TS Izmil Amri, BANGKITLAH!
TS Izmil Amri, dengan penuh ghairah-bernafsu-asyik-berahi-syok: BANGKITLAH!

Sewaktu reviu ini ditulis, aku baru pulang dari perlawanan futsal antara LoyarBurok dan MyConsti. Sebagai seorang kaki bangku yang jujur, aku hanya hadir bagi menyatakan sokongan kepada teman-teman yang berhempas pulas mengejar bola nan sebijik, dan bersorak pada setiap kali bola warna oren itu melepasi gawang gol. Bila aku sebut gawang gol, maksud aku celah kaki Edmund Bon yang pakai seluar terbalik. Tapi itu cerita lain.

Sewaktu sessi memanaskan badan sedang berlangsung, aku sempat bersembang dengan si Edmund, dalam bahasa orang putih yang sudah sangat rusty. Aku sudah terlalu lama tidak bercakap orang putih. Uncle Edmund bertanya bilakejadahnya mungkin akan siap reviu aku untuk buku krisis Perak ini. Terus terang, aku sebenarnya sudah naik tepu dan menyampah. Namun untuk maslahat bersama, aku tulis juga. Itu pun setelah dapat epiphany dalam kereta apabila mengenangkan awek cun bermain futsal. Tapi itu juga cerita lain.

Namun cerita di Perak, tidak dapat tidak; mesti menggunakan analogi futsal MyConsti lawan LoyarBurok. Tidak dapat lari juga dari analogi ini ialah kenyataan Edmund Bon yang terakam di Twitter. Uncle Edmund menyatakan bahawa beliau boleh bermain bagi kedua-dua pihak (memandangkan dia punya kepentingan di kedua-dua grup) namun bergantung kepada siapa yang akan bayar dia lebih.

Cis!

Perebutan kuasa di Perak, setuju atau tidak; adalah sebijik macam main bola. Ada dua pihak yang berebutkan bola, dan ada beberapa orang pemain yang punya kemungkinan besar untuk lompat-lompat pasukan, bergantung kepada tawaran ongkos yang tertinggi. Di Perak, beberapa wakil rakyat turut melakukan perkara serupa. Cumanya di Perak itu, yang menjadi mangsa penipuan politik adalah pengundi, yang dikhianati amanahnya oleh insan-insan tidak bertanggungjawab.

Sewaktu aku bertembung dengan Prof Shad Faruqi, di kala krisis Perak ini masih menggelegak, soal aku mudah, “Sir, how’s Perak?”

Jawabnya, The Sultan has been ill advised.”

Jawab demikian sudah cukup untuk memberi erti bahawa semua yang berlaku pada waktu itu adalah tidak mengikut lunas undang-undang yang tepat. Aku tidak lagi bertanya selepas itu, kerana aku tahu jawapannya pasti berjela-jela. Sekitar waktu itu juga, aku sudah punya pendirian yang tetap tentang krisis Perak. Pada hemat anak muda tak reti bahasa ini, jalan keluar kepada kebobrokan itu hanyalah dengan membubarkan DUN dan mengadakan pemilihan semula. Kalau itu terlalu menelan kos, cukup sekadar kerusi empat ekor katak itu dikosongkan, dan diadakan pilihanraya kecil untuk menentukan mandat rakyat yang tiba-tiba dikhianati itu patut kembali kepada siapa. Kalau itu pun susah sangat, maka panggil sahaja sidang DUN tergempar, bentangkan usul tidak percaya kepada kepimpinan Nizar, dan ikut prosedur yang lebih tepat untuk menukar Kerajaan Negeri. Kalau itu pun tak mampu; tak payah ada sistem demokrasi. Tak payah juga ada Perlembagaan Negeri. Tak payah buat pilihanraya. Biar Sultan sahaja yang tentukan siapa yang Baginda mahu jadikan Menteri Besar, dan kemudian orang yang dilantik itu boleh pilih barisan EXCO-nya sendiri. Dewan Undangan Negeri itu juga boleh dikosongkan. Buat gelanggang futsal.

