Apabila Najib dan Anwar minum teh

Beberapa minggu lepas, negara sedikit ‘gempar’ apabila dilaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilihat duduk bersama-sama di Parlimen.

Hampir kesemua media, samada cetak atau elektronik, telah menyiarkan gambar mereka berdua. Riuh seketika negara, kerana pengerusi Barisan Nasional dan ketua umum Pakatan Rakyat duduk semaja dan berborak. Benar, akhbar seperti Utusan Malaysia memutarkan isu itu sebagai satu contoh keterbukaan Datuk Seri Najib kerana sanggup minum teh dengan Datuk Seri Anwar walaupun pembangkang telah “melemparkan pelbagai tomahan”. Sememangnya ini sudah dijangkakan tetapi apa yang menarik adalah peristiwa itu dianggap mempunyai nilai berita.

Sebenarnya, tiada apa-apa yang perlu diperbesarkan dengan peristiwa tersebut. Sudah tentu Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar boleh berbual-bual sambil minum teh. Bukankah mereka berdua pernah bersama-sama dalam UMNO? Bukankah mereka berdua manusia juga? Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu mereka gemarkan teh tarik. Sudah tentu mereka boleh menikmati teh tarik bersama, apatah lagi dikatakan bahawa teh untuk ahli Parlimen adalah percuma!

Perkara ini sebenarnya mencerminkan keadaan politik di negara kita. Semangat kepartian kita telah terlalu tebal dan kita terlalu taksub dengan pemimpin dan parti. Contohnya, mereka dari parti X tidak boleh bercampur atau dilihat bersama dengan mereka dari Y, dan sebaliknya. Ataupun kontrak tidak boleh diberikan kepada A kerana A daripada parti X dan bukan parti Y. Atau jika bapa adalah dari parti X maka anaknya tidak boleh menjadi aktif dalam parti Y.

Oleh sebab itulah peristiwa di Parlimen tempoh hari telah menjadi berita.

Saya tidak fikir jika di United Kingdom, peristiwa Perdana Menteri Gordon Brown dan Ketua Pembangkang David Cameron minum teh bersama akan menjadi berita yang disiarkan di seluruh negara. Pada mereka, itu adalah sesuatu perkara yang normal dan tidak ada apa-apa yang menakjubkan. Gordon Brown dan David Cameron adalah manusia biasa dan walaupun mereka di bahagian yang berlainan pada spektrum politik, tidak bermakna mereka tidak boleh bergaul seperti biasa di luar gelanggang politik. Politik harus diamalkan dengan matang dan pengamal politik harus tahu membezakan antara politik dan peribadi.

Di sini, lain pula ceritanya. Politik itu sudah menjadi sesuatu yang remeh dan peribadi. Pilihanraya umum ke-12 telah melihatkan anjakan paradigma di dalam arena politik tanahair. Malang sekali, keberanian para pengundi untuk membuat pilihan yang lain tidak disusuli dengan kematangan dalam berpolitik.

Beberapa minggu yang lepas, saya ada menghadiri sebuah dialog dengan beberapa parti politik di Semenanjung Malaysia. Dialog tersebut berkisar pada hubungan antara kaum dan secara amnya, peserta dialog tersebut dapat berbincang dengan keadaan yang baik walaupun mereka dari parti-parti berbeza. Namun, setelah dialog tamat dan sidang media dijalankan, ada di antara mereka mengambil kesempatan untuk berpolitik di hadapan para wartawan. Mereka seharusnya sedar bahawa masa tersebut bukanlah masa yang sesuai untuk mendapatkan markah murah dalam politik.

Di samping itu, isu-isu tidak dibahas dengan hujah tetapi dengan serangan peribadi. Ingat kita pada debat kenaikan harga minyak pada tahun lepas, di mana salah seorang daripada pendebat hanya membalas hujah lawannya dengan serangan peribadi yang bertubi-tubi? Lihat sahaja laman-laman sesawang yang memenuhi ruang siber, di mana begitu banyak tomahan dan fitnah yang bersifat peribadi dilemparkan atas sebab-sebab politik. Baru beberapa hari yang lepas, dilaporkan bahawa ada orang telah membuat sebuah profil palsu di Facebook menggunakan nama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Mengapa sampai begitu sekali kita berpolitik?

