LoyarBorak-1LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.

Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah bahagian 4 daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di [email protected]

aston4

Fyrol:

Saya sedar tentang kenyataan YM Tunku. Tetapi Tun Mahathir dan Abdullah Badawi telah mengisytiharkan bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam.

Memang Perlembagaan Persekutuan diwujudkan oleh Suruhanjaya Reid atas permintaan Perikatan, tetapi tahukah yang kita yang permintaan orang-orang Melayu mahu memasukkan Islam sebagai agama persekutuan?

Sedangkan draf pertama tidak ada tentang Perkara itu. Islam dimasukkan hasil dari desakan berterusan orang-orang Melayu kerana persekutuan adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang telahpun mempunyai kerajaan masing-masing dengan Islam sebagai agama negeri.

Adakah orang-orang Melayu hanya inginkan islam hanya sebagai ritual? Tidak. Berdasarkan sejarah, negeri-negeri Melayu seperti Terengganu contohnya yang telah memasukkan Islam sebagai agama negeri dan menjalankan pula undang-undang syariah yang digelar “Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu” oleh Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1911.

Negeri Johor juga sejak 1885 telah memasukkan Islam sebagai agama negeri dan jajahan takluknya. Sudah tentulah hasrat orang-orang Melayu yang mendesak UMNO memasukkan Islam didalam perlembagaan mahukan agar Negara ini merupakan sebuah Negara Islam dan membenarkan orang-orang Islam melaksanakan hukum Islam termasukalh kes-kes jenayah. Apatah lagi permintaan orang Islam untuk melaksanakannya adalah untuk orang Islam sahaja.

Hanya Islam sahaja disebut sebagai agama persekutuan dengan tidak menghalang agama lain. Kelebihan kepada Islam juga terserlah dalam Perkara 11 (4) mengenai mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama di antara orang yang menganuti agama Islam.

Selain itu tidak ada disebut bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular seperti di India dan Turki.

Berdasarkan keadaan masa kini, pengisytiharan oleh Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi , dan lihat juga lihat kes Kartika, dan orang lain yang disebat berdasarkan hukum Syariah negeri.

Satu pihak mengatakan ianya salah kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan wanita disebat (seksyen 289(a) kanun acara jenayah), tetapi satu pihak lagi membenarkannya kerana Islam adalah hak negeri dan menurut hukum Islam sebenar seseorang itu boleh disebat sama ada wanita atau lelaki. Ini berdasarkan ayat al-Quran.

Surah An-Nur ayat 2 Allah berfirman “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat”.

Walau apapun tentangan terhadap hukuman ini oleh mereka yang dikatakan ‘menurut perlembagaan’, mereka lupa bahawa tindakan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan wanita disebat itu sendiri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan tiada diskriminasi gender [Perkara 8 (2)].

Saya juga tidak bersetuju jika peruntukan untuk JAKIM dan lain-lain agensi Islam hanya bersifat ‘sambilan’ dan bukan satu kewajipan kerajaan perseketuan. Saya yakin peruntukan itu dipenuhi berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan wang yang disatukan digunakan untuk pembangunan dan perkembangan Islam.

Parlimen juga membuat undang-undang Islam di peringkat persekutuan untuk Wilayah Persekutuan dan memberi hak eksklusif berkenaan Islam kepada mahkamah Syariah melalui Perkara 121(1A) .

Maka berdasarkan itu jelaslah yang negara ini bukan sebuah Negara secular. Negara sekular ialah sebuah Negara yang memisahkan agama dari kerajaan. Tetapi negara adalah sebuah negara yang mempercayai tuhan (Rukun Negara – 1) dan mempunyai agama rasminya iaitu Islam.

Aston:

Sesuatu negara tidak boleh diisytiharkan sebagai satu negara Islam. Bagi menjadi satu negara Islam, satu pemindaan harus dibuat kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan bagi menyatakan bahawa Hukum Syariah adalah undang-undang utama.

Adalah jelas Tun M and Tun A. B. tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai undang-undang ataupun teori-teori politik dan mengikut pandangan saya ‘are people not fit to be called leaders of nation states‘.

Islam telah disebut di Perkara 3(1) oleh kerana sejarah agama Islam di negara ini. Tetapi, ianya hanyalah sebuah deklarasi tanpa sebarang kesan perundangan. Saudara Fyrol masih belum lagi memberikan pendapat saudara mengenai Perkara 3(4) yang dengan khususnya menyatakan apakah kesan Perkara 3(1).