PASOC The Book
PASOC Buku Itulah!

Di dalam jangkawaktu krisis ini berlanjut ke Mahkamah, aku tidak punya banyak masalah dengan prosiding, kecuali untuk satu persoalan kelakar: bagaimana sebenarnya sebuah deklarasi boleh dapat stay of execution? Bab ini aku gagal faham, sampai hari ini. Mungkin aku tak berapa cerdik macam loyar-loyar UMNO yang beriya memfailkan stay tersebut dan turut berjaya mendapat stay tersebut pada hari yang sama.

Untuk yang bukan loyar di sini aku terangkan ketidakfahaman aku. Stay of execution ini berfungsi untuk menangguhkan perlaksanaan sesuatu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Contohnya jika kau hutang dengan bank dan gagal membuat bayaran balik, pihak bank boleh memohon supaya Mahkamah mengeluarkan perintah supaya dilaksanakan writ penyitaan dan penjualan, yang bertujuan untuk merampas harta benda kau di dalam rumah dan kemudiannya dilelong bagi memenuhi keterhutangan kau dengan pihak bank. Kau pula punya hak untuk memfailkan rayuan ke atas perintah tersebut seraya memohon supaya perlaksanaan writ itu ditangguhkan. Penangguhan tersebut dikenali sebagai stay of execution.

Namun itu adalah bersabit dengan perlaksanaan sesuatu writ. Sama seperti minta tangguh perlaksanaan hukum gantung sementara menanti rayuan didengar. Penangguhan, setakat yang kita faham hanya berfungsi menangguh perlaksanaan.

Penangguhan yang berkaitan dengan deklarasi, sama sekali tidak pernah masuk akal. Persoalan di dalam bahasa orang putihnya, “how do you stay a declaration?” Dalam soal deklarasi, perkara yang dipohonkan kepada Mahkamah adalah untuk menyatakan ya atau tidak berdasarkan penghujahan-penghujahan. Deklarasi bukan perintah. Deklarasi bukan writ perlaksanaan. Deklarasi adalah sekadar pernyataan hakimi yang menegaskan keabsahan atau ketidakabsahan sesuatu berdasarkan hujah dan rasional undang-undang. Tidak ada perlaksanaan yang diperintahkan. Contohnya kalau kau memohon suatu deklarasi supaya Mesyuarat Agung Persatuan Guli Kampung kau diisytihar tidak sah, maka soalan yang akan dijawab Mahkamah adalah sah atau tidak mesyuarat tersebut.

Dalam konteks kes Nizar v Zambry [2009] 5 MLJ 464, pihak Defendan telah meminta Mahkamah Rayuan supaya “menangguhkan deklarasi” yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang telah memutuskan bahawa Dato’ Seri Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar yang absah. Bagaimana prosedur penangguhan ini dilaksanakan, aku sendiri tak pasti. Yang pasti, permohonan itu difail, didengar dan diputuskan pada hari yang serupa. Lantas membuat aku kagum dengan betapa efisyen dan cekapnya sistem kehakiman negara yang selalunya lembab mengalahkan siput.

**Tiba-tiba ada bau konspirasi di udara. Pelik. Sangat sesuatu bau ini.

Namun akar kepada permasalahan di Perak ini sebenarnya bukanlah sangat bab undang-undang perlembagannya. Itu cuma picisan yang diakibatkan salah arah pihak-pihak tertentu dalam membuat keputusan. Kekhilafan sebenar yang masih tidak mendapat perhatian sehingga kini ialah soal moraliti para katak-katak puru yang melompat di antara kolam-kolam. Soal lompat parti masih tidak menerima fokus legislasi yang tepat.

