Adakah patut seorang yang miskin, yang tidak mampu membayar denda, sebaliknya dipenjarakan untuk 1 tahun dan disebat 6 kali kerana kesalahan pertama meminum arak di khalayak ramai?


Utusan Malaysia hari ini melaporkan seperti berikut:-

Seorang tukang masak sebuah maahad tahfiz menerima padah akibat minum arak di khalayak ramai apabila dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Mohd. Sabri Zulkepli (gambar), 24, yang berasal dari Peramu menjadi pesalah pertama yang dihukum penjara atas kesalahan itu setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Md. Yunos.

Lelaki itu mengaku minum arak di kompleks beli-belah Kuantan Parade di sini pada pukul 5.30 petang, 13 Februari lalu.

Yang menarik perhatian saya adalah sebab kenapa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara dan bukannya denda. Dilaporkan:-

Abdul Rahman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, penjara dan sebatan itu adalah sebagai pengajaran supaya tertuduh menginsafi diri daripada perbuatan tersebut.

Tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah telah menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Mac lalu, merayu kepada mahkamah supaya dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan tiga sebatan.

”Memandangkan pendapatan bulanan tertuduh hanya RM550 sebulan dan menanggung kedua ibu bapanya, maka mahkamah berpendapat wang denda tersebut wajar digunakan untuk masa depan keluarganya,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, hukuman penjara dapat memberi kesedaran kepada tertuduh berbanding denda memandangkan tertuduh masih muda dan belum berkahwin.

Saya bukanlah seorang pakar dalam undang-undang Syariah mahupun undang-undang jenayah. Meskipun saya telah mendapatkan kelulusan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa 10 tahun yang lalu, saya tidak mengamal undang-undang syariah. Apa yang saya ingat daripada undang-undang jenayah juga daripada zaman universiti dan masa saya berkhidmat sebagai pelatih dalam kamar untuk Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Saya telah ingat ianya adalah undang-undang lazim (bagi para LoyarBurok yang petah bahasa penjajah: trite law) bahawa seorang yang mengaku bersalah dan dengan tiada kesalahan lampau (no previous convictions) patutlah diberikan hukuman lebih ringan.

Pengakuan bersalah itu menunjukkan bahawa tertuduh telah insaf, dan juga telah membantu untuk menjimatkan kos dan masa pihak pendakwaan serta Mahkamah. Jadi hukuman lebih ringan adalah insentif yang diberikan oleh sistem kehakiman untuk menggalak para tertuduh yang bersalah untuk mengaku sahaja, dan tidak mencabar pendakwaan.

Bagi orang yang mempunyai kesalahan pertama, dan juga orang yang muda, diharapkan bahawa kesalahan itu adalah hanya satu langkah yang silap. Diharapkan juga bahawa tertuduh itu tidak akan melakukan kesalahan lagi jika satu hukuman yang ringan tetapi berkesan dikenakan untuk memberi pengajaran.

Penjara itu adalah hukuman yang amat serius. Setahun penjara itu adalah tersangat serius. Untuk 9 bulan (biasanya, jika saya tidak silap, 1/3 daripada tempoh hukuman akan diringankan jika orang itu berkelakuan baik di penjara), pesalah itu tidak akan dapat menyara hidupnya dengan bekerja. Keluarganya akan kehilangan sumber pendapatan mereka. Tempoh di penjara juga akan membolehkan pesalah itu bergaul dengan penjenayah lain, yang kebanyakannya akan lebih teruk dalam perangai dan tabiat jenayah mereka.

Jadi, apabila saya melihat bahawa Hakim Syariah itu telah memberikan hukuman penjara, saya adalah terperanjat. Lebih-lebih lagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu berkata bahawa wang denda itu boleh digunakan untuk menyara hidup keluarga Mohd Sabri itu? Tetapi bagaimana pula dengan gaji beliau untuk setahun dia dipenjarakan? Dan beliau dipenjarakan kerana dia belum lagi berkahwin, jadi setahun dalam penjara itu dapat dijadikan pengajaran? Mohd Sabri memang akan belajar – belajar bagaimana nak jadi samseng, bagaimana nak curi kereta, bagaimana nak merompak orang lain.

Saya tertanya kenapa pula peguam Mohd Sabri tidak mengutarakan hujah-hujah ini semasa bicara? Ketika itu saya terbaca perenggan-perenggan terakhir laporan itu:-

Sementara itu, bapa tertuduh yang enggan dikenali terkejut kerana menyangka anaknya hanya akan dikenakan denda dan sebatan.

”Saya betul-betul terkejut apabila mendengar hukuman penjara yang dikenakan ke atas anak saya. Saya akan menyediakan peguam untuk membuat rayuan,” jelasnya.

Jadi, ajaran minggu ini: Sediakan peguam sebelum dijatuh hukum!

Shanmuga K sometimes sees a purple banana emerging in his sub-conscious. An article seems to then be magically written. He is @shanmuga_k on Twitter. When he does not see those purple bananas, he practices...

2 replies on “Penjara kerana miskin & bujang?”

  1. la, pergilah jumpa Sultan negeri Pahang Darul Kasino. Semua dosa besar seperti minumn arak, berzina dan judi boleh dimaafkan dengan menggantikannya dengan khidmat sosial.

    Sultan tu dah tahap pendita Kristian yang bagi pengampunan kepada penganut Kristian.

    tahniah 1Malaysia.

  2. This what happens when everyone try to be more Islamic than the othe one. In our case each state will try to outdo each other soon. Welcome to 1Malaysia

Comments are closed.