Temuramah LoyarBurok dengan tiga pemenang FreedomFilmFest2010 bersambung dengan saudara Abri Yok Chopil. Beliau merupakan salah satu dari tiga pemenang tahun ini dengan hasil karyanya, “Hak Dinafikan”

DSCN6583

Abri Yok Chopil, berbangsa Semai dan berasal dari Bidor Perak. Beliau berumur 32 tahun dan telah bekerja dengan Organisasi Sinui Pai Nanek Sengik selama 11 tahun. Kini kerja Abri lebih kepada community organiser (CO) di Perak. Beliau telah terlibat dengan perjuangan orang asli sejak berumur 21 tahun, ketika baru habis pelajaran tinggi. SPNS ataupun Sinui Nanek Sengik telah ditubuhkan oleh komuniti Kampung Chang iaitu kampung saudara Abri sendiri sejak 1995 sehingga sekarag. Kini perjuangan mereka meluas dan telahpun menubuhkan Jaringan yang di panggil Jaringan Orang Asli Semenanjung, dimana ada 6 negeri yang telah dibawah jaringan ini. Abri Yok Chopil bersama Shafie bin Dris dari Sukukaum Jahut, Kuala Krau Pahang dan Kato Bah Puting dari sukukaum Semai, Tapah, Perak telah bersama menjayakan filem “Hak Dinafikan” mengenai isu-isu sebenar yang dihadapi oleh Orang Asli selama 53 tahun ini.

1. Ceritakan sedikit mengenai filem anda, “Hak Dinafikan”

“Hak Dinafikan” adalah berkenaan dengan perjuangan orang asli yang menghadapi seperti masalah tanah dan hak-hak ke atas tanah adat. Oleh itu idea untuk membuat filem ini adalah pertama di mana lebih kurang 4000 orang asli telah berhimpun di Putrajaya pada 17 Mac 2010. Kami telah membuat demonstrasi bantahan Dasar Pemberimilikan Tanah oleh Majlis Kanun Tanah Negara, di mana kerajaan akan meluluskan rang undang-undang baru iaitu lebih berbentuk akta baru untuk Orang asli memiliki tanah. Sedangkan orang asli telah lama tinggal ditanah nenek moyang tetapi kerajaan memutuskan tanpa bertanya pendapat orang asli itu sendiri. Oleh itu, kami jaringan dan organisasi lain telah mendapatkan ilham untuk membuat filem ini supaya masyarakat luar memilih apakah isu yang sebenarnya orang asli hadapi selama 53 tahun merdeka.

DSCN6393

2.Apakah latarbelakang filem ini dan inspirasi di sebaliknya?

Latarbelakang filem ini seperti yang telah saya sebutkan di atas, di mana filem ini berkisahkan perjuangan-perjuangan orang asli sejak dahulu lagi sehingga sekarang namun hak mereka telah dinafikan oleh kerajaan kita sekarang iaitu Kerajaan Malaysia. Hak-hak orang asli kononnya dijaga Oleh agensi JHEOA lebih mengawal dan mengongkong orang asli daripada menyuarakan pendapat mereka kepada pihak atasan. Malah orang asli lebih takut dan apabila berlakunya kemusnahan alam seperti pembalakan orang asli yang menjadi mangsa kerakusan pihak syarikat besar-besaran.

3. Mengapa anda didorong untuk  membuat filem ini?

Idea kami untuk membuat filem ini kerana daripada rakan-rakan, sahabat- sahabat yang menyokong untuk membuat filem ini. Kami bertuah kerana tahun ini kami cuba membuat kertas kerja dan menghantar kepada pihak KOMAS iaitu Filem Freedom Fest di mana KOMAS adalah salah satu badan NGO yang selalu membuat filem berkisahkan perjuangan orang-orang yang tertindas, oleh itu dengan semangat yang ada, kami orang asli yang pertama cuba memperlihatkan isu kami yang sebenarnya supaya masyarakat di malaysia melihat isu ini bukan lah isu gurauan malah ia adalah isu yang lebih serius yang dihadapi oleh seluruh orang asli, kerana banyak pihak media mengatakan orang asli hidup senang lena, dan dianak tirikan oleh kerajaan, malah semua peruntukan yang ada orang asli dicopkan anak emas, sudah kaya. Walahal orang asli masih ketinggalan arus kemiskinan dan masih lagi mengalami kehilangan hak ke atas tanah adat. Di mana orang asli tidak lagi tuntut kes dimahkamah sekiranya dasar ini diluluskan.

DSCN6477

4. Apakah masalah-masalah yang dihadapi ketika membuat filem ini?

Masalah yang kami hadapi semasa membuat filem ini adalah masa terlalu lewat kerana ada beberapa masalah yang kami hadapi seperti banyak program yang kami perlu terlibat, pada masa yang sama pula kami kena buat shooting di setiap kampung dan negeri, Jarak diantara negeri-negeri itu agak jauh, kami terpaksa korbankan masa, kerana nak buat filem dengan orang asli bukannya mudah. Kami perlu faham situasi mereka. Ada juga negeri yang kami tidak sempat interview seperti Kelantan dan juga kedah kerana kami tidak cukup masa, Kami bermula shooting pada 27 Julai 2010 sehingga siap shooting 5 September 2010, Jadi masa editing banyak masalah yang kami hadapi seperti banyak footage yang kami kena tambah terpaksa la tambah, itu lah masalah kami semasa proses membuat filem ini.

5. Apakah yang anda ingin sampaikan kepada bakal penonton filem saudara?

Mesej yang kami mahu sampaikan kepada penonton adalah mahu mengajak penonton melihat apakah yang sebenarnya orang asli hadapi buat masa kini, kerana orang-orang yang ada dibandar mereka langsung tidak kenal apa itu Orang asli dan apakah masalah yang Orang asli hadapi selama ini. Terutamanya orang yang kaya raya, apabila mereka ingin membuka projek-projek mereka langsung tidak pedulikan dengan Orang asli, mereka terus membalak tanpa menyedari bahawa banyak kes yang menyebabkan orang asli jadi mangsa kemusnahan alam akibat pembalakan dan sebagainya. Oleh itu apabila penonton melihat ini mereka mungkin akan lebih sedar terutamanya orang di bandar. Sebarang keputusan harus berbincang dengan Orang asli yang telah lama tinggal disesuatu tempat jangan tiba-tiba membuat sebarang bentuk pembangunan yang kurang berfaedah kepada orang asli.

DSCN6758

Berkaitan:

The LoyarBurok Interview: “Kisah Tauke Mancis dan Minyak Tumpah”

2 replies on “The LoyarBurok Interview: “Hak Dinafikan””

  1. Very good reading! I agree with a lot of your unique views. It's about time someone wrote information like this in a clear, understandable style. Thank you for your insight.

Comments are closed.