Lihat sahaja debat yang berlangsung di dalam Parlimen kita. Isu-isu yang dibangkitkan dan perkataan-perkataan yang kurang enak digunakan telah menyebabkan dewan yang sepatutnya menjadi symbol demokrasi negara kita digelar sebagai gelanggang sarkas. Bandingkan dengan debat yang berlangsung di Parlimen United Kingdom, betapa tinggi mutunya dan betapa dalam isu yang dibincangkan. Lihat sahaja cara mantan Perdana Menteri Tony Blair menangkis kritikan yang diajukan kepadanya oleh ahli Parlimen dari parti Conservative dengan gaya dan kehalusan. Mereka tidak terjerit-jerit bagai orang tidak siuman. Tidak ada suara-suara sumbang yang mencaci atau mencerca pihak lawan. Padahal jika diperhatikan, House of Commons itu jauh lebih sederhana daripada Dewan Rakyat kita. Tetapi kualiti penghuninya langsung tiada bandingan.

Politik kita terlalu berlandaskan pada parti dan personaliti dan bukannya isu. Pengamal politik dikerah untuk berselari dengan pendirian parti dalam semua isu. Maka ahli politik tidak boleh memberi pandangan yang bercanggah dengan pendirian parti. Penyokong pula ramai yang menyokong membuta tuli. Ini menimbulkan situasi di mana ahli politik dan penyokong mereka akan sedaya upaya mempertahankan pendirian parti dan pemimpin lain, walaupun kadangkala pendirian yang diambil tidak mempunyai asas.

Di dalam suasana politik tanahair yang sebegini, maka secara semulajadi peristiwa di mana ketua kedua-dua gagasan politik dilihat bersama dalam keadaan harmoni akan menjadi berita besar. Ia bagaikan tiupan angin yang segar setelah sekian lama politik dipolitikkan.

Adalah diharapkan bahawa peristiwa tersebut akan menjadi titik tolak kepada kerjasama dwi-gagasan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pihak-pihak harus terima hakikat bahawa lanskap politik pasca pilihanraya umum ke-12 adalah seadanya – Barisan Nasional masih kerajaan pusat, Pakatan Rakyat tawan lima negeri dan Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. Kedua-dua gagasan politik harus mengenepikan ideologi dan pegangan politik mereka dan bekerjasama di dalam isu-isu penting demi kebaikan rakyat marhaen.

Tiba juga masanya ahli politik dan penyokong mereka menyuntik kematangan di dalam amalan politik mereka. Ini bukan bermakna kritikan tidak boleh dilemparkan, jauh dari itu. Kedua-dua pihak masih harus menjadi pemeriksa dan pengimbang pihak yang lain. Apa yang diharapkan adalah isu-isu yang ditimbulkan adalah isu-isu yang punya isi dan bukanlah isu-isu yang remeh yang tidak membawa kesan kepada pembinaan negara. Tidak perlu kita berpolitik hanya demi politik.

Kita membayangkan bahawa satu hari nanti, apabila Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang sekali lagi minum teh bersama, kita tidak akan mengendahkannya kerana telah terbiasa.

Recommended Reads:

Kematian Kugan: Suatu Tragedi Yang Menuntut Suatu ...
The Perak 'May'hem - a simplistic view
Dear Paprika: Bersih 3.0 - The Day I Lost Respect ...
Technology, New Media and the Malaysian General El...

Tags: , , , , , , , , , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 4 December 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by Syahredzan Johan.

Read this first: LB Terms of Use

4 Responses to Apabila Najib dan Anwar minum teh

  1. Pingback: uberVU - social comments

  2. Amin

    Org Malaysia perlu lebih sedar tentang cara berpolitik dengan betul…… Dua-dua BN and PR dgn cara perjuangan politik berbeza namun tetap terlibat dalam membangunkan negara…… Ambil yang baik tolak yang buruk…..

  3. hajar

    Kesedaran politik yang matang itu penting bagi sesuatu parti khususnya penyokong kerana mereka lah yang menzahirkan setiap ideologi pemimpinnya.

  4. Michael

    good piece. saya suka rencana ini sebab ia menyuarakan kematangan yang perlu datang ahli-ahli politik dan juga pihak masyarakat.