Bahagian I artikel ini menerangkan undang-undang Perlembagaan Malaysia yang terpakai berkenaan isu kewarganegaraan.

Baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya ditubuhkan untuk “mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam” telah menggesa kerajaan supaya membatalkan kewarganegaraan mereka yang dikatakan “membuat tuntutan yang keterlaluan” dan “bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan”.

Gesaan untuk membatalkan atau melucutkan kewarganegaraan ini bukanlah perkara yang baru. Tidak lama dahulu, ada pihak yang mahukan supaya kewarganegaraan beberapa ahli politik pembangkang dilucutkan kerana kononnya telah “menderhaka”.

Di samping itu, sebuah akhbar tempatan baru-baru ini telah melabelkan kaum bukan Melayu sebagai “kaum pendatang” dalam sebuah artikelnya. Artikel tersebut menimbulkan persoalan samada bangsa Melayu telah dikhianati oleh bangsa lain walaupaun kononnya telah rela hati bersetuju untuk memberikan kerakyatan kepada bangsa lain ketika negara mencapai kemerdekaan.

Isu-isu kerakyatan dan kewarganegaraan semakin ditimbulkan akhir-akhir ini, terutama sekali oleh golongon-golongan etno-nasionalis. Jika diimbas secara kasar, gesaan mereka kelihatan garang dan tegas, menunjukkan betapa marahnya mereka dengan sesetengah pihak, sehingga mereka sanggup mempersoalkan kewarganegaraan pihak-pihak tersebut.

Namun sekiranya diteliti Perlembagaan Persekutuan, adalah jelas bahawa apa yang dibangkitkan oleh mereka ini tidak mempunyai asas undang-undang. Seperti biasa, mereka hanya pandai bersuara tanpa mengetahui apa yang mereka katakan.

Perkara berkaitan dengan kewarganegaraan terkandung di dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan

(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.

Bahagian I Jadual Kedua adalah berkenaan dengan orang yang lahir sebelum Hari Malaysia (iaitu 16 September 1963) dan Bahagian II adalah bagi orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia.

Mereka yang menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang adalah mereka yang secara amnya menjadi warganegara tanpa memerlukan keadah formal seperti permohonan, pendaftaran atau sumpah setia. Sebahagian besar rakyat Malaysia menjadi warganegara Malaysia melalui proses ini. Contohnya, seseorang yang lahir di Malaysia dan mempunyai ibu atau bapa yang merupakan warganegara Malaysia memperoleh kewarganegaraan melalui Perkara 14(1) tersebut.

Di samping, seseorang itu juga boleh menjadi warganegara Malaysia melalui pendaftaran atau penaturalisasian yang terkandung di dalam Perkara 15 hingga Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ada mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membezakan kewarganegaraan mengikut bangsa.

Benar, Perkara 153 memberikan “kedudukan istimewa” kepada mereka yang dikategorikan sebagai “bumiputera”, tetapi dari segi kewarganegaraan dan kerakyatan, tidak ada perbezaan di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Tidak disebut langsung bahawa sesetengah kumpulan etnik mendapat kewarganegaraan atas “jasa baik” atau “kerelaan hati” sesuatu kumpulan etnik, seperti yang dibangkitkan oleh akhbar yang disebut di atas.

… disambung dalam Bahagian II

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

7 replies on “Kewarganegaraan: Antara retorik dan realiti Perlembagaan (Bahagian I)”

  1. Kalau asyik memandang ke belakang sahaja macam mana mahu maju ke hadapan? Sejarah jadi pengajaran dan iktibar. Semua warga negara Malaysia tak mengira kaum atau agama patut bersatu untuk membangunkan negara ini bukan nya bertelingkah mengenai siapakah tuan di Malaysia. HaiH!

  2. Saya juga setuju bahawa kita tidak boleh melupakan sejarah. Memang, sewaktu itu isu kewarganegaraan merupakan isu yang hebat diperkatakan, dan kompromi telah dicapai mengikut perstujuan. Ini tidak harus dilupakan kerana ia telah menjadi sebahagian dari proses membina negara (nation-building) negara kita.

    Tetapi kita tidak boleh dirantai oleh sejarah. Sekiranya kita mahu maju kehadapan, kita tidak boleh dibelenggu oleh sejarah. Mengapa harus dibangkitkan tentang isu bahawa bukan Melayu harus berterima kasih kepada Melayu kerana setuju memberi kewarganegaraan? Jika perlembagaan itu sendiri menyatakan bahawa semua warganegara Malaysia adalah sama dan tidak ada perbezaan dari segi kewarganegaraan mengikut bangsa atau ethnik, mengapa kita harus mengungkit tentang siapa yang bersetuju memberi kewarganegaraan dan dari mana asal nenek moyang kita?

  3. Pingback: Loyarburok
  4. saya setuju dgn dara waheeda. kita kene kaji sejarah dahulu kerana undang-undang sendiri berkembang melalui sejarah.

  5. Cuba baca laporan Suruhanjaya Reid tentang isu ini dan bagaimana soal pemberian kewarganegaraan ini dimasukkan ke dalam deraf Perlembagaan Persekutuan yang pada mulanya dibantah oleh banyak pihak tetapi kemudiannya diteruskan juga oleh UMNO dengan kompromi, untuk mendapatkan kemerdekaan segera dari pihak British.

Comments are closed.