Terkedu. Hanya itu yang mampu saya katakan ketika mana saya ditanya berkenaan dengan perasaan saya ketika ditangkap. Tidak pernah terlintas di dalam pemikiran waras saya bahawa seorang peguam di dalam menjalankan tugasnya atas tiket “IKHLAS” boleh ditangkap apabila membuat permintaan untuk berjumpa dengan anak guam.

Pada Khamis malam, sebelum saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain ditangkap, saya dan Murnie Hidayah Anuar berada di rumah sahabat kami di Subang Jaya. Kami kemudiannya telah dimaklumkan bahawa telah berlakunya penangkapan terhadap 12 orang aktivis di Balai Polis Brickfields. Setibanya di sana, saya mendapati bahawa beberapa orang peguam yang lain telah pun berada di luar pagar balai polis Brickfields untuk menunggu berjumpa dengan anak guam.

Penantian memang satu penyeksaan. Apatah lagi kami hanya dimaklumkan bahawa kononnya para pegawai polis sedang bermesyuarat pada ketika itu. Aneh! 12 orang ditangkap dan dinafikan hak mereka untuk berjumpa peguam dan pihak polis masih lagi bermesyuarat?!!

Selang beberapa lama selepas itu, kami kemudiannya didatangi seorang pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai DSP Jude Pereira. Kami dimaklumkan bahawa pihak polis menggunapakai Seksyen 28A(8) yang mana memberi kuasa kepada pihak polis untuk menafikan hak seseorang untuk berjumpa peguam. Walaubagaimanapun, ketika mana beliau diajukan soalan berkenaan dengan apakah alasan yang memberikan mereka hak untuk menggunapakai sub-seksyen tersebut, beliau gagal menjawab dan hanya berlalu pergi.

Dari luar kawasan balai polis Brickfields, kami kemudiannya dikejutkan dengan jeritan tahanan-tahanan yang mahu berjumpa peguam. Keadaan menjadi agak tidak terkawal pada ketika itu apabila penyokong-penyokong tahanan di luar balai polis juga menjerit meminta tahanan-tahanan tersebut dilepaskan. Lagu “Negaraku” kedengaran berkumandang.

Sejurus selepas itu, kelihatan OCPD Brickfields Wan Bari meluru ke arah pagar balai polis dan menjerit meminta kesemua penyokong-penyokong tahanan bersurai. Kami diberikan masa 3 minit untuk bersurai. Saya teringat pada ketika itu saya beroleh ke arah Saudari Fadiah dan bertanya, “Kak Fad, kita stay kan?”. Beliau kemudiannya menjawab, “Kita kena tunggu Syu. Kita nak jumpa client.” Saya hanya mengangguk tanda setuju.

Selepas tempoh 3 minit berakhir, pagar balai tersebut dibuka. Kelihatan segerombolan pegawai polis keluar meluru ke arah kami. Saya menjadi bingung. Kenapa saya yang ditolak masuk? Bukankah saya hanya seorang peguam yang sedang menunggu untuk berjumpa anak guam saya? Keadaan menjadi kecoh seketika. Saya dan empat peguam yang lain bersama-sama dengan seorang wartawan dari Suara Keadilan kemudiannya dibawa masuk ke balai atas sebab-sebab yang kami sendiri tidak pasti.

Pengalaman ditangkap dan ditahan semalaman di lokap Balai Polis Travers membuatkan saya berfikir tentang apa sebenarnya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan hak seseorang yang ditahan untuk mendapatkan khidmat seorang peguam ketika berada di dalam tahanan. Adakah kedatangan kami sebagai seorang peguam sangat merisaukan dan mengancam kedudukan para pegawai polis? Bukankah kedua-dua pihak ini sepatutnya bekerjasama untuk memastikan keadilan dapat sama-sama ditegakkan?

Kenapa peguam-peguam seperti kami yang hanya menjalankan tugas ditahan semalaman di lokap dan digari di kedua-dua belah tangan seolah-olah kami merupakan kumpulan penjenayah yang membahayakan masyarakat? Apakah ianya satu kesalahan yang menyalahi apa-apa undang-undang di dunia ini ketika mana seorang peguam meminta untuk berjumpa dengan anak guamnya?

4 replies on “Himpunan Hitam-Putih Seorang Peguam”

  1. Tahniah kepada peguam-peguam berjiwa murni seperti saudari dan rakan-rakan yang sanggup berdepan dengan keangkuhan pihak polis demi menegakkan keadilan. Tidak dapat dinafikan hak rakyat kita terutama untuk berhimpun dan menyuara pendapat banyak disekat kecuali yang berpihak kepada pemerintah. Ternyata Thailand dan Indonesia lebih mesra kepada rakyatnya. Teruskan berkhidmat untuk menegakkan keadilan di bumi Malaysia tercinta ini.

  2. The law of the jungle…baru sekarang sedar ke…kami yg tak lawyer nie..dah lama tahu. Pegawai2 polis tak athu le apa yg mereka takutkan bila orang berkumpul. Fobia betul…dah tu sedar ke mereka nie…rakyat yg ditangkap tak tentu pasal nie pembayar cukai?..gaji kakitangan kerajaan termasuk polis rakyat yg bayar bukan umnoooo.

  3. In Malaysia we do not use the undang-undang dunia but undang-undang UMNO = ISA = Ikut Suka Aku.

Comments are closed.