Pilihan raya kerajaan tempatan boleh dijalankan tanpa SPR

Berdasarkan kaji selidik oleh Merdeka Centre baru-baru ini, majoriti responden(71%) mahukan pilihan raya kerajaan tempatan. Namun ketika mengulas hasil kajian tersebut, Perdana Menteri Najib Razak berkata “Pilihan raya kerajaan tempatan sudah lama dimansuhkan, jadi ia tidak perlu diadakan semula.”

vote local council election tempatan

Nampaknya berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre baru-baru ini, majoriti responden mahukan pilihan raya kerajaan tempatan.

Hasil kajian yang disiarkan pada Jun 16 itu menunjukkan 71% daripada keseluruhan responden seramai 1,028 orang penghuni di semenanjung Malaysia menyokong supaya ianya diadakan.

Mengulas hasil kajian tersebut, Perdana Menteri Najib Razak berkata “Pilihan raya kerajaan tempatan sudah lama dimansuhkan, jadi ia tidak perlu diadakan semula.”

Ketika menjawab soalan Dewan Rakyat pada April 12 lalu yang dibawa oleh wakil rakyat Kelana Jaya Loh Gwo-Burne, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata di bawah seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah dihentikan.

Undang-undang Kerajaan Tempatan di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai peruntukan tentang pilihanraya kerajaan tempatan.

Menurut penjelasan menteri di kementerian berkenaan, kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan kerana tiada undang-undang yang membolehkan ianya diadakan kecuali undang-undang tersebut dipinda.

Menurut penjelasan menteri lagi, pilihan raya tersebut boleh menjejaskan tumpuan PBT selaku agensi barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana tumpuannya akan lebih menjurus kepada hal-hal yang berkaitan dengan urusan pilihan raya.

Kerajaan juga berpendapat bahawa urusan pilihan raya bukan sahaja melibatkan masa dan kos malah tenaga kerja di samping kemungkinan wujudnya unsur-unsur kurang sihat oleh pihak-pihak tertentu yang berteraskan kepentingan politik masing-masing.

Tetapi ianya direstui Pakatan Rakyat

Kerajaan di peringkat negeri Selangor dan Pulau Pinang pernah mengusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pada April lalu tetapi seperti yang dijangkakan, alasan yang diberikan SPR ialah kekangan undang-undang.

Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusoff juga berkata urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa badan itu tetapi sepenuhnya di bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tambahnya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui majlis negara bagi kerajaan tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Malah, ketika mengulas mengenai permintaan Selangor dan Pulau Pinang supaya menjalankan kajian mengenai mengenai pentingnya pilihan raya kerajaan tempatan di sebuah negara demokrasi, Abdul Aziz juga memberitahu bahawa SPR tidak dapat menjalankan kajian bagi mana-mana kerajaan negeri kerana ia bertentangan dengan fungsi SPR di bawah perlembagaan persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Justeru, Pulau Pinang telah memulakan kaji selidik secara rawak melalui portal rasmi mereka dan sememangnya rakyat Pulau Pinang berkehendakkan supaya ahli-ahli majlis mereka dibiarkan mereka sendiri yang memilih.

Suara Rakyat Malaysia cawangan Pulau Pinang juga telah menjalankan satu kajian soal selidik pada Mac 20-21 tahun ini. Keputusan soal selidik Suaram menunjukkan sebanyak 92.7% balasan daripada 506 orang warga negeri Pulau Pinang menyokong supaya pilihanraya kerajaan tempatan dipulihkan.

Gunakan akta kerajaan negeri

Selepas SPR dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan “tidak berminat” dan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976, jadi adakah ianya masih boleh dijalankan dan pemilihan tersebut sah?

Pilihan raya kerajaan tempatan masih boleh dijalankan melalui Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang mana akta tersebut masih boleh digunapakai dan belum dimansuhkan. Sungguhpun demikian, ianya tertakluk kepada kuasa yang ada di tangan kerajaan negeri yang mentadbir.

Jadi, sekarang menjadi tugas pemerintah negeri melalui dewan undangan negeri (DUN) menggubal sebuah akta bagi melaksanakan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 ini.

Dengan penggubalan akta melalui pentadbiran negeri, negeri tersebut juga boleh mengadakan proses pemilihan dengan apa cara berlandaskan lunas-lunas demokrasi yang ada.

Sudah tentu ianya mampu dijalankan dengan cara yang lebih bersih berbanding dengan pilihanraya umum yang menolak penggunaan dakwat kekal, yang berdegil menggekalkan senarai pemilih yang dipertikaikan, mengamalkan gerrymandering (sebut: persempadanan yang tidak masuk akal) serta melibatkan pengiraan berkotak-kotak undi pos pada saat-saat terakhir.

Oleh kerana SPR tidak menunjukkan minat mentadbir proses ini, kerajaan negeri melalui akta negerinya boleh memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mengendalikan proses tersebut.

YB bukan penjaga longkang

Menurut kajian Merdeka Centre lagi, seramai 54 peratus daripada respondennya yang pada puratanya berusia 41-50 tahun mengakui bahawa mereka tidak faham apabila orang memperkatakan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Responden dari kumpulan usia 21-30 tahun mempunyai peratusan tertinggi (37%) yang tidak memahami apakah sebenarmya pilihan raya kerajaan tempatan.

Namun, para responden sedar bahawa masalah jalan di kawasan perumahan mereka (46%), pembekalan air (21%) dan pengangkutan awam di kawasan persekitaran mereka (27%) menjadi tanggunjawab kerajaan tempatan.

Dengan adanya ahli-ahli majlis yang dipilih dan dikenali penduduk di kawasan tertentu, ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) mahupun ahli-ahli parlimen tidak lagi perlu menjadi wakil rakyat yang menjaga longkang-longkang para pengundi mereka.

Dengan adanya ahli-ahli majlis yang efektif, sudah tentu Adun boleh menumpukan perhatian kepada tugas pentadbiran negeri dan ahli-ahli parlimen boleh memperincikan mengenai isu-isu yang lebih melibatkan kerajaan pusat, penggubalan akta-akta yang berpatutan dan mewujudkan sebuah budaya perdebatan yang lebih memfokuskan kepada pembangunan.

(Untuk pengetahuan umum, pilihan raya kerajaan tempatan kali pertama diadakan pada 1951 tetapi dihentikan pada 1965 ketika Konfrontasi dengan Indonesia.

Akta 171 Seksyen 10 memperuntukkan bahawa sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengandungi datuk bandar atau Yang Dipertua serta tidak kurang daripada lapan dan tidak lebih daripada 24 orang ahli majlis yang dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas mengenai PBT yang mereka dialami atau mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.)

LB: Pada asalnya diterbitkan di laman web cpiasia.net.

Berkaitan:




Tags: , , ,


Posted on 30 June 2010. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Faisal Mustaffa.

Read this first: LB Terms of Use

2 Responses to Pilihan raya kerajaan tempatan boleh dijalankan tanpa SPR

  1. Pingback: Local Council Elections Rising from the Ashes: LGA v The Constitution | LoyarBurok

  2. Pingback: Mempersoalkan Mahasiswa | LoyarBurok