Refleksi mengenai erti kemerdekaan bagi rakyat Malaysia pada hari kini dan masa hadapan.

Hari Kemerdekaan di Malaysia nampaknya sudah menjadi klise hiburan yang dinanti-nantikan oleh rakyat saban tahun. Mungkin setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan, rakyat telah terperangkap dengan penafsiran Hari Kemerdekaan oleh pemerintah yang lebih berunsur ritualistik. Manakan tidak, setiap tahun, Hari Kemerdekaan di negara ini mencipta dogma yang melalikan rakyat dari menilai sedalam-dalamnya makna kemerdekaan pada diri mereka, masyarakat dan negara. Sambutan lebih berkisar di sekitar isu-isu komestik seperti jumlah bendera yang hendak digantung di kereta atau rumah masing -masing, apakah pakaian terbaik pasukan yang berarak atau adakah akan keluar iklan-iklan Petronas yang menyayat hati di televisyen. Ketaksuban pada sejarah yang dikarang Sang Pemenang menyebabkan rakyat masih tidak berganjak dari romantisme kemerdekaan pada tahun 1957. Oleh itu, agak sukar untuk kita menghayati kemerdekaan dari sudut pandang generasi kotemporari atau memberi pengertian yang lebih bermakna dan relevan kepada kemerdekaan yang telah kita kecapi selama 53 tahun ini.

merdeka

Bebas dari penjajahan adalah kenyataan fizikal yang lampau. Benar, sambutan tahunan perlu bagi mengangkat dan menghargai sejarah tersebut. Tetapi sejarah juga perlu diteladani dan dijadikan asas untuk perubahan. Sayangnya, sambutan yang bersejarah ini menjadi komoditi komersil untuk pengusaha bendera, kabel televisyen atau ruang untuk syarikat minyak dan korporat membasuh dosa dengan mengeluarkan iklan-iklan humanis yang menyentuh jiwa. Pembolehubah-pembolehubah ini telah turut mengelabui kepentingan menilai dan mengisi kemerdekaan dengan semangat keberanian serta kebijaksanaan untuk membawa perubahan.

Untuk membawa perubahan, kemerdekaan haruslah berupaya memberi makna kepada kebebasan rakyat dan negara mutakhir ini. Antara garis ukuran yang perlu dipertimbangkan adalah sejauhmanakah pendemokrasian institusi daulah serta kehakiman dan gerakan akar umbi dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan hak asasi manusia. Mungkin untuk menilai aspek ini, cuti umum lebih dari sehari diperlukan! Dari sudut yang berbeza, penilaian semula kemerdekaan harus turut merangkumi pencapaian rakyat dan pemerintah dalam membentuk kesatuan jiwa dan bangsa, bukannya sekadar penjenamaan semula dasar lapuk kerajaan yang bernilai jutaan dollar seperti 1Malaysia.

Dengan mukadimah yang begitu pesimistik, perlukah kita terus melupakan Hari Kemerdekaan? Haruskah kita mengeluarkan sambutan ini dari takwim tahunan?

Patutkah kita bersorak atau ghairah menggantung sebanyak mungkin Jalur Gemilang di kereta masing-masing sedangkan setiap longkang dan kawasan pembuangan sampan yang dilalui oleh kereta berhias itu berpotensi menjadi pusat pembuangan bayi? Bukankah sudah tiba masanya kita memahami isu buang bayi bukan lagi satu isu moraliti tetapi penafian kefahaman serta pemerkasaan rakyat mengenai seks dan seksualiti?

Wajarkah kita mendabik dada tentang kekuatan perpaduan rakyat apabila juak-juak ultra Melayu tertentu masih takut pada bayang-bayang sendiri dan mahu memperjuangkan ketuanan peribadi berbanding mencapai kesepakatan mengenai hak dan kepentingan rakyat?

Mampukah kita berlapang dada dengan identiti sebagai rakyat Malaysia hanya kerana kita mampu menanda bangsa masing-masing dalam borang-borang rasmi sungguhpun adakalanya kita keliru lantas terpaksa menanda “Dan Lain-Lain”? Tidakkah kita terfikir barang seketika, kad pengenalan yang kita miliki kadangkala bukanlah justifikasi jujur tentang siapakah kita sebenarnya tetapi siapakah kita di mata pemerintah?

Sudah mantapkah jatidiri kemelayuan dan Islam rakyat hanya kerana kita kini memiliki teknologi mahupun rancangan realiti untuk mengukur tahap kemelayuan dan keimanan masing-masing sedangkan pada zahirnya kita masih belum berupaya untuk mengamalkan sikap berhemah dalam menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran? Atau menangani kemelut bidangkuasa syariah dan sivil?

Persoalan di atas bukan bertujuan untuk membangkitkan kemarahan yang berunsurkan keagamaan dan perkauman. Kalau diikutkan, ironisnya, penentuan tentang apakah yang sensitif atau mengugat keselamatan negara dan ketenteraman rakyat pun masih ditadbir pemerintah menggunakan undang-undang warisan penjajah seperti Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA).

Persoalan-persoalan di atas dibangkitkan kerana kita perlu berfikir dengan serius; apakah makna kebebasan yang kita raikan setiap tahun ini?

Kita harus buat seketika, mengenepikan soal bendera dan perarakan atau percutian keluarga sempena cuti umum yang akan datang ini, serta memikirkan semula sejauh mana pemerintah dan rakyat memberi makna dan kesan kepada kemerdekaan ini.

Ya, kita sudah merdeka. Tetapi kerana apa dan untuk apa?

Kita harus menuntut dan mengisi semula kemerdekaan ini dengan agenda perubahan bukan sekadar terperangkap dalam kitaran sambutan hari kemerdekaan yang hanya menjumudkan rakyat. Rakyat tidak memerlukan penjenamaan semula perpaduan untuk menyemai rasa sayang dan menerima satu sama lain dengan seadanya. Mari cipta sejarah kemerdekaan dengan membebaskan diri dari penindasan minda!

LB: Shazeera is a law graduate with no intention whatsoever of being a lawyer. She was a Chevening Fellow with Glasgow University, studying government relations with civil society. She is currently one of the Directors of Pagaralam Sdn. Bhd. – a consultancy firm dedicated to promoting good governance in social development and human rights. She will be pursuing her Master in Applied Human Rights in University of York, UK very soon. Her interests, among others, are human rights, cultural relativism and it’s implications on public policies. Catch more of her take on politics, pop culture and parenthood at As I Live.

Shazeera is a Malay Muslim that is still unable to understand why groups like PERKASA exist. But as long as they are around, she will be around too.

2 replies on “Mari Cantas Dogma Kemerdekaan!”

  1. this is one of the reason given by me when people is asking the reason i hate independance day. i hate the idea of being pretentious. after more than half a century, we are still not achieving anything significant. tv is promoting various ads on racial unity but all of it just mere cosmetics. are we truly unified? with racial based political party still loomed. at least DAP and PKR is open for all races. in the first place, why we need racial status to define us? we are so-called 1Malaysia. but, having newer policy indirectly says that previous policy is not working in order to tackle said issues on unity. or it's just another political agenda to garner more votes? whatever it is, we are not free yet from the captives of the rich and powerful. until then, happy Tuesday for you!

  2. "Kita harus menuntut dan mengisi semula kemerdekaan ini dengan agenda perubahan bukan sekadar terperangkap dalam kitaran sambutan hari kemerdekaan yang hanya menjumudkan rakyat."

    saya amat setuju dengan yang ini!

Comments are closed.