AUKU dan Masa Depan Malaysia

Analisis seorang mahasiswa mengenai AUKU dan kesannya yang menular.

Dengan fakta kes berikut kamu telah didapati melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang berbunyi:

15(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan Tiada pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, dibawah atau mengikut Perlembagaannya, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap –

(a) Mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

Perjuangan mahasiswa menolak AUKU sudah lama sunyi setelah sekian lama mahasiswa tidak dicaj di bawah akta ini.

Kali terakhir adalah kes di Universiti Malaya; seramai 9 orang mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) dan Kelab Debat Bahasa Cina yang membawa masuk “ahli politik” ke dalam kampus.

Sudah lama tidak mendengar kes politik mahasiswa didakwa di bawah AUKU. Kerana sudah jadi kebiasaan sejak kebelakangan ini, mahasiswa akan didakwa dibawah peruntukan yang lebih tinggi darjat daripada yang seharusnya.

Daripada Akta Polis yang digunakan untuk 9 mahasiswa yang berdemonstrasi dihadapan Sogo hingga Seksyen di bawah Kanun Keseksaan dalam kes “Rosmah Puaka.”

AUKU

Cuma bila kes UKM 4 berlaku, maka keghairahan untuk berlawan itu kembali.

Perlawanan mahasiswa menentang AUKU ini mungkin terlalu tertumpu kepada peruntukan di bawah seksyen 15 dan 16, atas dasar dan kepercayaan bahawa mahasiswa berhak untuk berpolitik.

Ini menimbulkan kritikan hebat dengan premis bahawa perjuangan mahasiswa menentang AUKU ini hanya berasaskan basis politik. Bukan lagi soal kebebasan akademik atau lain-lain hal yang lebih penting.

Mungkin kerana itu juga, pemerintah Barisan Nasional sering memperlekeh usaha mahasiswa menentang AUKU. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat yang hanya sekadar mahu ia dipinda.

Kes UKM 4 membuka perlawanan itu dengan lebih luas.

Memperlihatkan bagaimana kebebasan politik mahasiswa itu di halang. Juga bagaimana kebebasan akademik mahasiswa itu sekat. Kebebasan bergerak juga turut dihalang.

Bukan hanya itu, malah lebih besar kerana kebebasan akademik pensyarah turut juga di halang sama sekali.

Undang-undang menurut akta ini dilihat bertentangan sama sekali dengan amalan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dalam soal hak dan kebebasan untuk berpersatuan dan hak untuk mengundi selaku seorang warganegara.

Alasan terdahulu untuk melarang mahasiswa untuk menyertai atau berpartisipasi dalam politik adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada akademik di kampus.

Alasan ini adalah yang “terhebat” dan diguna pakai baik oleh pemerintah atau pentadbiran universiti.

Namun, nada mereka kini sudah sedikit berubah. Beberapa rakan komponen parti pemerintah sudah punya nada yang berbeza.

Kelihatan beberapa komponen ini sudah mulai tercerah. Sudah mahu adakan perubahan dengan sedikit tegas.

Selalunya isu seperti ini akan hanya dibawa oleh Pakatan Rakyat. Namun kali ini, MCA yang dilihat terkehadapan membawa isu ini. Sayap pemuda mereka juga sudah mulai dilihat lebih prihatin.

Hingga hari ini, kes UKM 4 sudah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Selepas menerima injunksi dan sebutan kes yang pertama pada 9 Julai, tarikh yang seterusnya adalah pada 2 ogos ini.

Apakah harapan yang tinggal pada mahasiswa untuk kepimpinan dan masa depan negara jika akta ini dikekalkan?

Masa depan sesebuah negara sebahagiannya tergantung penuh kepada anak muda khususnya mahasiswa sebagai masyarakat terpelajar.

Politik Perlembagaan tulisan Aziz Bari dalam salah satu eseinya menyatakan bahawa masyarakat inilah akhirnya pada masa depan akan menentukan masa depan negara dan bangsa kita.

Negara memerlukan tokoh-tokoh yang mempunyai idealisme, sifat yang baik dan matang dalam membuat sebarang keputusan.

Namun kita akan berdukacita kerana kondisi dan budaya dalam kampus pada hari ini tidak akan melahirkan pemimpin yang kita kehendaki.

Kondisi dan budaya ini rosak kerana kewujudan AUKU ini. Ia bukan sahaja menganggu kondisi di kampus tetapi juga merencatkan pencapaian akademik yang cemerlang.

Special Rapporteur dari United Nation mengenai hak dan kebebasan pendidikan di Malaysia tahun ini melaporkan analisa mereka bahawa kedudukan ranking universiti di Malaysia juga buruk akibat daripada kewujudan akta ini.

Laporan ini juga memberikan cadangan untuk Parlimen Malaysia melihat semula akta ini supaya memberikan lebih ruang kepada mahasiswa untuk partisipasi, serta mempunyai hak dan kebebasan mereka.

Mahasiswa harus fokus dalam soal akademik adalah alasan usang untuk melarang mahasiswa terlibat dengan politik. Situasi ini juga menghalang mahasiswa untuk belajar membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.

Apabila mahasiswa tidak diberi peluang untuk membuat keputusan, maka mereka hanya akan hanya belajar membuat keputusan ketika mereka memimpin negara kelak.

Maka, Malaysia akan datang akan mempunyai pemimpin yang baru mahu belajar membuat keputusan.

Universiti hari ini harus berubah dan berperanan sepertimana yang seharusnya. Peranan dan falsafah universiti itu harus dikembalikan dengan perubahan.

Kata Tun Razak pada Ogos 1970; “… universiti mempunyai tugas mengajarkan kebijaksanaan dan bukan sekadar kemahiran, membentuk sahsiah dan bukan sekadar mengajarkan pengetahuan teknikal.”

Maka dengan harapan itu, masa depan negara kelak akan lebih baik.

LB: Rencana ini pada asalnya diterbitkan di sini.


(Visited 409 times, 3 visits today)

Tags: , , , , , , , , , ,

Posts by

Posted on 25 July 2010. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use