Pada ketika saya menulis artikel ini, “Speaker” yang “dilantik” oleh ADUN Barisan Nasional telahpun “menangguhkan” persidangan DUN Perak kepada satu tarikh yang tidak ditetapkan.

“Penangguhan” tersebut merupakan babak akhir rentetan peristiwa yang berlaku di Ipoh pada hari ini (Mei 7). Bermula dengan penangkapan begitu ramai rakyat Malaysia yang berkumpul di Ipoh, kemudiannya “perlantikan” “Speaker” haram dari BN dan Speaker yang sah diseret keluar dari Dewan oleh pegawai polis dan kakitangan DUN.

Walaupun berada nun jauh di tengah-tengah Kuala Lumpur, saya masih membara dengan kemarahan terhadap apa yang berlaku. Sepanjang hari saya mendapatkan maklumat terkini melalui laman-laman web. Saya juga memerhatikan komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan di Facebook tentang apa yang berlaku di Ipoh (walaupun penyokong tegar Barisan Nasional dan UMNO membisu sepanjang hari, mungkin mereka sendiri malu dengan apa yang berlaku).

Marah, geram dan kecewa. Kesemua perasaan ini bercampur-gaul di dalam hati saya. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang sanggup dilakukan oleh Barisan Nasional dan UMNO demi kuasa, pangkat dan harta benda. Bagi mereka, semuanya halal dan boleh digunakan untuk mencapai matlamat mereka. Di dalam episod politik di Perak mereka telah menggunakan semua yang mereka di bawah kawalan mereka untuk menjayakan rampasan kuasa ini. Polis, kakitangan kerajaan negeri, media massa dan institusi kehakiman; institusi-institusi yang sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana pihak telah dicabuli kebebasan mereka.

Klimaks episod rampasan kuasa ini berlaku apabila Speaker yang sah, yang tidak berganjak dari kerusinya sejak pagi, diseret keluar dari Dewan Undangan oleh pegawai polis dan kakitangan DUN bagaikan dia seorang penjenayah.

Sedarkah mereka akan apa yang mereka lakukan demi kuasa? Mereka telah sanggup membuang Perlembagaan yang selama ini kita luhur bagaikan ianya tiada nilai. Mereka telah menggunakan segala jentera yang mereka kawal untuk memaksa kerajaan haram ini ke atas rakyat Perak, samada rakyat Perak menerimanya atau tidak.

Saya percaya kemarahan saya bukan kerana saya menyokong mana-mana parti politik, ia telah melangkaui batasan politik kepartian. Saya marah kerana saya seorang rakyat Malaysia yang tidak sanggup melihat demokrasi dan lunas undang-undang dikuburkan demi memuaskan kerakusan sesetengah pihak.

Ini tentang hak kita sebagai rakyat Malaysia! Tentang apa yang telah dijamin oleh Perlembagaan dan juga oleh demokrasi! Jikalau kita tidak boleh tentukan siapa memimpin kita, jikalau kita biarkan undang-undang digunapakai mengikut kehendak sang pemerintah, jikalau kita biarkan mereka tentukan baju warna apa kita dibenarkan pakai, apa perlu negera demokratik ini? Apa perlu Suruhanjaya Reid merangka rang Perlembagaan setengah abad yang lalu? Apa guna kita angkat tangan kita dan kita ucap “keluhuran Perlembagaan” apabila kita melafazkan Rukun Negara?

Apa guna kita mengundi, jika kita boleh biarkan orang lain menentukan siapa kerajaan kita?

Selepas ini kita akan saksikan reaksi daripada mereka yang merampas kuasa. Mereka akan kata mereka adalah kerajaan Perak yang sebenar-benarnya, kerana Sultan telah tabal mereka. Mereka akan salahkan pembangkang kerana “melakukan kekecohan” dan “tidak menghormati Sultan/mahkamah/dewan/polis”. Kemudian perampas-perampas kuasa di Perak akan dapat kuasa yang mereka begitu dahagakan, akan dapat pangkat mereka, akan dapat kereta Proton Perdana milik kerajaan mereka, akan dapat kontrak-kontrak mereka, akan dapat pejabat cantik mereka, akan dapat menghadiri majlis-majlis kerajaan mereka dan pelbagai “kelebihan” yang datang dengan kuasa dan pangkat. Mungkin mereka akan tidur dengan lena, walaupun mereka tahu bahawa mereka telah menjadikan diri mereka musuh demokrasi.

Tetapi demokrasi tidak begitu mudah boleh diketepikan. Demokrasi sudah sebati dengan rakyat. Ia sudah menjadi darah dan dagang kita. Ia mengalir di dalam jasad rakyat. Satu hari nanti, mereka akan perlu kembali kepada demokrasi. Mereka akan perlu mendapat mandat rakyat. Jika tidak esok, mungkin lusa, jika tidak lusa, mungkin tiga atau empat tahun yang mendatang.

Ketika itu, ketika mereka memujuk, merayu dan memohon mandat melalui proses demokratik, mereka akan tersentak apabila rakyat akan menggunakan demokrasi untuk menghukum mereka.

Ketika mengakhiri nukilan ini, pandangan saya beralih ke luar. Kuala Lumpur semakin gelap, hanya diterangi oleh sinar terakhir sang suria yang kian tenggelam di ufuk barat.

Berakhirlah hari yang begitu gelap untuk Malaysia.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...