Di Malaysia, rata-rata pengundi membuat keputusan berdasarkan partai politik dan bukan berasaskan kemampuan atau kriteria individu. Pemilihan berasaskan kemampuan dan kriteria individu adalah lebih sesuai dilaksanakan dalam local council elections. Memilih wakil ke Dewan Negeri atau Dewan Rakyat adalah sebenarnya memilih parti yang mewakilkan si calon untuk membentuk Kerajaan yang akan menggubal polisi dan undang-undang. Kegagalan memahami konsep ini mengakibatkan rakyat sentiasa mencari Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri apabila terjadinya longkang tersumbat atau lift tersangkut. Jarang kita ketemu rakyat yang faham beza tugas wakil rakyat di Parlimen atau DUN dengan Ahli Majlis.

Justeru apabila parti yang dipilih, makanya manifesto parti itu yang diterima lantas diterjemahkan di atas kertas undi yang turut memuatkan logo parti dan bukan nama si calon yang bertanding. Oleh yang demikian sepatutnya tidak ada sebab yang membolehkan si wakil rakyat untuk melompat-lompat macam kera makan cili ke parti mana yang mereka mahu. Parlimen pastinya tidak akan layan proposisi untuk menghalang aktiviti lompat-lompat ini kerana aktiviti ini nampak seakan strategi politik yang sangat licik dan berkesan.

Namun begitu, sebagai generasi yang insaf dan sedar, ada baiknya kita semua mendesak semua politisi negara ini supaya mendengar cakap dan sedar diri. Mereka sebenarnya tidak perlu angkuh dengan bilangan majoriti. Ada kalanya mereka lupa, di Parlimen itu hanya sekadar ada 222 individu yang kononnya memerintah negara. Mereka lupa ada jutaan rakyat di luar pagar Parlimen yang memerhati gerak-geri mereka dan sudah tidak lagi termakan dengan pujuk rayu dan permainan media propaganda murahan. Macamlah sang rakyat ini tidak tahu beza mana intan mana kaca.

Buku Perak: A State Of Crisis (PASOC) adalah kompilasi penulisan yang membuka mata dan telinga semua yang politically-handicapped agar berfikir sendiri dan menimbang tara secara bijak segala kebobrokan yang berlaku sekitar krisis perlembagaan di negeri itu. Buku ini wajib dibaca anak muda yang bakal mengundi pada Pilihanraya Umum akan datang supaya lebih tercerah untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang lebih bijak.

Masanya sudah tiba untuk tsunami yang lebih besar menggelombang dari tangan-tangan anak muda. Sama hebatnya seperti barisan hadapan anak muda dan mahasiswa yang berarak di Masjid Negara dan bermandi air asid mempertahankan hak air rakyat negeri Selangor dari manipulasi korporat tamak haloba. Maka semua harus ingat, sedar dan insaf. Bila anak muda sudah bangkit, belai-belailah kerusi empuk Parlimen itu untuk yang terakhir kali.

Game dah nak mula. Anda mahu bermain di pasukan mana?

Izmil (Saudara Teddy) adalah seorang pemalu, seorang manusia tak banyak cakap yang sentiasa memerhati. Dia menulis tentang apa sahaja dari mata seorang agitator-politik-rentas-parti supaya orang berfikir dan cerah. Masih belajar untuk jadi manusia, dia punya hobi memasak dan mendiam di Facebook kerana tidak punya ramai kawan. Teringin mahu jadi seekor panda dan meninggalkan semua ini untuk masuk Hogwarts. Juga sedang berusaha mahu jadi pengajar ilmu perlembagaan. Ikutilah Izmil di Twitter @izmil_amri

Melissa S: Ketua Picket Kempen Undi Lord Bobo
Melissa S: Ketua Picket Kempen Undi Lord Bobo

2 replies on “The LoyarBurok Book Review: “Perak: A State Of Crisis” – Sebuah Reviu Malas-Dah-Nak-Cakap”

Comments are closed.