Mengapa saya ingin sebarkan… Kempen PerlembagaanKu

MyConstitution Campaign logoSaya tersentuh…

Writer’s block. Is that what you call someone who wants to write but nothing flows out of the swish of the pen or the tap-tapping of the keyboard? A friend suggested to write in the Malay language but it’s been a while since I did that… probably in high school. Still it’s no excuse not to resort to our official language as Article 152(1) of the Constitution says. Thankfully the Constitution doesn’t reprimand those who also want to learn, speak and use other languages. You see, I have a thing for languages and the dreamer in me dreams to learn every other language in the world… that is if I have all the time in the world, said the put-your-feet-on-the ground voice in me. So here goes…

Dalam setiap perkara yang saya lihat dalam kehidupan seharian, saya belajar untuk tidak melihat melalui pandangan mata kasar. Lihat dengan mata hati, nescaya kita akan melihat perkara yang mereka di sekeliling tidak akan lihat. Lihat dengan niat suci tanpa sebarang prejudis, nescaya kita akan melihat betapa indahnya kehidupan. Begitu kata hati saya berbicara.

Suatu petang saya menemani ayah saya ke pasar (ya, mungkin sudah tiba masanya beliau menemani saya pula). Sementara menunggu, pandangan saya tertumpu pada seorang pakcik berketayap putih dalam lingkungan umur 60 tahun sedang berbual dengan tauke Cina tuan punya kedai runcit di situ. Tidaklah saya mencuri-curi dengar perbualan mereka tapi apa yang menarik perhatian saya ialah senyuman dan salaman yang berbalas antara kedua-dua warga tua tersebut. Saya tersentuh. Senyuman yang terpancar sungguh ikhlas. Jika saya mempunyai kamera di tangan pasti saat tersebut akan saya rakamkan dan pasti saya akan terus mendapat kerja di mana-mana syarikat penerbitan terkemuka.

Sebelum saya menjejakkan kaki ke menara gading di Shah Alam, Miss Shy telah memberi kad ucapan selamat berjaya kepada saya. Dalam kad tersebut terselit dua keping kad telefon dengan ucapan, “If you need me, I am just a ring away.” Saya sebak. Dan semangat saya untuk menuntut ilmu tambah membara setelah mengetahui betapa kuatnya sokongan beliau kepada saya. Miss Shy yang dahulunya adalah guru kelas, guru Bahasa Inggeris, jurulatih debat dan penasihat kelab yang saya sertai pada saat ini adalah kawan baik saya. Tidak saya terfikir untuk memutuskan persahabatan ini sehingga bila-bila.

Pada tahun pertama saya di Universiti Malaya, saya seorang yang agak ulat buku terutama pada semester pertama. Bilik hostel memang seperti hotel saya buat tetapi perpustakaan dan bilik studi, sayalah penghuninya. Suatu malam sedang saya membuat persediaan tutorial, rakan saya Kartikumar datang menyertai saya. Kami berbual-bual sebentar dan tiba-tiba secara tidak sengaja saya telah membuat satu jenaka. Tidak perlu saya nyatakan apa jenakanya tetapi cukup sekadar saya katakan bahawa kami bertiga terpaksa berlari keluar dari bilik tersebut kerana saya sudah tidak dapat untuk menahan ketawa sehingga mengalirkan air mata. Sehingga ke hari ini, saya masih mengingati saat indah tersebut.

Suatu hari saya menghantar pesanan ringkas kepada rakan setutorial saya, Gan, menyatakan saya mungkin tidak dapat menghadiri tutorial kerana berasa tidak sihat. Walaubagaimanapun, pada saat akhir saya hadirkan diri juga. Selesai tutorial Gan bertanya samada saya sudah sihat. Saya membalas belum sepenuhnya dan mungkin kerana saya salah makan. Beliau meminta saya menunggu beliau sebentar dan berlalu pergi. Beberapa minit kemudian beliau kembali dengan muka sedikit keletihan. Sebotol kecil ubat dan sebungkus biskut dihulur kepada saya. Saya tergamam. Sungguh saya tidak menyangka begitu prihatin sahabat-sahabat di sekeliling saya.

Tamat pembelajaran saya kini merupakan pelatih-dalam-kamar di sebuah firma guaman. Suatu malam saya sibuk menaip di pejabat untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Daniel, seorang law associate bertanya pukul berapa saya bercadang untuk pulang. Dipendekkan cerita saya meminta pertolongan beliau untuk menghantar saya ke stesen keretapi. Beliau bersetuju. Sebaik keluar dari tempat meletakkan kereta beliau bertanya, “So which way is your house?” Untuk beberapa saat, saya kehilangan kata-kata. Waktu ketika itu kira-kira pukul 10.30 malam. Sepanjang perjalanan, beliau asyik menguap. Petanda jelas bahawa beliau telah sangat letih dan tidak perlu saya menambahkan lagi keletihan beliau! Sejak malam tersebut sehingga ke hari ini saya dihantui perasaan bersalah.