Mengenai Perlembagaan India, harus juga diingat bahawa sehingga kira-kira 1976, tidak terdapat apa-apa pernyataan di dalam Perlembagaan India yang menyatakan bahawa ia merupakan satu negara sekular.

Perkataan “SEKULAR” telah dimasukkan melalui satu pindaan pada tahun 1976. Tetapi di antara tahun 1946 sehingga 1976, India masih merupakan satu negara sekular kerana cara undang-undang Negara digubal adalah melalui prinsip-prinsip demokrasi dan undian.

Saya percaya bahawa bahawa rujukan saudara kepada Undang-undang Syariah Islam sebelum kemerdekaan Malaysia telah dijelaskan oleh Tun Salleh Abbas di dalam kes Che Omar Che Soh. Dia telah berkata:

The development of the public aspect of Islam had left the religion as a mere adjunct to the ruler’s power and sovereignty. The ruler ceased to be regarded as God’s vicegerent on earth but regarded as a sovereign within his territory. The concept of sovereignty ascribed to humans is alien to Islamic religion because in Islam, sovereignty belongs to God alone. By ascribing sovereignty to the ruler, i.e. to a human, the divine source of legal validity is severed and thus the British turned the system into a secular institution. Thus all laws including administration of Islamic laws had to receive this validity through a secular fiat.

Mahkamah Rayuan di dalam negara ini pula saudara Fyrol telah memutuskan bahawa Undang-Undang Islam di negara ini boleh dipertikaikan atas asas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Zaina Abdin & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 683, takrif bagi “orang Islam” sedang dicabar sebagai tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Rayuan telah bergantung kepada beberapa kes-kes Mahkamah Persekutuan untuk sampai kepada keputusannya itu.

Mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan, saudara boleh membaca sendiri di Perkara 12(2), Perkara 74(2) dan Jadual Kesembilan Senarai II Item 1 di mana perkataan “may” digunakan dan bukannya “shall“.

Negara ini memang mempercayai agama dan turut mempunyai agama rasmi. Tiada siapa yang mempertikaikan itu tetapi ini bukannya satu negara di mana undang-undang bersama hukuman digubal mengikut Al-Quran.

Saya percaya, apa pun undang-undang yang digubal haruslah tidak bertentangan dengan Hak-Hak Asasi Perlembagaan Persekutuan (Bahagian II Perlembagaan Persekutuan).

Artikel 121(1A) tidak mempunyai apa-apa kena-mengena dengan Undang-Undang Syariah, Artikel 121(1A) adalah berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Soalnya sekarang, adakah Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan?

Mengikut kes Mahkamah Persekutuan Latifah Mat Zin [2007] 5 CLJ 253 dan kes Abdul Kahar [2008] 4 CLJ 309, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

Saya hanya boleh mengakhiri hujahan utama saya ini dengan satu renungan kepada ayat-ayat terakhir Tun Salleh Abbas, seorang hakim Muslim di dalam kes Che Omar Che Soh:

“However, we have to set aside our personal feelings because the law in this country is still what it is today, secular law, where morality not accepted by the law is not enjoying the status of law.” [penekanan saya]

Aston suka berbasikal, bermain dengan mancis dan memakan rojak. Kadang-kadang dia suka membuat ketiga-tiga aktiviti tersebut pada masa yang sama.

Fyrol adalah seorang anak muda yang suka mengkritik mengenai politik dan sosial. Meletakan Islam dan keadilan sebagai keutamaan. Berusaha kearah politik tanpa perkauman, namun tidak akan membiarkan bangsa dan agamanya dihina. Bercita-cita untuk untuk memastikan Islam sebagai ad-deen dan bahasa Melayu mekar dan megah digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Pandangannya tentang politik dan sosial boleh dilihat di http:// penakiri.blogspot.com namun kini lebih rajin berfesbuk. Masih mempunya tiga kuata kekesongan, ayah kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya tidak menang tangan dengan kerja sukarelawan dan tanggung jawab hakiki mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak Rosmah meminpin negara.

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

Ini adalah bahagian 4 daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Sila baca Bahagian 1, Bahagian 2, dan Bahagian 3, dan ikuti bahagian-bahagian berikutnya setiap Isnin & Khamis di blawg ini.

One reply on “LoyarBorak #3 (Bhg. 4) — Negara Islam, Bahagian Kedua”

Comments are closed.