bahagian terakhir daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Sila baca Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3, Bahagian 4, dan Bahagian 5.

One reply on “LoyarBorak #3 (Bhg. 6) — Islam dan Kebebasan Beragama”

  1. Perlembagaan tidak boleh di ubah dengan apa cara sekalipun. Hasrat seseorang adalh semata2 pendapatnya. Pada satu masa dulu, ababila seorang wakil membuat cadangan untuk menerap nilai2 Islam dalam perlembagaan, maka hujahnya seringkali di bicara dalam parlimen tanpa mengira sensitiviti ugama lain. Saya rasa initidak adil. Tuntuitan sebegini sekiranya di adakan di India akan menerima padah youg tidak manis.

    Seelok2 nya kita hormati keadaan yang ada sekarang,
    t/kasih

Comments are closed.