LoyarBorak #3 (Bhg. 5) — Negara Islam, Bahagian Ketiga

LoyarBorak-1LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.

Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah bahagian 5 daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di [email protected]

Fyrol:

Negara ini tetap merupakan sebuah negara Islam, dan pindaan bagi menjelaskannya lagi adalah lebih baik. Ini kerana saya mengakui terdapatnya beberapa perkara yang menghalang perlaksanaan syariah di Malaysia kerana halangan perlembagaan. Jika berlakunya pindaan perlembagaan seperti yang disyorkan oleh saudara adalah lebih baik supaya Negara ini lebih diberkati Allah.

“Negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun”. (Surah Saba: 15)

Disebabkan Islam tidak ditafsirkan oleh Perkara 160 seperti mana Melayu ditafsirkan, maka tafsirannya terbuka dan bagi saya ianya perlu mengikut al-Quran dan Hadis.

Walaupun YM Tunku mahu negara ini menjadi sekular, tetapi beliau jugalah yang memulakan penganjuran Musabaqah al-Quran dengan menggunakan wang pembayar cukai. Tunku juga Presiden pertama PERKIM sebuah pertubuhan Islam yang membantu para muaalaf dan Setiausaha Agung pertama OIC. Nampaknya Tunku hanya berkata inginkan Negara ini sekular tetapi perbuatannya tidak.

Islam tidak menghalang demokrasi, dan tiada masalah dengan sistem parlimen dan pengundian. Walaupun Iran seperti yang saudara sebut mempunyai ketua agama iaitu Ayatollah, Iran juga merupakan sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi berpalimen.

Negara sekular ialah negara yang memisahkan Agama dan Kerajaan. Sebagai contoh Turki, sebuah Negara umat Islam yang jelas dalam perlembagaanya yang menyebut Negara tersebut adalah sebuah Negara sekular.

Tiada agama yang boleh menggunakan wang pembayar cukai bagi sebuah negara sekular. Namun seperti yang dijelaskan ianya dibolehkan untuk agama Islam melalui Perkara 12(2).

Islam juga mempunyai standard hak asasinya sendiri. Saya yakin umat Islam tiada masalah dengan al-Quran dan Hadis melainkan segelintir pihak yang wujud di mana-mana sahaja dalam agama.

Kita beruntung kerana mendiami Malaysia sebuah Negara Islam dari bangsa Melayu yang boleh bertolak ansur dan tidak ekstrim. Kami tidak kisah dengan perlembagaan ini, tetapi hanya meminta hak kami dikembalikan. Iaitu hak negeri untuk melaksanakan undang-undang Islam dan menguatkuasakannya ke atas orang Islam.

Kami tidak meminta supaya orang bukan islam perlu patuh kepada hukum syariah. Atas semangat demokrasi kita seharusnya menghormati DUN yang ingin kembali kepada ajaran Islam sebenar tanpa menjejaskan bukan Islam.

Muslim protesters hold placards that read "Don't Challenge Islam" during a demonstration against the "Conversion to Islam" public forum held by Malaysian Bar Council in Kuala Lumpur August 9, 2008. REUTERS/Bazuki Muhammad (MALAYSIA)

Muslim protesters hold placards that read "Don't Challenge Islam" during a demonstration against the "Conversion to Islam" public forum held by Malaysian Bar Council in Kuala Lumpur August 9, 2008. REUTERS/Bazuki Muhammad (MALAYSIA)

Aston:

Terima kasih Saudara kerana memberikan satu ulasan yang mendalam.

Saya rasa adalah penting bagi kita sentiasa beringat bahawa demokrasi itu walaupun bermakna pemerintahan majoriti atau majoriti rule tidak sama sekali bermaksud hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan (Bahagian II) boleh dijadikan subjek undian (be subjected to vote).

Kerajaan mungkin boleh ditukarkan tetapi hak-hak kesemua rakyat Malaysia di dalam PP tidak boleh dimansuhkan sama sekali.

Mengenai isu undang-undang Syariah, pilihan tersebut adalah tertakluk kepada kemahuan masyarakat Islam di negeri masing-masing. DUN di negeri-negeri hanyalah boleh menggubal undang-undang Syariah berdasarkan undang-undang diri (personal laws) orang Islam dan undang-undang berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam (Jadual 9, Senarai II, Item 1 Perlembagaan Persekutuan).

Oleh kerana penggubalan undang-undang Syariah adalah berdasarkan budi bicara DUN, mengikut Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, adalah rakyat yang perlu menyatakan hasrat dan pendapat mereka mengenai penggubalan undang-undang Syariah.

Aston suka berbasikal, bermain dengan mancis dan memakan rojak. Kadang-kadang dia suka membuat ketiga-tiga aktiviti tersebut pada masa yang sama.

Fyrol adalah seorang anak muda yang suka mengkritik mengenai politik dan sosial. Meletakan Islam dan keadilan sebagai keutamaan. Berusaha kearah politik tanpa perkauman, namun tidak akan membiarkan bangsa dan agamanya dihina. Bercita-cita untuk untuk memastikan Islam sebagai ad-deen dan bahasa Melayu mekar dan megah digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Pandangannya tentang politik dan sosial boleh dilihat di http://penakiri.blogspot.com namun kini lebih rajin berfesbuk. Masih mempunya tiga kuata kekesongan, ayah kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya tidak menang tangan dengan kerja sukarelawan dan tanggung jawab hakiki mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak Rosmah meminpin negara.

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

Ini adalah bahagian 5 daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Sila baca Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3, dan Bahagian 4, dan ikuti bahagian terakhir pada hari Khamis di blawg ini.


Tags: , , , , ,

Posts by LoyarBorak

Posted on 27 December 2010. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by LoyarBorak.

Read this first: LB Terms of Use

One Response to LoyarBorak #3 (Bhg. 5) — Negara Islam, Bahagian Ketiga

  1. Pingback: LoyarBorak #3 (Bhg. 6) — Islam dan Kebebasan Beragama | LoyarBurok