Jika mahu disenaraikan lagi perkara-perkara kecil seharian yang menyentuh hati saya, maka tidaklah dapat saya menyiapkan penulisan ini. Saya percaya perasaan tersentuh ini bukan hanya dialami oleh saya tetapi kita semua.

Setiap kali senyuman berbalas, cerita dikongsi, pertolongan dihulur tanpa diminta, saya tertanya-tanya mana perginya bahana politik perkauman yang sering dibimbangkan?

Mana perginya impak isu-isu keperlembagaan yang dilihat mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan nilai hidup?

Sepertinya perkara-perkara ini seperti diletakkan ke tepi dilihat pada pengalaman-pengalaman yang saya sebutkan sebentar tadi.

Apa yang saya tafsir daripada wajah pakcik berketayap putih dan tauke Cina adalah harapan yang tersimpan dalam sanubari mereka. Harapan untuk melihat suasana aman dan tenang kekal dalam negara ini walauapapun krisis dan konflik melanda. Harapan yang sama saya baca daripada wajah Kartikumar, Gan dan Daniel. Dan sekali lagi saya tersentuh.

Atas dasar inilah saya mengambil keputusan untuk menyumbang kudrat dalam “Kempen PerlembagaanKu”. Saya percaya berbekalkan semangat Perlembagaan Persekutuan saya dapat membantu untuk memenuhi harapan-harapan pakcik berketayap putih, tauke Cina, Kartikumar, Gan dan Daniel. Saya percaya jika mereka mengetahui hak-hak mereka, tiada sebab munasabah untuk mereka berasa terancam tinggal di tanah tumpah darah. Tiada sebab untuk mereka berprasangka buruk sesama sendiri samada antara kaya dan miskin, berkuasa dan lemah, kulit gelap, sawo matang dan kuning cerah. Saya yakin jika mereka mengetahui bagaimana Perlembagaan Persekutuan menetapkan sesuatu insitusi kerajaan, mereka akan lebih terbuka dan sedia memberi kritikan membina terhadap sistem-sistem yang sedia ada.

Ya betul, saya masih mentah dalam melihat dunia luar apatah lagi memberikan komen terhadap arus politik negara. Mungkin benar pandangan saya kurang tepat kerana masih banyak perkara yang masih belum saya lihat dengan mata kepala saya sendiri. Tetapi dari sudut positifnya, pemerhatian yang tercatat di sini masih tidak dicemari mana-mana sentimen, tidak disulam dengan sebarang kesan sampingan debat politik negara. Suatu penilaian yang objektif saya sifatkan. Maka saya mohon izin supaya generasi saya dibenarkan memulakan perjalanan untuk menggapai harapan-harapan generasi terdahulu yang tidak kesampaian – untuk melihat masyarakat madani yang sedar akan hak-hak mereka, untuk mewujudkan masyarakat yang progresif dan prihatin terhadap isu-isu sekeliling dan sudah pasti, untuk mengekalkan suasana aman dan tenang dalam hari-hari yang dilalui sebagai seorang rakyat Malaysia.

Saya ambil kesempatan ini untuk menyeru generasi saya supaya menyertai “Kempen PerlembagaanKu” yang lahir daripada inisiatif Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Badan Peguam Malaysia. Saya percaya jika baik niat kita, maka baiklah hasilnya. Niat saya hanya satu, membantu memenuhi harapan-harapan ramai lagi rakyat Malaysia seperti pakcik berketayap putih, tauke Cina, Kartikumar, Gan dan Daniel.

Pen off…

This piece is written in anticipation of the official launch of the “MyConstitution Campaign” (“Kempen PerlembagaanKu”) scheduled for November 13, 2009 (3pm) at the Bar Council Auditorium, followed by a forum, “Conversations on the Constitution: What is the Federal Constitution”. YOU are invited to attend this event! Admission is free and is open to the public. Register here.

“MyConstitution Campaign” is a nationwide Campaign to simplify the Constitution, and to bring it to the doorsteps of 6 million households in Malaysia. A Campaign for the Rakyat by the Rakyat. Join the cause, join YOUR cause, and follow the Campaign trail here:

www.facebook.com/MyConstitution

www.twitter.com/MyConsti

www.youtube.com/user/PerlembagaanKu

www.malaysianbar.org.my/constitutional_law_committee

The Campaign site will be at: www.perlembagaanku.com (to be launched on Nov 13)

(Visited 455 times, 3 visits today)

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Posts by

Posted on 30 October 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

3 Responses to Mengapa saya ingin sebarkan… Kempen PerlembagaanKu

  1. nadia ash burn

    woot woot!

    saya pun tersentuh sikit, Fir ;D

  2. Woot! Woot!

    Good article Fir.

    Proud of ya.

  3. Quek

    indeed there are many beautiful things in this world. the biggest prob and the root of the root of the prob is that ppl are greedy, they jealous towards ppl who are successful. they look at ppl who are successful without looking at the hardwork successful ppl go through.

    this world will indeed be a better place if ppl are not selfish and jealousy